PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM ) 2020 mencatatkan Nilai Gred Purata Nasional (GPN) 3.04 dengan 3,656 calon layak mendapat sijil.
Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, keputusan peperiksaan 2020 tidak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya kerana menggunakan format dan kurikulum baharu peperiksaan.
Menurut beliau, seramai 27 calon mendapat semua cemerlang (mumtaz) dalam semua 10 mata pelajaran daripada 7,277 calon yang mendaftar peperiksaan itu.
“Jumlah kehadiran calon menduduki peperiksaan direkodkan 83.39 peratus iaitu meningkat 16.61 peratus berbanding tiga tahun lepas.
“Seramai 227 calon mendapat keputusan minimum sangat baik (jayyid jiddan), 926 calon memperoleh sekurang-kurangnya baik (jayyid) dan 2,477 calon mendapat maqbul (lulus) manakala, 1,918 calon tidak layak mendapat sijil,” katanya dalam sidang akhbar khas pengumuman keputusan peperiksaan STAM 2020 hari ini. – UTUSAN ONLINE