PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berbangga dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
Perdana Menteri berkata, setiap calon yang menduduki peperiksaan itu disifatkan individu hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sebelumnya dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, semua pelajar SPM kali ini diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya diharungi.
“Saya doakan agar anda semua memperoleh keputusan cemerlang. Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.
Sudah pasti, kata beliau, harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil memberangsangkan.
“Kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat.
“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama mengingatkan agar keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE