KISAH yang ingin aku ceritakan kali ini berkenaan pengalaman seorang rakan baik yang tinggal serumah denganku ketika belajar dahulu. Cerita ini berlaku pada awal tahun 2000 ketika kami menyewa sebuah rumah di pekan Kluang, Johor.
Menurut Amar, seumur hidup dia tidak pernah mengalami kejadian menyeramkan sehinggalah terjadi pada satu malam. Disebabkan kejadian itu, dia berasa cukup serik untuk pulang seorang diri pada waktu tengah malam. Begini ceritanya…
Amar melihat jam di tangannya sudah hampir pukul 12.30 malam. Dia lantas berlari anak menuju ke arah perhentian bas berhampiran jalan besar. Sesekali dia berasa titisan rintik hujan mengenai tubuhnya. Mungkin hujan sebentar lagi, bisiknya dalam hati.
Ikutkan tadi dia sudah mahu pulang awal ke rumah, tetapi kakak iparnya beria-ia suruh tunggu sehingga makan malam. Demi tidak mahu mengecilkan hati mereka terpaksalah dia akur, lagipun bukan selalu dia ziarah rumah abangnya. Alang-alang sudah sampai biarlah dia habiskan masa lama sedikit, dapat juga dia berceloteh dan melepaskan rindu dengan anak-anak buahnya.
Bas terakhir biasanya akan bertolak pada pukul 12.30 malam dari terminal. Mungkin dalam beberapa minit lagi sampailah di perhentian tempatnya menunggu. Sekali lagi Amar toleh jam di tangan sambil sesekali matanya liar memerhatikan langit yang gelap tanpa sebutir bintang.
Belum pun sempat dia duduk di kerusi, bas yang ditunggu akhirnya sampai. Setelah naik dan membayar tambang terus dia ambil tempat duduk di barisan tengah. Dia toleh sekeliling, nampak kosong tanpa ada penumpang lain. Namun apabila dia menoleh buat kali kedua di bahagian belakang dia terus terlihat seorang wanita bersama anaknya yang berusia dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun sedang duduk memandang ke arah luar tingkap.
Dia menarik nafas lega. Ada juga orang lain rupanya, ingatkan hanya dia seorang diri dalam bas tersebut, katanya dalam hati. Hujan di luar sudah lebat mencurah-curah. Bas yang tadinya bergerak laju kini dipandu perlahan, mungkin dalam keadaan hujan lebat begini jalan raya licin dan pandangan juga agak terhad.
Amar memandang ke luar tingkap namun tiada apa yang mampu dilihatnya kerana cuaca amat gelap tambah pula di kiri kanan jalan hanya dipenuhi deretan pohon-pohon kelapa sawit dari ladang berhampiran.
Sekali lagi Amar menoleh ke arah wanita di kerusi belakang. Lantas dia lemparkan senyuman sebaik sahaja mereka bertentang mata, namun senyumannya tidak berbalas. Wanita tersebut merenungnya dengan pandangan tajam seakan tidak selesa. Terkulat-kulat Amar telan air liur. Risau juga kalau wanita itu salah sangka, menuduhnya sengaja curi pandang ke arahnya.
Anak perempuannya yang berada di sebelah juga merenungnya dengan pandangan tajam. Amar cukup rasa tidak selesa. Lantas dia terus bangun dan pergi ke kerusi kosong yang berada di belakang pemandu.
“Lebat betul hujan malam ini bang,” kata Amar memulakan perbualan.
Pemandu bas tersebut tersenyum sambil memandangnya melalui cermin sisi hadapan.
“Iyalah, lama tak hujan ni, sekali turun memang lebat,” jawab pemandu tersebut sambil jari jemarinya menggenggam erat stereng yang dipegangnya.
Mereka mula berbual rancak walaupun sesekali terpaksa meninggikan suara kerana di luar masih kuat dengan dentuman guruh dan petir.
“Kalau ikutkan saya malas nak jalan trip ni tadi, tapi kasihan pula pada siapa yang tunggu trip last ini tadi, nanti tak pasal-pasal kena naik teksi pula,” kata pemandu yang memperkenalkan dirinya sebagai Azmi itu.
“Haa, betul tu bang. Kalau abang tak jalan tadi tak tahulah macam mana saya nak balik. Esok pagi ada kelas pula. Jahanam saya bang!” kata Amar ketawa mengekek.
Mereka berdua serentak ketawa.
“Tapi itulah, trip malam macam ni memang tak ramai penumpang. Kadang-kadang buat habis minyak je. Tengok ni, bas punya besar macam ni hanya kau seorang saja penumpangnya. Tak ke rugi syarikat!” kata Azmi berdekah. Amar turut ketawa mengekek sebelum mencelah.
“Eh, bang bukan saya seorang saja yang bernasib baik tau! Tu kakak di belakang dengan anaknya tu… dia pun tunggu last trip tau,” sambung Amar ketawa.
Pemandu bas tersebut lantas meninjau ke arah belakang melalui cermin sisi di hadapannya.
“Kakak mana pula kau cakap ini? Setahu aku kau seorang saja penumpang aku malam ini,” kata pemandu tersebut sambil mencuri-curi pandang ke arah belakang. Amar terdiam, perlahan-lahan dia angkat kepala dan toleh ke arah belakang.
Namun sebaik sahaja pandangannya tertumpu ke arah belakang jantungnya seperti disentap keluar dari tubuh. Entah kenapa dia berasa lemah dan longlai, seakan tidak percaya dengan apa yang disaksikan ketika itu.
Jelas kelihatan wanita tersebut bersama anaknya sedang kaku di kerusi, namun yang mengejutkannya adalah kerana mereka berdua tidak mempunyai kepala!
Menggeletar tubuh Amar ketika itu. Lidahnya kelu tanpa mampu berkata apa. Dia cuba mengawal rasa takut, namun tidak berjaya.
“Haa, tengok! Mana ada sesiapa, hanya kau seorang penumpang aku malam ini,” kata pemandu tersebut dengan yakin.
Amar tidak menjawab walau sepatah. Dia cuba juga untuk berkata-kata namun suaranya seakan tersekat di kerongkong.
Nasib baiklah bas yang dinaikinya sudah masuk ke kawasan pekan di bandar Kluang. Di luar kelihatan lampu-lampu neon menyinari persekitaran. Dalam hati dia tidak putus-putus berdoa mengucapkan syukur kerana sampai ke destinasi.
Sebaik sahaja bas tersebut berhenti di terminal, lantas mencapai beg sandang dan bergegas turun. Ketika kakinya menuruni anak tangga dia sempat menoleh ke arah deretan kerusi di belakang.
Sekali lagi darahnya tersirap apabila melihat kerusi tersebut kosong. Wanita yang dilihat bersama anaknya tadi langsung tidak kelihatan. Kelam kabut Amar turun sehinggakan dia hampir terjatuh di tepi terminal.
“Bang, kalau saya nak beritahu satu perkara abang jangan terkejut ya,” kata Amar sebaik bertemu dengan pemandu itu yang sedang memeriksa ruangan enjin di belakang bas tersebut.
“Apa benda tu?,” Tanya pemandu tersebut mengerutkan dahi.
Terus Amar menceritakan apa yang dilaluinya sejak dia menaiki bas tersebut sehinggalah dia turun di terminal itu. Ternganga mulut pemandu itu apabila mendengar cerita Amar. Nampak raut wajahnya yang sedikit cemas dan tidak keruan.
Setelah berjabat tangan dan mengucapkan selamat tinggal, Amar terus melangkah ke arah rumah sewanya yang terletak tidak jauh dari situ. Walaupun suasana terang benderang namun perasaan takutnya masih berbuku di hati.
Kerana apa? Kerana nanti dia akan menaiki pengangkutan ini lagi. Mungkin pada waktu yang sama, cuma tidak tahu bila waktu dan ketikanya. Entah esok, lusa atau? Entahlah… – Mingguan Malaysia
‘Kau seorang saja naik bas ini’
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 30 Julai 2023, 8:21 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am