Baru-baru ini saya berjumpa dengan Aina, seorang rakan lama yang satu ketika dahulu sama-sama menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Utara tanah air.
Pelbagai cerita kami bualkan sehinggalah saya diberitahu Aina kini sudah bertugas di ibu kota. Saya tanya kepadanya kenapa ambil keputusan berpindah sedangkan dahulu dia bermati-matian ingin tinggal dan bekerja di luar bandar.
Jawabnya, banyak faktor membuatkan dia berpindah ke ibu kota, dan salah satunya apabila kedua orang anaknya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA di Lembah klang. Suaminya pula tidak ada sebarang masalah kerana bekerja sendiri.
“Lagipun jadi jururawat ini di mana-mana pun sama. Tiada beza pun. Skop kerja macam biasa, yang berbeza hanyalah rakan-rakan setugas di tempat kerja,” katanya kepada saya.
Saya hanya tersenyum. Lantas kami berbual panjang sehinggalah dia bercerita tentang pengalamannya berdepan dengan kejadian-kejadian aneh dan seram ketika bertugas syif malam. Saya terlopong dengar celotehnya. Saya tahu apa diceritakannya benar dan bukannya rekaan.
“Ada satu kisah seram yang benar-benar aku alami ketika bertugas di tempat lama dahulu. Sampai hari ini aku masih ingat. Kalau kau nak tahu lepas kejadian itu aku demam seminggu,” katanya bersungguh.
Terus saya minta dia ceritakan. Entah kenapa tiba-tiba saya rasa bersemangat pula untuk mendengar kisahnya itu…
Lantas dia memulakan cerita…
Aina melangkah perlahan menelusuri koridor di hadapan sambil matanya liar mencuri pandang ke arah deretan katil bersusun di sepanjang lorong tersebut. Sesekali dia menguap sambil menggosok mata, maklumlah hari ini dia baru memulakan syif malam setelah hampir dua bulan bertugas di waktu siang. Sedikit sebanyak kitaran waktu tidur dan jaganya juga sudah mula berubah.
Sampai di kaunter dia lantas mengambil fail di rak dan membelek senarai nama pesakit di situ. Suasana malam cukup sunyi, yang kedengaran hanyalah bunyi deruan pendingin hawa.
Sedang leka meneliti senarai nama pada fail di tangannya, tiba-tiba dia tersentak. Terdengar suara menyapanya dari arah belakang.
“Malam ini kerja seorang sajakah? Mana kawan lain?” Tanya seorang wanita berpakaian pesakit yang entah dari mana munculnya.
“Errr… hah, iya. Malam ni saya jaga berdua sahaja. Rakan sorang lagi turun ke bawah beli minuman sekejap,” kata Aina sedikit gugup.
Wanita separuh abad itu menganggukkan kepalanya.
“Err, kenapa makcik tak tidur lagi? Perlu apa-apa bantuan ke?” Tanya Aina kembali memandangkan dia tidak pernah mengenali sosok yang berada di hadapannya ketika itu.
Wanita itu tidak menjawab pertanyaannya. Matanya liar memandang sekeliling.
Jam di dinding, sudah menunjukkan hampir 1.30 pagi, Aina masih tertanya-tanya dalam hati tentang gerangan wanita tersebut. Tidak tahu apa mahunya, lagipun pesakit tidak dibenarkan berkeliaran di sekitar wad tambah pula bila sudah larut malam begini.
“Wad makcik di mana? Kalau perlu apa-apa bantuan beritahu pada saya, insya-Allah saya bantu,” kata Aina perlahan.
Wanita itu merenung tepat ke arahnya. Mukanya berkerut seakan tidak faham dan keliru dengan apa yang diperkatakan Aina sebentar tadi.
Tanpa memberikan jawapan tiba-tiba wanita itu berlalu meninggalkannya. Aina tergamam sambil garu kepala.
Perlahan-lahan Aina buka pintu mengintai ke arah deretan katil di wad berdekatan. Dilihatnya suasana sunyi sepi. semua pesakit sedang nyenyak tidur. Matanya liar mencari-cari di mana kelibat wanita yang ditemuinya sebentar tadi.
“Di mana pula katil wanita itu tadi,” getus Aina perlahan sambil matanya liar memandang sekeliling.
Sebaik sahaja dia berpaling untuk berpatah balik ke kaunter, tiba-tiba telinganya menangkap satu suara memanggil namanya.
“Boleh bantu makcik sekejap tak?” Kedengaran suara memanggilnya dari arah sudut wad.
Aina tarik nafas lega. Rupa-rupanya suara tersebut datangnya dari arah katil di hujung wad. Aina berjalan perlahan sambil mengecilkan matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Dalam samar malam kelihatan satu sosok sedang duduk bersila di atas katil.
“Laa… makcik ke? Tadi saya tanya makcik tak nak cakap. Haa, makcik nak minta tolong apa tu?” Tanya Aina perlahan seakan berbisik.
“Tolong bawa makcik ke tandas sekejap boleh?” Tanyanya sambil membetulkan kain sarung yang dipakainya. Aina tersenyum sambil membantu wanita itu turun dari katil untuk ke tandas.
Dalam perjalanan ke tandas berdekatan Aina dapat merasakan sesuatu yang aneh. Tubuh wanita tersebut dirasakan cukup berat berbanding saiznya yang kurus dan rendah. Cengkaman jari jemarinya juga cukup kuat dan menyakitkan.
“Nanti kalau makcik dah selesai panggil saya. Saya tunggu di kaunter,” kata Aina sebaik sampai di pintu tandas.
Wanita tersebut tidak memberikan respons. Dan sebaik sahaja pintu ditutup Aina terus melangkah pergi menyambung tugasnya. Namun hampir 15 minit berlalu barulah dia perasan wanita tadi masih tidak keluar dari tandas.
Aina segera ke tandas namun tiada seorang pun yang berada di situ, terus dia bergegas ke wad untuk melihat kalau-kalau wanita tersebut berjalan sendiri ke katilnya. Namun sebaik sampai dilihatnya katil tersebut kosong.
“Pelik pula, ke mana pula wanita tadi pergi,” getusnya perlahan. Tanpa berfikir panjang terus dia kembali ke kaunter untuk bertanya rakannya.
“Hasma, kau ada nampak tak seorang makcik yang baru keluar tandas sekejap tadi?” Tanyanya sambil meninjau sekeliling.
Rakannya Hasma mengerutkan dahi sambil memandangnya kehairanan.
“Makcik mana pula ni?” Tanya Hasma ke arahnya.
“Tadi, ada seorang makcik di katil hujung tu panggil aku. Dia minta tolong aku bawakan ke tandas,” jawab Aina.
Hasma memandang ke arahnya sambil mengerutkan dahi. Raut wajahnya sedikit cuak dan gelisah.
“Makcik yang kau maksudkan ni yang di katil hujung sekali tu ke? Tanya Hasma inginkan kepastian. Aina mengangguk penuh yakin.
“Betul ke apa yang kau cakap ni Aina? Kau tak main-main ye?” Tanya Hasma kembali.
“Laaa… Betullah! Tak kanlah aku nak tipu kau. Aku yang pimpin bawa dia ke tandas tadi,” jawab Aina bersungguh.
Serta merta wajah Hasma bertukar pucat dan gelisah. Terus dia merapati Aina dan menariknya ke pintu hadapan.
“Sebenarnya katil di hujung tu dah kosong sejak dua hari lepas, makcik yang sakit tu dah meninggal dunia,” kata Hasma gugup.
Aina terdiam. Serta-merta badannya terasa lemah. Mereka berpandangan sebelum meninggalkan kaunter dan turun untuk menenangkan fikiran.
Aina terus berfikir, wanita tua tersebut sudah meninggal dunia, jadi siapakah yang dipimpinnya ke tandas tadi? – Mingguan Malaysia
Siapa pula yang aku pimpin tadi?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 28 Mei 2023, 5:43 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am