KUALA LUMPUR: Sebanyak 141 sekolah pedalaman dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30Mbps bermula Mac 2021.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sebanyak 10,214 sekolah lagi menerima capaian jalur lebar internet dengan kelajuan antara 30Mbps hingga 100Mbps.
Bagaimanapun, katanya, dalam untuk memastikan capaian internet di sekolah terus dipertingkat, kementerian sedang bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.
“Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu kementerian yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik.
“Rangkaian bersepadu kementerian ini dijangka dapat mula dilaksanakan pada pertengahan tahun 2022,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, perancangan itu adalah seiring dengan usaha kerajaan bagi memastikan pembelajaran berteraskan teknologi dapat disediakan dalam pembangunan generasi pewaris negara yang berupaya mendepani revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0).
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) berkenaan usaha menambah baik capaian internet bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar bagi memastikan pembelajaran berteraskan teknologi dan IR4.0.
Radzi bagaimanapun mengakui kekangan yang dihadapi terhadap kemampuan murid untuk mendapatkan peranti dan kos data internet.
“Ini kekangan utama dan kita sedar perkara ini dari peringkat awal. Jadi kita telah memaklumkan bahawa pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) dijalankan mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Menyedari kekangan dihadapi, pada Februari tahun ini, kementerian memperkenalkan Didik TV. Sekurang-kurangnya yang tidak ada peranti dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam akan ada rancangan berkaitan topik-topik tertentu yang mereka lalui di waktu pembelajaran mereka,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan kementerian lain seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah untuk menggunakan fasiliti di luar bandar yang ada pusat internet supaya dapat digunakan oleh murid.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga memperkenal pakej data lebih murah untuk anak-anak yang bersekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE