Hanya 30% ibu bapa pelajar tahfiz mampu bayar yuran - Utusan Malaysia

Hanya 30% ibu bapa pelajar tahfiz mampu bayar yuran

SUHAILI Sahari (kiri) dan Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah ketika ditemui Utusan Malaysia di Rantau, Seremban semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu kekangan kewangan yang dihadapi pengurusan pusat-pusat tahfiz di negara ini turut dihadapi Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah yang terletak di Rantau dekat sini.

Pengerusinya, Dr. Suhaili Sahari berkata, pihaknya juga menghadapi masalah serupa iaitu tunggakan yuran bulanan yang belum dijelaskan oleh ibu bapa pelajar.

Jelasnya, perkara itu bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan ia berlanjutan sehingga ke hari ini.

Jelas beliau, daripada keseluruhan 270 pelajar keseluruhan di pusat tahfiz berkenaan, hanya 60 peratus sahaja daripada mereka yang tanpa gagal dan dapat menjelaskan yuran sebanyak RM200 sebulan itu.

“Sebelum PKP tahun lalu memang 20 peratus daripada pelajar kami memang tidak mampu untuk membayar yuran bulanan, mereka ini terdiri daripada keluarga miskin, anak-anak yatim piatu, manakala 20 peratus lagi kadang-kadang bayar dan kadangkala tidak.

“Tetapi selepas PKP pertama itu, kami dapati hanya 30 peratus sahaja pelajar kami yang dapat menjelaskan yuran mereka, memasuki selepas PKP 2.0 ia semakin berkurangan, pada Julai lalu hanya 28 peratus sahaja pelajar membayar yuran itupun termasuk ada pihak yang menaja yuran berkenaan kepada beberapa orang pelajar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.


MAAHAD Tahfiz Al-Quran Al-Falah yang terletak di Rantau, Seremban. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Jelas Suhaili, pihaknya sering kali menerima panggilan daripada ibu bapa dan penjaga pelajar yang memaklumkan mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian anak-anak mereka.

“Kami hanya meminta mereka membayar setakat mana yang termampu kerana mereka sendiri tahu tahap kewangan mereka, itu sahaja yang kami boleh katakan,” katanya.

Katanya, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah mempunyai 27 orang tenaga pengajar dan gaji mereka adalah berdasarkan yuran yang dibayar oleh ibu bapa pelajar berkenaan.”Untuk pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso kami memerlukan lebih RM40,000 pada setiap bulan, adakah kami terkesan dalam keadaan sekarang? Ya kami sangat terkesan.

“Bayangkan hanya 30 peratus sahaja yang membuat pembayaran yuran mereka, mahu buat pembayaran gaji tenaga pekerja pun tidak lepas. Bagaimanapun kami cuba bertahan dan kami melakukan pelbagai ikhtiar dan Alhamdulillah setakat ini gaji tenaga pekerja kami tidak pernah tertunggak dan tidak dipotong walaupun kami berdepan kesukaran,” katanya lagi.

Menurut Suhaili, ekoran keadaan kewangan yang tidak mengizinkan, pihaknya terpaksa menutup sebuah premis pusat tahfiz kendaliannya di Kampung Mentaus, Simpang Durian, Jelebu bagi mengurangkan kos operasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN