Jenazah Long Piah terbujur kaku di ruang tamu. Beberapa tetamu yang berada di situ khusyuk membaca surah Yasin dan ayat suci al-Quran. Sesekali Mali dan Kamal meninjau dari pangkin rumah berdekatan sambil menyapa beberapa penduduk kampung yang baru sampai.
“Jadi ke nak kebumikan malam ini?” Tanya Kamal separuh berbisik.
Mali menggelengkan kepala dengan wajah berkerut. Dia tiada jawapan. Kalau ikutkan semua kelengkapan sudah tersedia malah dia diberitahu liang lahad pun sudah siap digali.
“Aku dengar ada lagi waris arwah yang dalam perjalanan ke sini. Mungkin tunggu mereka agaknya,” jawab Mali sambil menampar nyamuk yang hinggap di lengannya.
Lembayung merah jingga di kaki langit sudah bertukar gelap. Mali menoleh jam di tangan, sudah hampir 8 malam. Terus dia mengeluarkan sebatang rokok sambil menyalakannya. Kelihatan asapnya berkepul-kepul naik ke udara.
Fikirannya menerawang jauh teringatkan arwah Long Piah, seorang bomoh yang cukup terkenal di kampungnya sebelum ini. Tetapi entah kenapa tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Long Piah rebah ketika menyusun kayu api di belakang rumahnya pagi tadi. Bergegas isterinya panggil tok ketua, namun ajalnya sudah sampai, Long Piah tidak sempat dibawa ke hospital.
“Kalau sudah meninggal dunia tak payah bawa ke hospital lagi, kebumikan terus sahajalah, lagipun arwah memang tak suka ke hospital, dia tak percaya pun dengan doktor,” kata isterinya Long Kalsom.
Akur dengan permintaan ahli keluarga, Long Piah akhirnya tidak dibawa ke hospital. Hanya pegawai kesihatan datang untuk mengesahkan kematiannya. Dan kini sudah hampir seharian jenazah Long Piah kaku di ruang tamu rumahnya, menurut isterinya jenazah Long Piah akan dikebumikan apabila selesai waris-warisnya datang melawat.
Seingat Mali, Long Piah memang tidak boleh dengar langsung perkataan hospital. Kalau ada sesiapa yang sakit di kampung dan ingin dapatkan rawatan di hospital pasti ditempelaknya. Dia masih ingat lagi peristiwa ketika Wan Peah menunggu bas untuk ke hospital. Kebetulan pula waktu itu dia berada di sana.
“Kan aku dah kasi kau air penawar? Kau minum sajalah air itu. Yang kau sibuk nak pergi hospital tu buat apa? Doktor tu bukannya pandai sangat, aku lagi tahu penyakit kau tu! Kau tu kena sampuk, doktor bukannya boleh ubat kau!” Leter Long Piah ketika itu.
Terkebil-kebil Wan Peah. Niat ingin ke hospital terus terbantut, akhirnya dia pulang ke rumah sehinggalah penyakitnya melarat sebelum anaknya yang tinggal di bandar pulang membawanya ke hospital.
Menurut penduduk kampung, apa yang dikata Long Piah jangan sesekali dibantah kerana kalau dia marah lain pula jadinya. Mereka kata bila Long Piah sakit hati dia akan ‘menghantar sesuatu’ kepada keluarga tersebut, jadi memang tiada sesiapa berani membantah cakapnya.
Ada yang kata Long Piah ‘membela’ sesuatu kerana pada malam tertentu dia akan pergi ‘menjamu’ sesuatu yang tidak diketahui. Dia akan bawa pulut kuning, ayam golek, bertih goreng dan telur rebus berdekatan busut jantan di belakang rumahnya. Kisah ini disaksikan sendiri oleh Sapuan yang merupakan jiran Long Piah.
Kata Sapuan, dia pernah mengintai gelagat Long Piah. Mulanya dia tidak nampak apa-apa yang curiga tapi setelah sampai di busut berkenaan dilihatnya Long Piah baca satu mantera. Tak lama kemudian muncul satu makhluk besar dan tinggi berbulu lebat seakan seekor king kong berhampiran busut tersebut.
Matanya merah menyala dan wajahnya cukup menyeramkan.
Sapuan kaget dan kelu. Kakinya seakan terpasak di bumi. Nasib baiklah dia dapat mengawal emosi. Katanya lagi, makhluk tersebut menjelirkan lidahnya yang panjang sambil memakan hidangan yang dibawa Long Piah. Tak sampai beberapa minit habis semua dilahapnya.
Terkedu Sapuan. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Nasib baiklah Long Piah tak sedar kehadirannya kalau tidak tak tahulah apa yang jadi. Setelah selesai ‘upacara’ tersebut Long Piah terus beredar. Sapuan yang masih bersembunyi di belukar terus menggigil ketakutan.
Lamunan Mali terhenti apabila terdengar bunyi hiruk pikuk dari arah jalan besar. Melompat dia dan Kamal bangun dari pangkin dan bergegas ke sana.
Sebaik sampai, dilihatnya beberapa remaja belasan tahun sedang berlari dengan termengah-mengah. Lantas dia dan Kamal menenangkan mereka. Nampak wajah mereka yang terkejut dan pucat.
“Eh, kenapa semua ni? Berlari sambil menjerit-jerit. Kena kejar hantu ke?” Tanyanya.
Empat remaja di hadapannya tercungap-cungap sambil menarik nafas panjang. Sesekali mereka toleh ke belakang seakan meninjau sesuatu.
“Ka.. Ka… Kami bukan kena kejar hantu bang, tapi ka.. kami nampak hantu,” kata salah seorang daripada mereka. Mali dan Kamal berpandangan. Pening pula mereka. Hantu apa pula yang mereka maksudkan.
“Kami semua baru balik dari surau tadi. Masa lalu dekat lorong tanah perkuburan tadi kami nampak ada lelaki berdiri di tepi jalan tu. Tiba-tiba dia panggil, jadi kami pun pergilah. Lepas tu dia tanya…” kata salah seorang remaja tersebut sedikit tercungap.
“Dia tanya apa?” Soal Kamal lagi
“Di… dia tanya…. bila nak kebumikan aku?” Sampuk salah seorang daripada mereka.
Kamal dan Mali berpandangan.
“Bila kami datang dekat barulah perasan yang lelaki tu Long Piah. Mula-mula pelik juga kenapa dia tanya macam tu, tapi bila tiba-tiba Hassan menjerit dan berlari tinggalkan kami, apa lagi.. kami pun cabut samalah,”
“Sambil berlari itulah Hassan beritahu Long Piah dah meninggal pagi tadi,” sambungnya terketar-ketar.
Mali dan Kamal terdiam berpandangan. Mereka berdua akhirnya menghantar remaja tersebut pulang ke rumah masing-masing setelah masing-masing takut pulang sendirian.
“Tak apalah, basikal korang tu esok pagilah ambil. Nanti waktu nak bawa jenazah arwah Long Piah ke kubur aku letakkan basikal korang elok-elok di tepi wakaf tu,” kata Mali lagi.
Setelah selesai membantu mereka pulang mereka berdua kembali ke rumah Long Piah untuk uruskan jenazah ke tanah perkuburan.
Dalam perjalanan mereka berfikir tentang apa yang baru berlaku tadi. Mereka pasti cerita tersebut akan tersebar luas esok. Dan yang menjadi persoalan kini siapa sosok yang bertanya kepada remaja tadi. Adakah itu belaan Long Piah atau? – Mingguan Malaysia
Bila nak kebumikan aku?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 14 Januari 2024, 5:11 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Siapa yang balas pesanan itu?
10 September 2023, 5:05 pm
Kau nak belajar silat dengan aku ke?
18 Jun 2023, 5:56 pm
Misteri kereta pukul 2 pagi
11 Jun 2023, 6:27 pm