PUTRAJAYA: Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, bermatlamat melahirkan generasi muda yang hebat sekali gus mampu bersaing di peringkat dunia.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, matlamat tersebut boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang terkandung di bawah Konsep Sekolahku SEJAHTERA.
“Konsep Sekolahku SEJAHTERA ini beri tumpuan kepada 14 elemen, namun bukan bermakna nilai lain tidak penting. Pendekatan konsep ini adalah untuk memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan negara dapat berdaya saing.
“Selain itu, kita jelaskan bahawa ini bukan satu mata pelajaran baharu atau sisipan mata pelajaran sedia ada, malah konsep ini tidak akan menambah beban guru,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Sekolahku Sejahtera, di sini hari ini.
Antara elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pendekatan yang boleh digunakan oleh guru adalah dengan menerapkan konsep tersebut melalui pelbagai aktiviti selain sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
“Guru menerapkan konsep ini secara semula jadi. Contohnya sekiranya mengajar mata pelajaran Sejarah, mereka mengajar topik serta turut berkait rapat 14 elemen tersebut.
“Apa yang penting anak-anak menjiwai konsep ini dan kita yakin kalau mereka betul-betul menjiwainya, ia mampu melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya. – UTUSAN