JENAZAH Alang Ripin terbujur di ruang tamu. Beberapa kenalan dan anak muridnya yang baru tiba sedang khusyuk mengaji dan membaca surah Yasin. Saya dan Sudin hanya memerhatikan dari jauh.
“Ramai juga anak murid arwah yang datang ye?” Bisik Sudin kepada saya.
Saya hanya mengangguk perlahan mengakui kata-katanya. Memang tidak dinafikan ketika hayatnya Alang Ripin memang terkenal sebagai guru silat yang disegani . Anak muridnya bukan sahaja terdiri daripada anak-anak muda di kampung saya, malah berada di serata ceruk negeri ini. Sebab itulah, saya tidak terkejut apabila ramai tetamu bersilih ganti menziarahi arwah.
“Jadi ke nak kebumikan arwah malam ini?” Tanya saya kepada Sudin.
“Dengarnya, macam itulah. Liang lahad pun dah siap gali, sekarang ini tunggu keranda siap saja,” jawab Sudin perlahan sambil menjengah kea rah bangsal di bawah.
Aku angguk kepala sambil fikiran mengimbau kenangan bersama arwah. Ikutkan hakikat sebenar aku dan arwah tidaklah rapat mana pun. Beberapa kali juga arwah memujuk aku untuk menyertai kumpulan silatnya namun aku tolak secara baik. Alasan aku bukan kerana tidak berminat tetapi perlu menumpukan lebih masa untuk hadapi peperiksaan STPM pada tahun tersebut.
Arwah faham dan tidak memaksa, malah ada ketikanya bila berkelapangan aku akan pergi ke gelanggang silat arwah yang terletak berhampiran rumahnya untuk melihat dia mengajar anak-anak muridnya.
“Ilmu persilatan ini kena ada dalam diri kita. Satu hari nanti bila kau keluar merantau, ilmu inilah yang akan jadi bekalan. Orang lain tak boleh sewenang-wenangnya buli kita,” kata arwah kepada aku.
Seperti biasa aku hanya tersengih mendengar syarahannya. Namun jauh di sudut hati masih belum terdetik untuk menerima pelawaannya. Bukan tidak berminat dengan ilmu persilatan tetapi apa yang diajar oleh Alang Ripin membuatkan aku terpaksa berfikir dua kali. Ayat-ayat mantera yang dilafazkan bukanlah berlandaskan ayat suci al-Quran tetapi lebih kepada jampi serapah yang aku sendiri tidak faham biji butirnya.
Itu tidak termasuk lagi upacara pelik seperti mandi minyak panas, minum air yang sedang mendidih, memakai tangkal kebal dan sebagainya. Perkara-perkara begitulah yang membantutkan hasrat aku untuk berguru dengannya.
“Eh, jenazah dah siap nak bawa ke kubur tu. Jom kita ikut sekali,” kata Sudin mengejutkan lamunan saya.
Aku dan Sudin sama-sama menuruti penduduk kampung menuju ke tanah perkuburan. Sebaik sampai liang lahad sudah siap digali dan beberapa waris arwah saling membantu dalam urusan pengebumian ketika itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selesai bacaan talkin aku dan Sudin bergerak pulang bersama beberapa penduduk lain.
“Okey beb, aku gerak dulu,” kata Sudin sebaik sampai di simpang menuju ke rumahnya.
Selesai memberi salam dan mengucapkan selamat tinggal, kami berpisah dan membawa haluan masing-masing. Aku memulas minyak motosikal dengan perlahan. Risau juga jika menunggang laju pada waktu malam begini kerana bukan sahaja jalannya sempit dan tidak berturap tetapi takut kalau-kalau ada binatang liar dan buas yang tiba-tiba melintas, memang haru dibuatnya.
Sedang aku khusyuk menunggang, tiba-tiba aku tergamam. Melalui cahaya lampu motosikalku kira-kira 20 meter di hadapan aku perasan ada kelibat seseorang berjalan kaki. Lantas aku memperlahankan kelajuan motosikalku.
Dari pengamatanku sosok yang berjalan itu merupakan lelaki berpakaian serba hitam. Di bahunya pula tersangkut sehelai kain pelikat yang agak lusuh. Terus aku berhenti berdekatannya. “Hendak ke mana? Nak tumpang naiklah,” kataku mempelawa. Lelaki tersebut mematikan langkahnya. Dan sebaik sahaja dia menoleh ke arahku serta merta jantungku berdegup kencang dan darahku tersirap. Aku kaget. Entah kenapa aku berasa seperti hendak pengsan ketika itu.
“Betul kau nak tumpangkan aku?” Tanya lelaki tersebut dengan suara garau.
Aku tidak fikir panjang terus pecut motosikal tanpa menoleh ke belakang lagi. Sepanjang perjalanan aku menggigil ketakutan. Memang tak sangka lelaki yang aku sapa sebentar tadi adalah sosok yang menyerupai arwah Alang Ripin. Bagaimana pula dia boleh berada di situ sedangkan dia sudah meninggal dunia dan baru sahaja dikebumikan sebentar tadi?
Alhamdulillah, walaupun terpaksa menunggang motosikal dengan kelam kabut, akhirnya aku sampai juga di rumah. Aku tak sempat bercerita dengan ahli keluarga ketika itu kerana mereka semua sudah masuk tidur. Lantas aku masuk ke bilik dan berselubung hingga ke pagi. Disebabkan terlalu takut, malam itu aku langsung terlupa untuk mandi walaupun sehari suntuk aku berada di rumah arwah untuk membantu menguruskan jenazah.
Keesokannya aku demam mengejut, apa yang berlaku malam sebelumnya turut aku kongsikan dengan ahli keluarga. Terkejut dan terlopong mereka mendengar ceritaku.
“Nampaknya, bukan kau seorang yang ‘kena’ malam tadi, tapi ramai juga,” kata ayah ketika bersiap ingin keluar ke pekan.
Terus aku bertanya ayah dengan lebih lanjut tentang apa yang berlaku. Aku benar-benar ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan ramai yang ‘kena’ pada malam tersebut.
Kata ayah, beberapa penduduk kampung yang pulang lewat malam tadi terserempak dengan sosok menyerupai Alang Ripin. Saya dikira bernasib baik kerana berjaya sampai ke rumah, namun ada yang terbabas masuk ke dalam parit, ke dalam semak dan tak kurang juga jatuh pengsan di tepi jalan.
Kisah tersebut tidak habis di situ. Selang beberapa hari kemudian kecoh pula dengan cerita baharu kononnya gelanggang silat Alang Ripin berhantu. Ceritanya bermula apabila Abang Deris melalui kawasan itu pada waktu tengah malam.
Dari jauh dia nampak sayup-sayup cahaya andang api dan pelita minyak tanah menerangi kawasan tersebut. Bukan sekadar itu sahaja, Abang Deris juga terdengar bunyi suara orang berpencak seolah-olah sedang beradu kekuatan. Abang Deris pun apa lagi terus menuju ke arah gelanggang silat tersebut. Fikirnya mungkin ada anak-anak buah arwah mengambil alih tugas arwah untuk teruskan latihan.
Namun sebaik sampai sahaja di gelanggang silat tersebut Abang Deris tergamam. Kawasan itu sunyi sepi tanpa penghuni. Sudahlah tidak terurus malah persekitarannya juga bertukar gelap gelita. Cahaya yang dilihatnya tadi juga sudah ghaib entah ke mana. Dan sebaik sahaja dia ingin berlalu pergi tiba-tiba dia terdengar suara garau menyapanya…
“Kau datang ni nak buat apa? Nak belajar silat dengan aku ke?” Tanya satu suara garau yang entah dari mana munculnya.
Apa lagi terus dia lari lintang pukang kerana dia cam benar suara tersebut adalah suara arwah Alang Ripin. – MIngguan Malaysia
Kau nak belajar silat dengan aku ke?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 18 Jun 2023, 5:56 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sebenarnya pakcik pun tak selamat…
24 September 2023, 4:37 pm
Siapa yang balas pesanan itu?
10 September 2023, 5:05 pm
Misteri kereta pukul 2 pagi
11 Jun 2023, 6:27 pm