KOTA KINABALU: Usaha gigih Debra Penny David memanjat bukit yang terletak sejauh empat kilometer (km) dari rumahnya tidak sia-sia apabila muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Mary, Papar itu berkata, segala susah payah selama ini mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di dalam hutan berbaloi apabila dia memperoleh 7A 1C dalam peperiksaan tersebut.
Anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian di universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan awam dengan tajaan biasiswa.
“Keluarga saya bukan orang senang, jadi kalau boleh tidak mahu membebankan keluarga dengan pinjaman pendidikan. Bapa saya seorang pemandu lori dan ibu pula hanya suri rumah.
“Adik-adik pula masih ada tiga orang yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan bagi tujuan itu,” katanya ketika dihubungi.
Berkongsi cabaran sepanjang persediaan menghadapi SPM, Debra berkata, capaian internet di Kampung Kopozon Gana sangat perlahan, jadi setiap kali dia perlu mendapatkan maklumat tambahan daripada internet, dia masuk ke hutan dan mendaki bukit.
“Itu sahaja cara mendapatkan akses internet yang pantas, kalau hanya menunggu di rumah, satu kerja pun tidak akan siap,”katanya.
Dia bersyukur kerana guru-guru SMK ST Mary sentiasa membantu setiap kali dia berdepan masalah untuk menyelesaikan soalan yang sukar.
Katanya, sokongan keluarga dan guru-guru begitu bermakna sepanjang tempoh persediaan mengambil SPM dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. – UTUSAN ONLINE