PETALING JAYA: Waktu sesi persekolahan bermula pukul 8 pagi boleh dilaksanakan terhadap sekolah yang mempunyai satu sesi terlebih dahulu.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad menjelaskan, majoriti sekolah di negara ini mengamalkan satu sesi dan ia boleh dilaksanakan sebelum waktu baharu sesi persekolahan dilaksanakan di sekolah dua sesi.
“Data menunjukkan dua pertiga sekolah di Malaysia adalah sekolah satu sesi manakala hanya satu pertiga sahaja sekolah masih kelas dua sesi. Amalan sekolah bermula pukul 8 pagi boleh dimulakan di sekolah satu sesi dahulu manakala sekolah dua sesi kekal sebagaimana waktu sekarang.
“Selain itu, jika kita berhasrat menjadikan sekolah dua sesi bermula pukul 8 pagi, usaha untuk mengurangkan silibus atau bilangan mata pelajaran juga boleh dilakukan oleh Kementerian Pendidikan seperti yang dicadangkan oleh ramai pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai contohnya, kata Anuar, menggabungkan Pendidikan Islam dengan Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).
“Tidak ada keperluan menambah masa sesi petang sehingga sesi sekolah petang tamat lebih lewat daripada sekarang,” katanya.
Di sebalik perubahan itu, katanya, ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang kerana masih boleh mengikut rutin harian seperti biasa kerana ia memberikan lebih masa dan ruang untuk ibu bapa menguruskan persiapan anak-anak ke sekolah di awal pagi manakala guru-guru dapat membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.
“Ibu bapa boleh kekal hantar anak-anak ke sekolah seperti waktu sekarang. Sekolah kekal dibuka seperti biasa. Anjakan masa 30 minit memberikan kelapangan pada keluarga yang memerlukan lebih masa di awal pagi.
“Guru kekal hadir ke sekolah sebelum pukul 7.30 pagi, mengikut waktu yang telah ditetapkan. Pintu pagar sekolah kekal dibuka seperti waktu sekarang. Tiada yang berubah.
“Amalan di negara maju, waktu awal sekolah sebelum pembelajaran bermula adalah waktu ‘bertenang’ yang mana murid-murid boleh melakukan banyak aktiviti seperti membuat persiapan pembelajaran, ulangkaji, membaca, berinteraksi dan bermain dengan rakan-rakan atau bersarapan,” katanya.
Malah, katanya, waktu sesi persekolahan 8 pagi sudah dipraktikkan secara meluas di sekolah-sekolah lain.
“Hampir semua sekolah antarabangsa di negara ini mengamalkan sistem sekolah bermula pukul 8 pagi. Begitu juga dengan sebahagian besar sekolah swasta dan sekolah persendirian.
“Malah ada sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kerajaan Negeri yang telah lama mengamalkan sistem sekolah bermula jam 8 pagi,” katanya. – UTUSAN