‘Tak tahu sampai bila boleh bertahan’ - Utusan Malaysia

‘Tak tahu sampai bila boleh bertahan’

MOHD. Alwi Mohd. Isa menunjukkan poster pengambilan pelajar bagi sesi 2022 ketika ditemui di Parit, Perak. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kerajaan diminta membantu maahad tahfiz al-Quran swasta di negeri ini yang bergelut  meneruskan operasi berikutan masalah kewangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin-2 (MTQ2) di sini, Mohd. Alwi Mohd. Isa berkata, difahamkan beberapa buah maahad tahfiz swasta di negeri ini terpaksa menutup operasi ekoran bergelut dengan masalah kewangan.

Menurutnya, kebanyakan maahad tahfiz swasta yang ditutup itu yang beroperasi dalam skala kecil dengan jumlah pelajar kurang daripada 30 orang, tetapi tetap perlu diberi perhatian.

“Macam maahad tahfiz ini, kami mempunyai 80 pelajar lelaki berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun. Daripada jumlah ini, seramai 30 orang adalah ditanggung pihak kami kerana mereka adalah anak-anak yatim dan asnaf.

“Saya juga bergelut dalam meneruskan kos operasi, gaji  kakitangan sekolah termasuk guru seramai 18 orang tetap perlu dibayar dan ada masanya terpaksa ditangguh kerana masalah kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Alwi berkata, dia tidak tahu sampai bila mampu meneruskan operasi maahad tahfiz itu.

“Saya minta kerajaan ambil berat mengenai sekolah tahfiz, jangan pandang sebelah mata sahaja kerana kita adalah institusi yang membimbing masyarakat.

“Harap ada bantuan yang diberikan untuk meringankan beban kami di saat ini, kerana kami buat masa ini hanya mengharap sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

Mohd. Alwi turut menyuarakan rintihan guru-guru serta pelajar sekolahnya yang menghadapi kesukaran di dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sesi pengajaran dan pembelajaran kami tidak sama seperti sekolah harian atau asrama milik kerajaan yang lain memandangkan kami bukan sahaja mempunyai kelas akademik sahaja malah juga kelas al-Quran,” katanya.

Mohd. Alwi mengalu-alukan sumbangan orang ramai kepada MTQ2 Parit, sama ada berupa wang tunai mahupun barangan makanan.

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 5581 1851 5351 di bawah nama Maahad Tahfiz Al-Quran wal-Qiraat Addin-2 atau hubungi 05-3775900 atau 017-5896693. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN