PdPR bukan halangan raih 9A SPM - Utusan Malaysia

PdPR bukan halangan raih 9A SPM

NELSON Loke Weng Hong menunjukkan keputusan SPM sambil ditemani ibunya, Foong Siew Thai ketika ditemui di Bercham, Ipoh, Perak, semalam.  - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belajar secara dalam talian atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan halangan buat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek di sini, Nelson  Loke Weng Hong meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan semalam.

Weng Hong berkata, kejayaannya meraih 6A+, 2A dan 1A- dibantu dengan usahanya yang menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap sesi pembelajaran sama ada dalam kelas di sekolah mahupun secara PdPR.

Katanya, walaupun suasana pembelajaran PDPR berbeza dengan kelas secara bersemuka, namun apa yang lebih utama adalah fokus sejak dari awal kelas secara dalam talian.

“Sama ada kelas di sekolah atau PDPR, saya memberikan sepenuh perhatian apa yang diajarkan oleh guru. Jika ada yang tidak faham, saya terus bertanya, cara itu lebih berkesan untuk saya memahami subjek yang diajarkan.

“Walaupun calon SPM 2020 adalah kumpulan pertama yang menghadapi peperiksaan dalam keadaan Covid-19, ia bukan halangan untuk saya mendapat 9A,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bercham Impian, di sini semalam.

Menurutnya, dia juga akan melakukan ulangkaji setiap mata pelajaran dalam kelas apabila pulang ke rumah.

“Saya mengambil masa kira-kira 30 minit setiap hari melihat semula apa yang cikgu ajar di kelas. Cara ini memudahkan saya mengingati sesuatu mata pelajaran. Selain itu saya juga mengamalkan tidur yang cukup supaya dapat fokus ketika belajar terutama semasa sesi PdPR,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada gurunya yang banyak membantunya meningkatkan kefahamannya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Mata pelajaran Bahasa Melayu saya agak lemah  terutama karangan. Dalam ujian dan ujian percubaan SPM saya hanya dapat B+ namun saya banyak dibantu oleh guru saya di SMK Jalan Tasek juga menerusi kelas-kelas tuisyen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya