GEORGETOWN: Dua rakan karib di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, di sini tidak menyangka meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan semalam.
Emir Faliq Lim Adam Lim, 18, dan Nur Aina Fadhlina Ahmad Fazli, 18, yang merupakan rakan sekelas di SMK Bukit Jambul memperoleh 9A+ walaupun berdepan cabaran getir ketika mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19.
Kedua-dua mereka adalah antara 17 pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Pulau Pinang dan pelajar terbaik bagi SMK Bukit Jambul.
Nur Aina Fadhlina berkata, dia, Emir Faliq Lim dan rakan-rakan sekelas aliran sains di sekolah berkenaan sering berinteraksi secara dalam talian bagi bertukar-tukar nota pelajaran dan berbincang bersama mengenai mata pelajaran yang kurang difahami.
”Selama hampir dua tahun kami mengikuti proses PdPR, cabaran memang besar ketika itu kerana proses belajar serta interaksi di dalam talian adalah sesuatu yang baharu buat kami.
”Saya bernasib baik kerana para guru banyak membantu dan kami juga sering berinteraksi bersama rakan-rakan sekelas untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu subjek,” katanya ketika ditemui di SMK Bukit Jambul di sini, semalam.
Aina Fadhlina yang bercita-cita mahu menjadi akauntan berkata, kejayaannya mengharungi proses PdPR sepanjang tempoh pandemik Covid-19 adalah berkat sokongan ibu, Nordibradini Selamat, 46, guru-guru dan rakan-rakan di sekolah.
Dalam pada itu, Emir Faliq Lim yang merupakan anak bongsu dari dua beradik berkata, dia turut berdepan kesukaran pada mulanya untuk mengikuti proses PdPR, namun bantuan guru-guru yang sering berinteraksi dan memberi tunjuk ajar segera kepada pelajar amat membantu.
”Selain mengikuti proses PdPR saya juga menetapkan jadual setiap hari sekurang-kurang tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran bagi memastikan saya faham setiap subjek.
”Saya juga tidak menyangka dapat memperoleh A+ dalam subjek Matematik Tambahan yang merupakan subjek yang paling sukar dalam SPM,” katanya. – UTUSAN