Wanita misteri di kolam renang

Wanita misteri di kolam renang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah menyalin pakaian Rashid bergegas menuruni anak tangga dan menuju ke kolam renang yang terletak di tingkat bawah kediamannya. Dia tidak mengambil masa lama kerana unitnya hanya terletak di tingkat tiga, sengaja dia malas menaiki lif kerana baginya lebih mudah dan tidak perlu menunggu lama.

Lampu di sekitar kolam renang sudah banyak ditutup. Yang terpasang hanyalah beberapa sport light yang berada di kiri kanan tangga. Dia toleh sekeliling, langsung tidak nampak sesiapa di situ. Mungkin hari sudah lewat malam agaknya.

Setelah meletakkan tuala di kerusi berhampiran, Rashid terus masuk ke kolam. Menggigil tubuhnya menahan sejuk, lantas perlahan-lahan dia berenang menguakkan tubuh di sekitar kolam.
Hampir 10 minit berendam, tiba-tiba dia ternampak sosok seorang wanita berambut separas bahu siap berpakaian renang sedang turun perlaha­n-lahan ke gigi air.

Rashid memerhati dengan mata tak berkelip. Cantik juga wanita tersebut. Kulitnya putih, potongan badannya juga menarik, fikirnya mungkin wanita tersebut berusia dalam lingkungan awal 20-an. Terdetik juga hatinya ingin berbual, namun bila melihatkan jarak mereka yang agak jauh, terus dia batalkan niat. Mungkin wanita tersebut sengaja mandi di sana kerana tidak mahu diganggu.

Rashid berdoa dalam hati agar wanita tersebut datang berenang hampir dengannya, bolehlah nanti dia menyapa dan bertanya khabar. Kebetulan pula dia baru dua minggu pindah ke kondominium tersebut, bolehlah dia menambah kenalan di situ.

Hasratnya untuk menyapa wanita tersebut seakan tidak menjadi kenyataan kerana wanita tersebut masih berada di hujung kolam. Dia juga tidak mengendahkan Rashid di situ, nampak seakan dia lebih selesa menikmati caranya sendiri.

Sesekali Rashid mencuri pandang ke arah hujung kolam. Matanya melilau sekeliling kalau-kalau wanita tersebut datang berteman, namun tidak pula nampak kelibat sesiapa. Nak kata sudah bersuami rasanya tak mungkin pula kerana usianya nampak masih lagi muda remaja.

Lamunan Rashid terhenti seketika apabila terdengar kocakan air yang kuat. Dia menoleh, nampak wanita tersebut sedang melangkah naik ke atas sambil mencapai tualanya yang diletakkan di kerusi berhampiran.
Wanita itu berlalu pergi tanpa menoleh ke arahnya. Geram juga Rashid, seolah-olah dia langsung tidak wujud di situ. Dalam hati dia menyesal juga kerana tidak bertegur sapa, jika tidak dapatlah juga dia berkenalan dan punya teman baharu di situ.

Sepuluh minit kemudian giliran Rashid pula meninggalkan kolam tersebut. Terasa badannya segar sedikit setelah hampir setengah jam berendam. Dia terfikir jika setiap malam amalkan rutin begitu pasti tidak lagi letih dan lesu.

Keesokan malamnya sekali lagi Rashid mandi di kolam renang kediamannya. Hampir 20 minit berendam tiba-tiba terdengar derap kaki seseorang. Sebaik sahaja ditoleh, dilihatnya wanita semalam sedang masuk ke kolam.

Lokasinya masih di tempat sama di hujung kolam. Mungkin dia tidak mahu diganggu sesiapa agaknya. Puas juga Rashid berusaha mencuri perhatian namun langsung tidak diendahkan.

Hampir setengah jam kemudian wanita tersebut berlalu pergi. Seperti semalam dia sedikit pun tidak memandang ke arah Rashid, seolah-olah Rashid tidak wujud di situ.

Rashid terfikir jika malam esok wanita tersebut turun mandi di situ dia akan datang menyapa. Dia fikir mungkin wanita tersebut segan untuk menegurnya, maklumlah tak mungkin perigi yang mencari timba. Kali ini biar dia yang memulakan. Barulah gentleman.

Keesokan malamnya Rashid sampai awal ke kolam tersebut. Lampu sekitar kolam sudah dipadamkan. Selesai meletakkan tuala, Rashid terus masuk ke kolam dan berenang. Sesekali dia menoleh ke arah hujung kolam jika-jika wanita semalam sudah sampai untuk mandi.

Hampir setengah jam menunggu namun kelibat wanita tersebut masih belum muncul. Puas dia menoleh ke kiri ke kanan melihat sekeliling, namun suasana sepi dan kosong, yang kedengaran hanyalah bunyi unggas di sekelilingnya. Terbit rasa kecewa di wajah Rashid. Fikirnya mungkin wanita tersebut tidak datang ke kolam malam itu.

Sedang leka merendam tubuh di dalam air, tiba-tiba dia terlihat cahaya lampu menyuluh tepat ke arahnya.
“Hello encik.. encik,…” terdengar satu suara memanggilnya dari arah belakang.

Serta merta Rashid memalingkan muka. Kelihatan seorang pengawal keselamatan berdiri di belakangnya sambil memegang lampu suluh.

“Iya, ada apa tu?” Tanya Rashid kembali sambil berpaut pada tangga di kolam renang tersebut.

“Maaf encik, selepas pukul 10 malam tidak dibenarkan mandi di kolam,” kata pengawal tersebut.

Rashid mengerutkan dahi tanda pelik. Setahunya larangan mandi di kolam adalah selepas jam 12 tengah malam. Rasanya arahan tersebut ada ditampal di papan kenyataan berhampiran lif di unitnya.

“Eh, bukan pukul 12 malam ke? Ini baru pukul 11.30,” kata Rashid mengerutkan dahi. Pengawal tersebut menghampirinya dengan wajah kelat.

“Betul encik, sebelum ni memang kolam tutup pukul 12 tengah malam, tapi sejak minggu lepas pihak management dah keluarkan arahan supaya tutup pukul 10 malam,” kata pengawal yang berusia awal 40-an itu panjang lebar.
Rashid menyeka rambutnya yang basah ke belakang.

“Kenapa tiba-tiba tukar masa?” Tanya Rashid lagi inginkan kepastian.

Perlahan-lahan pengawal tersebut menghampirinya. Rashid pelik melihat gelagat pengawal tersebut yang agak gelisah.

“Minggu lepas ada seorang perempuan mandi di sini. Rasanya nak dekat pukul 12 juga. Dia lemas, tak tahu apa sebabnya. Mayatnya pengawal jumpa masa buat rondaan pagi tu. Lepas insiden itulah management tak kasi gunakan kolam renang ini lepas pukul 10 malam,” kata pengawal tersebut perlahan.

Rashid tergamam. Dia bingkas naik dari kolam. Dicapainya tuala sambil menarik lengan pengawal tersebut.

“Memang sejak seminggu ini tak ada orang lain yang mandi ke bang?,” Tanya Rashid lagi.

“Memang tak ada sesiapa yang mandi encik. Sebenarnya sudah dua malam saya perhatikan encik mandi time macam ni,” kata pengawal itu lagi. Rashid terdiam sebelum menyambung kata-katanya.

“Err, tapi malam ini saja saya mandi seorang, semalam dan kelmarin ada seorang perempuan mandi di hujung sana,” kata Rashid lagi.

Pengawal tersebut terdiam. Nampak wajahnya sedikit berkerut.

“Biar betul bang. Saya tak nampak sesiapa pun. Tapi sebenarnya di hujung situlah mayat perempuan yang lemas itu kami jumpa,” katanya dengan nada cuak.

Rashid memaut lengan pengawal tersebut sambil meninggalkan kolam tersebut. Masing-masing kelihatan pucat tanpa sepatah kata. Fikiran Rashid jauh melayang mengingatkan apa yang berlaku dua malam berturut-turut sebelum ini. Adakah sosok yang dilihatnya itu wanita yang lemas tempoh hari? Dia tiada jawapan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya