RAMAI pengguna jalan raya bercerita kononnya laluan di sepanjang Lebuhraya di Bukit Grik agak ‘keras’. Pelbagai kisah seram diceritakan terutamanya melibatkan orang luar yang pertama kali melalui kawasan itu. Pengalaman ini turut dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya bernama Rusdi kepada saya. Begini ceritanya…
Pada September 2017, saya ditugaskan majikan untuk memantau satu projek pembinaan di Baling, Kedah. Memandangkan projek tersebut siap dalam masa satu tahun, jadi saya tidak bercadang membawa keluarga pindah ke sana.
Lagipun kebiasaannya setiap Jumaat saya akan bertolak pulang ke Shah Alam menjenguk mereka, dan pada Ahad barulah saya pulang semula ke Baling. Begitulah rutin saya setiap minggu.
Pada Jumaat petang setelah selesai tugas, saya beritahu dengan pekerja hendak pulang ke Shah Alam. Mereka semua pun sudah faham dengan jadual saya. Setelah mengemas peralatan dan beberapa helai pakaian, saya pun bertolak pulang.
Selepas mengisi minyak dan membeli minuman serta makanan ringan, saya meninggalkan pekan Baling. Begitulah kebiasaan saya jika memandu berseorangan. Untuk hilangkan mengantuk dan rasa bosan macam-macamlah bekalan makanan saya bawa sepanjang perjalanan.
Hari sudah beransur gelap. Saya memandu dengan tenang. Kenderaan di jalan raya juga lengang, maklumlah jalan kampung memang tidak sesibuk seperti di bandar.
Saya lihat jam di papan pemuka kereta. Sudah masuk waktu Maghrib. Langit gelap pekat. Sesekali kelihatan pancaran kilat yang diselangi dentuman guruh. Bintang di langit langsung tidak kelihatan. Nampak seperti tanda-tanda akan hujan sebentar lagi.
Tekaan saya tepat, tidak sampai beberapa kilometer meninggalkan pekan Baling, hujan lebat. Saya memandu dengan berhati-hati.
Ketika kenderaan menuruni kawasan bukit tiba-tiba saya terperasan di bahu jalan di hadapan saya kelihatan satu sosok sedang mengayuh basikal meredah hujan.
Terbit rasa kasihan di hati saya, maklumlah dari pandangan saya lelaki tersebut sudah tua. Kayuhannya juga perlahan mungkin kudratnya sudah berkurangan. Pakaiannya juga sudah basah lenjun.
Ketika ingin melintasnya saya perlahankan kelajuan kereta. Saya toleh ke arahnya, nampak dia asyik mengayuh seakan tidak menghiraukan kenderaan saya di sebelahnya. Namun sebaik sahaja saya ingin memintasnya, tiba-tiba dia menoleh.
Kami berpandangan. Jelas kelihatan raut wajahnya memandang serius ke arah saya. Langsung tidak senyum. Saya tidak menyangka yang bukan-bukan, mungkin kerana dia juga tidak nampak saya di dalam kereta kerana cermin sisi saya sudah dibasahi hujan.
Saya memintasnya perlahan. Dalam hati rasa bersalah juga kerana tidak membantunya, kalaulah dia berjalan kaki pasti saya akan menumpangkannya. Saya berharap agar dia selamat sampai ke tempat ditujunya, jika tidak habislah dia basah kuyup dan kesejukan.
Saya teruskan pemanduan. Hujan di luar semakin galak seakan tidak menunjukkan tanda akan berhenti. Saya menyanyi mengikut rentak lagu yang terpasang di radio untuk menghilangkan rasa bosan. Keadaan jalan raya cukup lengang. Langsung tidak nampak kenderaan yang berselisih dengan saya ketika itu.
Ketika beberapa kilometer ingin sampai ke pekan Gerik, dari samar cahaya lampu kenderaan saya terperasan ada satu objek di hadapan. Saya buka lampu tinggi dari kenderaan. Dari jauh kelihatan seorang lelaki sedang mengayuh basikal di hadapan saya.
“Ramai pula orang naik basikal time-time hujan ini.” Bisik saya dalam hati. Terfikir juga kenapalah mereka tidak tunggu sehingga hujan berhenti. Kalau naik motosikal lainlah ceritanya, tetapi ini basikal. Dah tentulah habis pakaian basah lenjun nanti.
Namun sebaik sahaja menghampirinya, darah saya tiba-tiba tersirap. Jantung serta merta berdegup kencang. Saya amati betul-betul sambil gosok mata berkali-kali.
Sah, sosok di hadapan saya ini memang saling tak tumpah seperti lelaki yang saya pintas sebelum ini.
Saya amati betul-betul. Sebaik sahaja kenderaan saya ingin memintasnya serta merta dia menoleh ke arah saya. Sah! Memang lelaki tadi. Raut wajah dan jelingan tajamnya masih saya ingat. Bola matanya tepat memandang saya. Apa lagi, terus saya memecut pergi. Waktu itu saya sudah tak hiraukan hujan dan jalan raya licin.
Saya pecut dengan laju. Nasib baiklah jalan raya lengang ketika itu, jika tidak tak tahulah apa yang jadi. Waktu itu hanya Tuhan sahaja tahu betapa takutnya saya. Saya pusing cermin sisi di hadapan ke atas. Saya takut kalau-kalau lelaki itu muncul pula di dalam kereta. Mulut pula tidak henti-henti membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk menghilangkan rasa takut.
Alhamdulillah, kenderaan yang saya pandu akhirnya sampai juga di pekan Gerik. Berkali-kali saya beristighfar. Nasib baiklah tiada apa-apa perkara buruk yang jadi. Saya rasa sudah tidak mampu untuk teruskan perjalanan ke Shah Alam waktu itu. Risau kalau berlaku perkara buruk lain sepanjang perjalanan nanti.
Saya berhenti di sebuah restoran untuk tenangkan fikiran. Saya hubungi isteri dan beritahu yang saya tidak dapat pulang malam itu kerana ada urusan kerja. Saya tidak mahu cerita kepadanya tentang apa yang berlaku, takut pula kalau dia risau.
Malam itu, saya sukar untuk melelapkan mata. Fikiran masih terbayang peristiwa itu. Saya cukup yakin lelaki itu adalah orang yang sama ketika saya memintasnya pada kali pertama ketika hujan lebat tadi.
Saya masih ingat raut wajah dan jelingan tajamnya. Saya tidak tahu sama ada dia manusia atau bukan, kerana bila difikirkan semula banyak faktor yang tidak logik dan tidak masuk akal. Contohnya, mana mungkin lelaki tua mengayuh basikal seorang diri dalam hujan lebat begitu. Ke mana arah tujuannya?
Dan kalau benar pun kenapa tidak tunggu sehingga hujan reda? Dan seperkara lagi kalau dia manusia mana mungkin saya boleh bertembung buat kali kedua. Saya memandu kereta dan dia pula mengayuh basikal dengan perlahan. Mustahil dia boleh memintas saya. – Mingguan Malaysia
Siapa yang kayuh basikal itu?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 17 September 2023, 4:51 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am