Misteri kereta pukul 2 pagi - Utusan Malaysia

Misteri kereta pukul 2 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini banyak cerita kurang enak saya dengar tentang laluan Serendah ke Genting Highland. Ramai pengguna jalan raya bercerita kononnya laluan tersebut ‘keras’ sehinggakan ada yang mengelak untuk memandu malam di laluan itu. Pengalaman ini turut dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya bernama Jasmin kepada saya.
Kata Jasmin, sebelum ini ada juga dia dengar tentang kisah-kisah menyeramkan oleh pengguna jalan raya ketika melalui jalan tersebut, namun dia langsung tidak ambil ‘port’. Katanya, hampir lima tahun dia berulang alik di laluan tersebut namun langsung tidak pernah mengalami sebarang kejadian pelik dan aneh.
Namun segalanya berubah pada suatu malam ketika dia pulang dari bertugas. Begini ceritanya …
Malam itu seperti biasa selepas menyimpan barang-barangnya di loker, Jasmin bergegas ke kereta. Dilihatnya jam sudah hampir pukul 1 pagi. Sesekali dia menguap menahan mengantuk. Ikutkan hati mahu sahaja dia bermalam di tempat kerja kerana hari sudah lewat malam tetapi memandangkan esok ada urusan di bandar terpaksalah dia ambil keputusan pulang ke rumah.
Memang begitu rutin kerja Jasmin sebagai penyelia syarikat keselamatan. Walaupun terpaksa bekerja syif namun dia amat komited dengan tugas yang diamanahkan. Kebiasaannya dalam sebulan hampir seminggu juga dia akan bertugas waktu malam kerana menggantikan rakan-rakan yang bercuti.
Setelah menghidupkan enjin kenderaan Jasmin memandu perlahan menuruni bukit yang sedikit curam. Sesekali dia memasang lampu tinggi untuk mendapatkan penglihatan yang jelas kerana kawasan yang dilaluinya ketika itu penuh dilitupi kabus tebal.
Untuk hilangkan mengantuk dan rasa bosan dia kuatkan radio sambil menyanyi mengikut rentak lagu. Seronok juga bila sesekali dapat melalak dan menjerit seorang diri begitu, maklumlah tiada sesiapa yang dengar.
Kelibat kenderaan lain di jalan raya langsung tidak kelihatan. Jasmin terus memandu dengan berhati-hati sehinggalah memasuki simpang di Bulatan Goh Tong Jaya untuk menuju ke laluan Serendah dan Batang Kali.
Cuaca di luar gelap pekat namun sesekali diselangi pancaran kilat dan dentuman guruh. Bintang di langit pula langsung tidak kelihatan. Nampak seperti ada tanda-tanda hujan sebentar lagi.
Tekaan Jasmin tepat, tidak sampai satu kilometer menuruni jalan berbukit itu, hujan rintik-rintik. Dia lantas memandu dengan penuh berhati-hati. Dan ketika itulah matanya terlihat sebuah kenderaan tanpa lampu di hadapannya yang dipandu perlahan
“Aduh, dalam hujan lebat macam ini pun kau boleh tak pasang lampu. Ini kes lampu rosak ke atau terlupa pasang,” ngomelnya perlahan.
Jasmin ambil keputusan untuk memintasnya. Setelah memastikan laluan di sebelah kanannya selamat tanpa ada sebarang kenderaan, terus dia tukar gear rendah dan…
VROMMMM…
Ketika memintas dia sempat menjeling ke arah kenderaan tersebut. Pelik! Walaupun dalam samar kabus dan rintik hujan dia dapat melihat cahaya terang dalam kenderaan tersebut seolah-olah ada lampu yang terpasang.
“Pelik sungguh kereta ni. Lampu di luar dia tak pasang, tapi lampu yang di dalam pula dia pasang. Terlupa atau sengaja dia nak buat lawak,” bisik Jasmin dalam hati.
Dia memandang ke arah cermin sisi pandang belakang. Tekaannya tepat. Rupa-rupanya lampu hadapan kenderaan tersebut juga tidak menyala. Jasmin merengus sendirian. Fikirnya mungkin lampu kenderaan tersebut rosak.
“Bahaya betul kereta ini. Kalau dah tahu lampu rosak tak payahlah bawa keluar malam-malam macam ini. Tak pasal-pasal bahayakan orang lain,” ngomelnya sekali lagi.
Jasmin teruskan pemanduan. Hujan di luar nampaknya sudah berhenti. Dia melihat jam yang tertera di pemuka kenderaan, sudah hampir pukul 2 pagi. Nampaknya, jika tiada aral melintang dalam setengah jam lagi sampailah dia di rumah.
Sedang dia leka memandu tiba-tiba kedengaran deruman enjin kenderaan di sebelahnya. Dengan pantas Jasmin mengawal stereng yang dipegangnya. Risau pula kalau dia terbabas ke bahu jalan nanti. Dan sebaik sahaja dia menoleh ke arah kenderaan yang memotongnya ketika itu, dia tergamam.
Kelihatan kereta yang tidak berlampu tadi memotongnya secara tiba-tiba. Dan sama juga seperti yang dilihatnya tadi lampu dalam kenderaan tersebut masih terpasang terang, namun dia tidak sempat melihat siapa pemandunya.
Belum sempat Jasmin berfikir jauh tentang kenderaan yang memotongnya ketika itu, tiba-tiba dia menekan brek sekali gus memperlahankan kenderaan.
“Hampeh betul kereta ni. Dah berdesup potong aku tiba-tiba dia bawa slow pula. Dia nak main-main ke atau nak apa ni,” getus Jasmin geram.
Kali ini Jasmin tidak mahu berfikir panjang. Baginya kalau pemandu tersebut ingin bersikap kurang ajar atau sengaja ingin mencari gaduh dia sanggup turun dari kereta mencari penyelesaian. Memang dia anti dengan pemandu yang suka membuli pengguna jalan raya. Mungkin kali ini akan bertemu buku dan ruas.
Setelah melihat kereta tersebut dipandu perlahan, Jasmin terus menekan pedal minyak memotongnya sekali lagi. Dan ketika itulah darahnya tiba-tiba tersirap dan jantungnya berdegup kencang.
Kenderaan yang dipintasnya itu dilihatnya kosong tanpa pemandu. Berkali-kali Jasmin toleh untuk memastikan apa yang dilihatnya itu sahih. Dan memang terbukti tiada seorang umat manusia pun yang ada di dalamnya.
Serta merta tubuhnya menggeletar. Nasib baiklah jalan raya lengang ketika itu, jika tidak tak tahulah apa yang jadi. Beberapa kali juga tayar kenderaannya terbabas ke bahu jalan. Dia seakan hilang tumpuan setelah apa yang disaksikannya sebentar tadi.
Dia pusing cermin sisi di hadapan untuk melihat ke arah belakang. Melalui samar cahaya lampu di jalan raya dia masih dapat melihat kelibat kenderaan tanpa lampu itu di belakangnya. Tanpa berfikir panjang terus sahaja dia tekan minyak dan berdesup pergi.
Hampir 15 minit dia memandu dalam keadaan tidak tenteram akhirnya Jasmin sampai juga di pekan Serendah. Beberapa kali juga dia urut dada dan beristighfar tanda syukur dan lega. Nasib baiklah tiada kejadian buruk berlaku tadi, jika tidak lainlah pula ceritanya.
Setelah parkir kereta dia bergegas masuk ke dalam rumah. Dia capai tuala dan terus mandi. Dia masih ingat pesan orang tua-tua kalau balik tengah-tengah malam pastikan mandi dahulu sebelum masuk tidur, takut kalau ada ‘apa-apa’ yang menumpang.
Sehingga ke pagi dia sukar untuk melelapkan mata. Fikiran masih lagi terbayang peristiwa yang baru ditempuhnya itu. Puas dia fikir tentang kereta misteri itu.
Nampaknya apa yang pernah diceritakan oleh orang sebelum ini telah pun dialaminya. Namun dia tidak tahu sama ada perlukah menceritakan perkara tersebut kepada isterinya.
Dan yang paling difikirkan ketika itu adalah selepas ini dia masih perlu bekerja syif malam dan akan melalui jalan itu juga. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya