Serap pelajar tahun akhir ISMP tampung kekurangan guru - Utusan Malaysia

Serap pelajar tahun akhir ISMP tampung kekurangan guru

 CHONNEL GEORGE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kekurangan guru boleh diselesaikan dengan mewujudkan program menyerapkan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP) universiti awam (UA) untuk mengisi kekosongan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred 41 dengan melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Jurucakap Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Chonnel George berkata, malah 4,390 lepasan ISMP kini masih menanti penempatan dan mereka wajar diberi ruang untuk mengisi kekurangan guru membabitkan empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Meskipun terdapat persoalan ketidakpadanan opsyen graduan yang sesuai dengan jumlah keperluan guru di sekolah, perkara itu dapat diselesaikan dengan mewujudkan beberapa kursus profesional dalam membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru dari masa ke semasa seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

“Hakikat yang tidak dapat disangkal, graduan ISMP sudah melalui tapisan kelayakan perguruan sebelum menjejakkan kaki ke universiti melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI), latihan perguruan sepanjang empat tahun pengajian dan latihan mengajar di sekolah. Turut dimaklumkan, terdapat sebilangan graduan pada kohort yang berbeza menjalani Program Perantis Guru (PPG),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan melaksanakan pengambilan khas guru secara one-off seramai 18,702  untuk mengatasi kekurangan warga pendidikan dengan tawaran iklan dibuka pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober.

Selain itu, George menambah pengambilan guru melibatkan lepasan ISMP mampu melancarkan urusan Kementerian Pendidikan dan sekolah serta menjimatkan kos perbelanjaan pentadbiran dalam merekrut guru baharu memandangkan mereka didedahkan dengan alam persekolahan. 

Katanya lagi, GGPUA berpandangan bahawa kesenjangan pengambilan pelajar bagi memenuhi kuota program pengajian pendidikan di UA perlu diselaraskan dengan keperluan opsyen guru unjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan libat urus bersama Kementerian Pengajian Tinggi pada setiap tahun.

Dalam pada itu, dia mengemukakan empat cadangan berhubung penempatan 18,702 guru iaitu menyerapkan masuk lepasan ISMP UA tanpa mengira opsyen ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan keduanya, pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru/Opsyen Umum) bagi graduan tersebut.

“Selain itu, mempertimbang opsyen minor untuk urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred 41 dan mewujudkan tiga subjek pilihan mengajar di MySPP iaitu portal rasmi permohonan bagi jawatan guru,” katanya.

George memaklumkan, GGPUA melahirkan perasaan gusar apabila Menteri Kanan Pendidikan menyebut pengambilan guru ini turut dibuka kepada graduan yang tidak memiliki latar belakang perguruan. 

“Tindakan ini harus diperhalusi secara kritis agar tidak mendatangkan sebarang pertindihan implikasi terhadap nasib penempatan graduan dalam profesion perguruan di masa hadapan, yang mana dikhuatiri boleh menyuramkan wajah graduan pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN