Taman pokok mesra alam tingkat kelestarian semula jadi - Utusan Malaysia

Taman pokok mesra alam tingkat kelestarian semula jadi

Pokok eucalyptus hibrid ditanam oleh warga Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sekitar kampus itu yang terletak di Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pokok eucalyptus merupakan spesies pokok hutan yang berasal dari Australia. Ia juga dikenali sebagai pokok kayu putih. Di Australia, ia sinonim dengan habitat beruang koala. Selain Australia, beberapa genus eucalyptus ditemui di Indonesia dan Papua New Guinea. 

Pokok eucalyptus boleh mencapai ketinggian daripada 10 sehingga 60 meter menjadikannya sesuai sebagai sumber kayu kayan dalam perindustrian kayu balak. Pokok eucalyptus banyak ditanam di China, Indonesia dan negara-negara di Amerika Selatan.

Sebagai universiti utama dalam bidang pertanian dan juga nombor satu di Asia dalam Greenmetric, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pelopor dalam kajian dan penanaman eucalyptus hibrid di sekitar kampus UPM. 

Bukan hanya bertujuan penanaman semata-mata, penyelidik UPM  diketuai saya sendiri juga mengkaji potensi pokok tersebut dalam membaiki kualiti tanah dan mengawal hakisan. Pokok eucalyptus hibrid ini ditanam oleh warga Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM dalam memupuk semangat cintakan kelestarian alam semula jadi di kampus hijau ini seterusnya menyokong misi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Affordable and Clean Energy (Goal 7), Sustainable Cities and Communities (Goal 11), Climate Action (Goal 13), Life on Land (Goal 15) dan Partnership to achieve the Goal (Goal 17).

Pokok eucalyptus mempunyai akar yang mampu tumbuh jauh ke dalam tanah untuk mendapatkan kelembaban atau air. Ciri pertumbuhan akar ini memberikan kelebihan penyesuaian tinggi kepada eucalyptus untuk bertahan hidup dalam keadaan kemarau. Selain itu, rembesan kimia daripada akar eucalyptus memberikan sumber makanan dan kelembaban kepada makro dan mikroorganisme dalam tanah. 

Kadar pertumbuhan yang cepat serta mampu untuk hidup dalam keadaan persekitaran terhad seperti kekurangan air menjadikan pokok ini mudah diselia pertumbuhannya. Pokok eucalyptus banyak digunakan dalam industri perkayuan, pulpa dan kertas termasuk perubatan seperti penghasilan minyak angin dan pengawal perosak semula jadi.

Sebelum penanaman eucalyptus variasi hibrid hasil kacukan eucalyptus urophylla dan eucalyptus grandis ini dijalankan di UPM, pokok ini dibawa masuk ke Malaysia melalui kerjasama Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim dan LV Yunong China-Sheeco Agro Sdn. Bhd.

Kajian awal kesesuaian eucalyptus hibrid ini dijalankan di Hutan Simpan Sungai Betis, Lojing, Kelantan seawal 2017 untuk konservasi kawasan hutan yang mempunyai kadar pertumbuhan pokok yang rendah. Setelah penanaman dijalankan lebih lima tahun, kawasan tersebut telah bertukar menjadi kawasan hutan eucalyptus di samping menjadi habitat kepada flora dan fauna.

Potensi terhadap negara kita bukan sahaja dalam konservasi alam sekitar tetapi juga mampu menyumbang kepada penjanaan pendapatan negara sekiranya penanaman eucalyptus hibrid ini dirancang dalam sektor perhutanan dan industri perkayuan tempatan. Antara produk utama eucalyptus terkenal termasuk kertas A4 Double A, minyak pati, minyak angin dan pulpa. Eucalyptus hibrid ini adalah solusi kepada kekurangan sumber kayu dan mampu mengekang penuaian sumber kayu dalam hutan negara kita yang amat berharga. 

Orang ramai dijemput datang ke kampus hijau UPM Serdang untuk melihat sendiri kejayaan penanaman pokok eucalyptus hybrid ini.

Profesor Dr. Arifin Abdu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN