CYBERJAYA: University of Cyberjaya (UoC) sedia menawarkan lebih banyak tempat untuk pelajar dapat melanjutkan pengajian tinggi yang bukannya dalam bidang sains perubatan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Keterlibatan Global) UoC, Prof. Datuk Dr. Shaharudin Mohd. berkata, ia akan dibuka secara berfasa.
“Kami sedar ada trend peralihan kecenderungan pelajar menengah yang jika dulu 60 peratus memilih belajar dalam aliran sains tulen tetapi kini terbalik kepada sains sosial pula,” katanya.
Beliau mewakili Naib Canselor UoC, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak memeteraikan memorandum persefahaman (MoU) dengan Siti Healthcare Sdn. Bhd. di sini semalam.
Rangkaian klinik terbesar itu diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Muhammad Ali Yahya dan turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Mustafa Abdul Majid.
UoC asalnya dikenali sebagai Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya ditubuhkan pada 2005 sebelum diberi taraf universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi sejak 2018.
Ia memiliki lebih 3,000 penuntut dengan dan 300 staf akademik serta diberi status lima bintang atau penarafan amat kompetitif oleh kementerian tersebut dalam pengajian sains perubatan.
Mengulas lanjut, Shaharuddin bagaimanapun berkata, imej UoC yang sedia ada akan tetap kekal relevan sebagai institusi pendidikan swasta dengan pengkhususan dalam tonggak bidang tersebut.
“Bagaimanapun, kita juga mula membuka peluang kepada pelajar yang bukan aliran sains tulen, antaranya dengan menaik taraf program psikologi menjadi sebuah fakulti baharu,” katanya. – UTUSAN