Semak dahulu akreditasi sebelum menyesal kemudian hari - Utusan Malaysia

Semak dahulu akreditasi sebelum menyesal kemudian hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pelajar atau sesiapa sahaja yang berminat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta menyemak terlebih dahulu status akreditasi program yang bakal diikuti.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pemastian terbabit penting bagi mengelakkan golongan itu membazir masa dan wang mengikuti pengajian tidak diiktiraf.

Katanya, apabila pelajar menerima sijil selepas tamat pengajian, pasti mereka mengharapkan kelayakan akademik berkenaan mampu membantu mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi.

“Bagaimanapun, seelok-eloknya sebelum mengikuti pengajian, mereka perlu pastikan terlebih dulu program yang bakal diikuti mendapat akreditasi daripada MQA.

“Program yang sudah mendapat akreditasi pun boleh disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan status terkininya,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pelajar yang mengikuti program pengajian di IPT di negara ini tanpa akreditasi kerana perkara itu bakal memberi kesan kepada peluang apabila mereka memohon pekerjaan kelak.

Mohammad Shatar berkata, cara memastikan akreditasi sesebuah program cukup mudah menerusi laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my, pelajar atau ibu bapa boleh terus semak di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) atau melalui aplikasi MyMQR.

Dalam senarai rujukan itu juga, katanya, terdapat semua program akademik yang ditawarkan IPT di Malaysia sekiranya sudah mendapat akreditasi daripada MQA.

“Apabila sesuatu program disenaraikan dalam MQR, anda tidak perlu risau untuk menggunakan sijil kelayakan akademik yang bakal diperoleh di peringkat sijil hinggalah ke kedoktoran bagi tujuan mencari pekerjaan atau membina kerjaya.

“Ini kerana akreditasi MQA bukan sahaja penting di dalam negara tetapi juga memudahkan kelayakan akademik diiktiraf di luar negara,” katanya.

Tambahnya, selain program IPT tidak diiktiraf, ada juga golongan penipu atau ‘scammer’ yang menggunakan program pengajian untuk meraih keuntungan.

“Sebelum jadi mangsa eloklah semak status program yang hendak diikuti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN