i-Guru gesa kerajaan, jabatan agama bantu pusat tahfiz - Utusan Malaysia

i-Guru gesa kerajaan, jabatan agama bantu pusat tahfiz

MOHD AZIZEE HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dan Jabatan Agama Islam digesa membantu 1,603 pusat tahfiz yang sebahagiannya mengalami pelbagai masalah melibatkan guru serta pelajar ketika ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan mencadangkan, Jabatan Agama Islam setiap negeri melibatkan Baitulmal dan Lembaga Zakat untuk melihat peluang membantu pusat tahfiz tersebut.

Katanya, bantuan itu perlu dilihat mengikut keutamaan yang lebih cenderung kepada guru tahfiz kerana gaji mereka hanya bergantung kepada sumber pembayaran yuran pengajian ibu bapa.

“Saya mencadangkan bantuan secara ‘one off’ diberikan terlebih dahulu kerana pendapatan guru tahfiz sudah lama terjejas berikutan pusat tahfiz tidak dibenarkan beroperasi secara fizikal.

“Guru tahfiz juga perlu diberikan latihan kemahiran digital menggunakan teknologi seperti laptop dan tablet supaya guru lebih mudah mengajar pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 22 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan itu menyebabkan pelajar tahfiz tidak dapat mengikuti pengajian dengan sempurna kerana pembelajaran secara maya yang ditawarkan mengundang pelbagai masalah terutama pemilikan peranti dan capaian internet.

Tambahnya, jika bantuan itu melibatkan guru sudah semestinya melibatkan pelajar juga.

Beliau juga turut mencadangkan bantuan alat peranti dan data internet diberikan kepada pelajar bagi memudahkan proses pengajian mereka.

“Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi swasta dalam membantu memberikan bantuan data internet kepada pelajar,” ujarnya.

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Quran dan Hadith Universiti Malaya, Dr. Sedek Ariffin berkata, keberkesanan belajar secara online dalam kalangan pelajar tahfiz tidak berkesan berikutan suasana ketika belajar tidak efektif berbanding sebelum ini dilakukan secara berjemaah.

Katanya, hal itu menyebabkan pusat tahfiz menurunkan gred pemarkahan supaya lebih mudah pelajar tahfiz mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Jujur saya katakan, pembelajaran secara online sememangnya kurang berkesan. Mengikut statistik yang diterima, berlaku penurunan sebanyak 40 peratus di pusat tahfiz swasta kerana swasta lebih bermasalah kerana tiada penyeliaan yang sempurna daripada pengurusan mereka.

“Mengikut pemerhatian mudir, pembelajaran seperti menghafaz al-Quran sememangnya dilakukan secara berjemaah, jika pelajar berada di rumah, fokusnya mudah hilang,” jelasnya.

Tambahnya, jika pelajar tersebut berada di pusat tahfiz, sememangnya mereka dididik mengikut rutin harian mereka yang hampir kesemuanya dilakukan bersama guru dan pelajar yang lain.

Katanya lagi, berikutan pembelajaran yang kurang berkesan menyebabkan lahirnya hufaz-hufaz yang kurang berkualiti pada masa hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN