‘Nasib baik aku tak suluh ke atas’

‘Nasib baik aku tak suluh ke atas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMID mundar-mandir di sekitar blok di kilang itu bersama lampu suluhnya. Sesekali dia meninjau di celah-celah papan pallet yang tersusun kemas berdekatannya. Hamid perlu peka dengan keadaan sekeliling. Dia tidak mahu perkara sama berulang lagi. Bulan ini sahaja sudah dua kali kilang tempatnya bekerja dipecah masuk.

Penyelianya sudah mengingatkan kepadanya dan rakan-rakan agar lebih peka dengan keadaan sekeliling terutamanya pada waktu malam kerana kecurian kabel sudah banyak kali berlaku sekali gus memperlihatkan kelemahan pengawal keselamatan yang bertugas.

Atas sebab itulah Hamid dan rakan-rakannya perlu teliti dalam menjalankan tugas. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Nanti dia pula yang dipersalahkan, tambah pula jika kejadian itu berlaku sewaktu syifnya.

Sedang leka meninjau sekeliling, tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi kuat dari arah berdekatan. Terus dia bergegas membuka pintu stor yang sedikit terbuka.
Hamid suluh keliling. Dia mengerutkan dahi kerana tidak dapat mencari punca dari mana arah bunyi yang didengarnya itu. Puas dia suluh di sekitar, tetapi tidak nampak apa-apa yang mencurigakan.

“Mungkin tikus agaknya,” ngomelnya perlahan.

Hamid melangkah keluar sambil menutup pintu stor berkenaan. Namun belum sempat dia menyusun langkah, telinganya sekali lagi menangkap bunyi aneh dari dalam bangunan tersebut.
KROHHHHH… KROHHHH…. KROHHHHH…
KROHHHHH…KROHHHH….. KROHHHHH…

Hamid tergamam. Tanpa berfikir panjang Hamid buka semula pintu stor dan melangkah masuk. Kali ini dia mahu cari teliti di segenap sudut, mungkin tadi dia terlepas pandang agaknya.

Hampir 10 minit menggeledah namun masih tidak jumpa apa-apa yang mencurigakan . Dan yang membuatkan dia berasa pelik apabila sebaik sahaja dia masuk bunyi tersebut terus hilang, seolah-olah tahu akan kehadirannya.

Sedang otaknya ligat berfikir, tiba-tiba…
KROHHHH… KROHHHH…. KROHHHH….
KROHHHH… KROHHHH…. KROHHHH….

Hampir hendak terjatuh lampu suluh yang dipegangnya. Bunyi tersebut amat jelas kedengaran. Bunyi seperti orang berdengkur dengan kuat, Hamid melangkah penuh berhati-hati sambil sesekali mengelak gulungan kabel yang tersusun banyak di lantai.

Sudah puas dia melilau dan menjengah segenap penjuru tetapi masih tidak jumpa apa-apa. Pelik! Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Tiba-tiba Hamid terfikir, entah-entah bunyi tersebut sengaja dibuat oleh rakannya Nazmi untuk menakutkannya, kerana sebelum ini sudah beberapa kali juga rakan setugasnya itu mengusiknya.

“Kalau betullah si Nazmi yang mahu takutkan aku, siaplah dia! Tahulah aku ajar macam mana nanti,” rengus Hamid.

Malas berfikir panjang, Hamid terus keluar dari stor. Dan sebaik sahaja dia menutup pintu berkenaan, sekali lagi bunyi pelik tersebut kedengaran. Namun kali ini Hamid tidak mahu terpedaya lagi. Dia ketap bibir menahan geram. Siaplah Nazmi sekejap lagi!

Hamid terus menuju ke bilik pengawal. Jika benarlah itu angkara Nazmi dia sudah buat rancangan untuk kenakan rakannya itu. Kali ini biar Nazmi pula yang mencicit lari ketakutan.

Sebaik tiba di pondok pengawal Hamid terkedu. Dilihatnya Nazmi sedang duduk bersandar sambil membelek telefon bimbit ditangannya.

“Err, kau memang dari tadi ada di sini ke?” Tanya Hamid inginkan kepastian. Nazmi memandangnya sambil mengerutkan dahi.

“Laa, dah kau pergi meronda takkanlah aku hendak tinggalkan pondok ini pula. Buatnya, ada sesiapa datang atau telefon, jenuh pula aku hendak menjawab nanti,” jawab Nazmi panjang lebar.

Hamid terdiam mendengar penjelasan rakannya itu. Jika difikirkan memang ada kebenarannya. Terus dia ceritakan apa yang dialaminya di stor sebentar tadi.

Terkekeh-kekeh Nazmi ketawa sebaik mendengar cerita rakannya itu. Geram pula Hamid melihat gelagat Nazmi yang seolah-olah mengejek dan tidak percaya dengan apa yang diceritakannya .

“Entahlah, susah pula aku hendak percaya apa kau cakap ini. Selama aku kerja, tak pernah pula aku dengar bunyi yang pelik, entah-entah imaginasi kau saja,” kata Nazmi tertawa.

“Huh, kalau tak percaya kau pergilah dekat stor itu. Mesti kau dengar punya. Aku pun bukan dengar sekali, tapi berkali-kali,” kata Hamid geram

Malas berbalah panjang, Nazmi ambil keputusan untuk pergi tinjau sendiri di stor berkenaan. Dia mahu tahu sama ada apa yang diperkatakan Hamid itu benar atau pun rekaan.

Hamid perhati Nazmi dari jauh. Terbit pula rasa bersalah pada dirinya kerana menyuruh rakannya itu pergi memeriksa kerana syifnya bertugas bukanlah waktu sekarang, tetapi bila kenangkan sikap Nazmi yang tidak mempercayai ceritanya, terus hilang rasa simpatinya.

Namun tidak sampai beberapa ketika, dia terdengar namanya dijerit bertalu-talu. Bergegas dia keluar dari pondok pengawal sambil melihat Nazmi tergopoh-gapah berlari ke arahnya dengan wajah pucat dan berpeluh.

“Hah, kenapa kau ini? Apa yang jadi?” Tanya Hamid tidak keruan.
“Aaa.. aaa..aku..aku.. aku….,” katanya tercungap-cungap.

Terus Hamid ambil segelas air dan memberikan kepada rakannya itu. Setelah tenang barulah Nazmi menyambung ceritanya.

“Masa aku sampai di stor tadi memang aku ada dengar bunyi macam yang kau cakap tu, jadi aku pun masuklah dan periksa. Puas aku suluh keliling tapi tak nampak apa-apa, tapi lepas aku suluh ke atas…” kata Nazmni terhenti sambil menelan air liur.

“Aku nampak pontianak Mid.. wajahnya hodoh, rambutnya panjang mengerbang dan matanya merah menyala. Dia bertenggek di atas palang besi di bumbung tu,” kata Nazmi sedikit gugup. Ternganga Hamid mendengar cerita rakannya itu.

“Aku tak tunggu lama, terus aku cabut lari keluar,” sambung Nazmi lagi.

Hamid mengurut-urut bahu rakannya itu. Patutlah dia tidak nampak dari mana bunyi yang didengarnya tadi kerana asyik menyuluh di sekitar bawah sahaja. Walaupun bersimpati dengan Nazmi namun dia tetap bersyukur kerana tidak terserempak dengan lembaga yang dimaksudkan, jika tidak entah apalah yang jadi.

Sekarang ini mereka berdua sudah tidak berani keluar meronda. Mereka sepakat ingin cerita perkara tersebut kepada penyelia esok pagi. Kalau boleh mereka tidak mahu bertugas di waktu malam lagi, risau pula kalau pontianak tersebut berkeliaran di merata tempat selepas ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya