Salam sejahtera kepada pembaca Mingguan Malaysia yang dihormati. Ribuan kemaafan dipinta kerana kebelakangan ini saya tidak dapat menyiarkan cerita seram di akhbar ini atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Insya-Allah, jika tiada aral melintang mungkin kolum kisah seram ini akan terus menemui pembaca pada setiap Ahad seperti sebelumnya.
Baiklah, untuk edisi pertama tahun baharu 2024 ini, saya akan kongsikan sebuah cerita seram yang diceritakan oleh seorang sahabat bernama Badrol.
Cerita ini berlaku kira-kita dua tahun lalu ketika dia melalui laluan dari Batu Pahat ke Mersing berhampiran Felda Nitar. Begini kisahnya…
Badrol memaut kemas stereng sambil matanya melilau ke kiri kanan jalan. Sesekali matanya menjeling ke arah jam yang berada di kenderaan. Sudah hampir 12 tengah malam.
Jalan raya di hadapannya amat gelap gelita, maklumlah jalan kampung begitu memang tiada lampu jalan, kalau ada pun hanya di simpang masuk di beberapa batang jalan kecil menuju ke felda berdekatan.
Sesekali Badrol toleh ke luar tingkap. Langsung tidak nampak kelibat sebutir bintang di langit. Mungkin sebentar lagi hujan, fikirnya. Sambil memandu mulutnya bersiul mengikut irama lagu dari radio kenderaan.
Namun tiba-tiba dia tersentak apabila tertoleh ke arah perhentian bas separuh usang di tepi jalan. Jelas kelihatan sosok seorang wanita duduk di kerusi. Lantas dia perlahankan kenderaan.
Dia berhenti betul-betul di bahu jalan bersebelahan dengan perhentian bas. Kelihatan seorang wanita separuh abad sedang duduk sendirian di situ. Badrol turunkan tingkap sambil menyapa…
“Assalamualaikum. Mak cik hendak ke mana malam-malam ni?” Tanya Badrol sambil memperlahankan radio kenderaannya.
Wanita tersebut tidak menjawab tetapi dia terus bangun sambil menghampiri Badrol.
“Maaf nak, mak cik tak berapa dengar. Anak tanya apa tadi?” Soalnya sedikit kuat.
Sebaik sahaja wanita itu menghampirinya, barulah dia dapat melihat fizikal wanita tersebut dengan jelas.
Tubuhnya kecil dan memakai baju kurung putih yang sedikit singkat. Kepalanya dilitupi selendang berwarna kuning. Wajahnya kedut seribu, mungkin usianya sudah mencecah lebih separuh abad.
“Err, mak cik nak ke mana tengah-tengah malam ini?” Tanya Badrol sedikit kuat.
Wanita itu tidak menjawab soalannya tetapi sekadar tersenyum sambil memandangnya.
Serta merta jantungnya berdebar kencang. Pelbagai andaian mula bermain di fikirannya. Rasa menyesal pula dia berhenti.
“Mak cik tunggu orang. Tapi dah lama tunggu tak muncul-muncul pula,” katanya kepada Badrol.
Badrol diam sambil tertanya dalam hati. Siapa pula yang ditunggu oleh wanita tersebut di waktu tengah malam begini. Otaknya mula menerawang jauh. Lantas dia mencuri pandang ke arah sosok tersebut kalau-kalau boleh menimbulkan sebarang kecurigaan.
“Oh, saya ingatkan makcik nak tumpang kenderaan untuk ke mana-mana, rupanya tunggu orang kalau macam itu saya minta dirilah ye,” kata Badrol kembali. Wanita tua tersebut mengangguk sambil tersenyum.
“Hah, satu lagi saya hendak pesan ni makcik, kalau nak tunggu orang pun janganlah tunggu di tempat gelap macam ni. Nanti tak ada sesiapa nampak. Makcik tunggu di bawah lampu tepi simpang tu,” kata Badrol sambil menolak gear kenderaannya.
Sekali lagi wanita tersebut mengangguk. Setelah memberi salam Badrol memecut kenderaannya. Dia meneruskan pemanduan dengan berhati-hati. Dalam hati dia berharap agar rakan-rakanya sudah sampai di Mersing kerana esok mereka akan ke pulau berhampiran untuk memancing.
Ikut rancangan asal sepatutnya mereka pergi bersama menaiki satu kereta, tetapi disebabkan dia menghantar isteri dan anaknya pulang ke kampung di Muar terlebih dahulu, jadi terpaksalah dia bertolak seorang diri.
Jam dalam kenderaan sudah menunjukkan hampir 12.30 malam. Rasanya kalau tiada aral melintang mungkin dalam dua jam lagi dia akan sampai ke pekan Mersing. Sedang leka memandu tiba-tiba….
‘KRAKKK…KRAKKKK… KRAKKKKK…KRAKKK….’
Terdengar bunyi yang kuat dari bawah kenderaan. Bunyi seperti dia terlanggar sesuatu objek besar dan keras. Serta-merta Badrol memberhentikan kenderaan.
Lantas dia mengambil lampu suluh besar dan memeriksa di bahagian hadapan kereta. Langsung tidak nampak sebarang cacat cela atau kesan terlanggar sesuatu.
Disuluhnya pula ke bahagian bawah kenderaan juga kosong tidak nampak sebarang objek yang mencurigakan. Dia garu kepala yang tak gatal, apa pula yang dilanggarnya tadi getusnya dalam hati.
Dia menyuluh di sekitar bahu jalan kalau-kalau ada sesuatu yang mencurigakan tetapi kosong belaka. Sedang dia ingin masuk ke dalam kenderaan untuk meneruskan perjalanan tiba-tiba dia terkejut apabila disapa seseorang…
“Eh, kenapa ni nak? Anak langgar apa tadi?” Kedengaran satu suara dari arah belakangnya.
Dalam suasana kelam malam, Badrol dapat melihat dengan jelas satu sosok menghampirinya.
Namun apabila semakin dekat tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang seakan ingin luruh kerana sosok yang berada di hadapannya itu adalah wanita tua yang baru sahaja ditemuinya sebentar tadi.
Badrol tidak menjawab. Dia kaget dan mulutnya seakan terkunci. Entah kenapa tubuhnya serta-merta menggigil.
“Itulah lain kali kalau memandu malam-malam kena hati-hati,” kata wanita tua tersebut sambil ketawa mengilai.
Suara hilaiannya cukup panjang dan menyeramkan. Badrol terpaku. Tubuhnya terasa longlai dan tidak bermaya. Dia menggosok mata berkali-kali seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Nampak jelas muka wanita tersebut yang cukup menyeramkan. Dia menyeringai ketawa sehingga menampakkan separuh giginya yang berceracak panjang sebelum berpaling dan menuju ke arah belukar berhampiran.
Badrol kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran sebelum cuba gagahkan diri untuk masuk ke dalam kereta.
Dalam perjalanan ke pekan Mersing otaknya ligat memikirkan siapakah Wanita tua yang baru dilihatnya sebentar tadi.
Adakah dia seorang sahaja yang pernah ‘terkena’ situasi begini ataupun ada pemandu lain juga yang pernah hadapi kejadian yang sama?
Badrol tidak mampu memandu dengan tenang. Fikirannya masih dihantui oleh kejadian tadi.
Dia berdoa agar cepat sampai ke pekan Mersing. Tidak sabar dia hendak menceritakan apa yang berlaku kepada rakan-rakannya nanti. – Mingguan Malaysia
Misteri wanita tua di jalan lama
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 7 Januari 2024, 5:56 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am