Kembar seiras cemerlang SPM, mahu bahagiakan ibu  - Utusan Malaysia

Kembar seiras cemerlang SPM, mahu bahagiakan ibu 

ROSMAWATI Hamim, bersama Suhaili Md. Zahar dan Suhaila yang mendapat keputusan cemerlang  SPM ketika ditemui di rumah mereka di Flat Fasa 2, Taman Seri Mawar, Senawang, Seremban, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesungguhan pasangan kembar seiras yang mahu membahagiakan ibu mereka akhirnya berbalas apabila kedua-duanya memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Suhaili Md. Zahar, 18, memperoleh keputusan 7A 1B 1C manakala kakaknya, Suhaila mendapat keputusan 3A 2B 3C 1E.

Suhaila berkata, keputusan SPM yang diterima mereka itu adalah hadiah buat ibu mereka, Rosmawati Hamim, 57, yang banyak berkorban selepas bapa mereka meninggal dunia akibat sakit jantung, tujuh tahun lalu.

“Ini hadiah untuk ibu yang banyak berkorban untuk kami. Semoga dengan kejayaan ini dapat membalas jasa ibu. 

“Walaupun keputusan saya hanya 3A dan adik, 7A, kami sudah gembira kerana menggembirakan ibu yang sentiasa menyokong kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Fasa 2, Taman Seri Mawar, Senawang dekat sini semalam.

Pasangan kembar berkenaan ditemui selepas menerima kunjungan pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bayt Assayyidah Khadeejah Alkubro, Siti Aishah Johari yang turut menyampaikan hadiah dan barangan keperluan kepada keluarga berkenaan.

Sementara itu, Suhaili berkata, dia dan kakaknya menduduki kelas yang sama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang dan mengambil peluang untuk belajar bersama ketika sesi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Saya suka menghafal, kakak pula suka memahami sesuatu subjek. Kami juga sering belajar sehingga waktu pukul 12 malam dan cabarannya untuk menghadapi kelas dalam talian pada esok pagi yang bermula pukul 8 pagi dan pernah terlepas sesi tersebut. 

“Semasa pandemik Covid-19 pada tahun lalu, saya dan kakak hanya duduk di dalam bilik tanpa ke mana-mana kerana risau penularan pandemik itu dan mahu fokus terhadap peperiksaan SPM,” katanya.

Tambahnya, keputusan kerajaan melanjutkan peperiksaaan SPM pada  Februari juga menambah kelegaaan kepada dia dan kakaknya untuk mengulangkaji pelajaran. 

“Saya anggap sebulan itu masa yang ada untuk kami mengulangkaji pelajaran dan fokus walaupun hanya mampu bertanya soalan kepada guru melalui aplikasi WhatsApp,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya