MALAM itu aku tidak dapat tidur kerana fikiran masih terbayang suasana pengebumian Pak Sahak di tanah perkuburan siang tadi. Bukanlah aku takut atau tidak boleh menerima ketentuan Ilahi, tetapi aku masih tidak percaya dengan pemergiannya kerana sebelum ini arwah cukup sihat dan tidak ada sejarah sebarang penyakit.
Baru semalam kami berjumpa dan bertegur sapa di kedai runcit hujung kampung, pagi tadi khabarnya selepas bersarapan dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.
Dan setelah diperiksa, doktor mengesahkan yang arwah sudah menghembuskan nafas terakhirnya. Aku terdiam kelu. Senangnya arwah pergi, bisikku dalam hati. Walaupun aku tidak berapa rapat dengan arwah tetapi aku sering terserempak dengannya baik di pekan mahupun jika berada di kebun.
Namun ramai berpesan kepadaku jika terjumpa Pak Sahak di kebun jangan sesekali tegur kerana menurut mereka itu bukanlah Pak Sahak. Aku hanya tersengih mendengar cerita mereka namun untuk mempercayainya jauh sekali.
Tidak dinafikan cerita pasal Pak Sahak memang menjadi buah mulut orang kampung. Ramai yang kata Pak Sahak ada ‘membela’. Kata mereka jangan pelik jika ‘terjumpa’ Pak Sahak di dua lokasi berbeza dalam satu masa kerana satu daripadanya bukanlah Pak Sahak, tetapi hantu raya belaannya.
Aku hela nafas sambil tarik selimut. Jam di telefon bimbit sudah hampir 12.30 malam. Aku pusing ke kiri dan ke kanan namun mata masih belum mahu lelap.
Bunyi unggas dan sesekali sahutan burung hantu jelas kedengaran dari hutan berdekatan. Memang beginilah suasananya bila tinggal di kampung. Selepas Isyak sahaja semua pun sudah sunyi sepi. Yang meriah pun cuma di kedai kopi Pak Samad tempat pemuda-pemuda kampung melepak sambil bermain dam dan menonton gusti.
Sedang aku melayan mata untuk lelap tiba-tiba ketenanganku terganggu dengan bunyi aneh dari luar rumah. Bunyi seakan upih pinang atau pelepah kelapa yang diseret atas tanah.
SRETTTTTT… SRETTTTTTTTT…
Aku pasang telinga sambil menahan nafas. Dalam hati masih berfikir bunyi apakah yang ku dengar ketika itu kerana setahu aku tidak pernah lagi dengar bunyi sedemikian. Risau pula kalau-kalau ada binatang buas atau berbisa yang muncul di tengah malam sebegini.
Perlahan-lahan aku buka tingkap dan intai ke arah luar, namun tidak pula nampak kelibat mencurigakan. Sekali lagi aku pasang telinga.
SRETTTTT… SRETTTTTT…
Bunyi itu muncul lagi, namun kali ini agak kuat. Aku amati betul-betul dari mana datangnya bunyi itu, kali ini aku pasti bunyi tersebut betul-betul datangnya dari bawah rumah berhampiran bilik tidurku.
Aku bingkas bangun menuju ke ruang tamu. Aku lihat bilik ayah dan adik sudah gelap. Barangkali mungkin mereka semua sudah diulit mimpi. Perlahan-lahan aku capai lampu suluh kepunyaan ayah sebelum mengatur langkah turun.
Aku suluh keadaan sekeliling, nampak lengang. Bunyi aneh tadi juga tiba-tiba hilang. Seakan tahu kewujudan aku ketika itu.
“Tak ada pula bunyi tadi,” ngomelku perlahan sambil mata liar memandang sekeliling.
Dan ketika cahaya lampu suluhku liar memancarkan cahayanya ke arah belukar berhampiran, tiba-tiba aku tersentak dan kaget. Serta merta jantungku berdegup kencang. Mataku jelas melihat satu objek berwarna putih seakan nangka yang dibungkus.
Mataku tidak berkelip. Manik-manik peluh sudah membasahi dahi. Memang sah apa yang aku lihat ketika itu adalah sekujur makhluk berbungkus yang dipanggil pocong. Walaupun jaraknya tidaklah hampir denganku namun aku dapat melihat dengan jelas keadaannya ketika itu. Dia berdiri tegak dan keseluruhan kain yang menutupi wajahnya terbuka.
Aku dapat merasakan makhluk tersebut seakan tahu kewujudanku di hadapannya ketika itu. Dari cahaya lampu suluh yang aku pegang aku dapat lihat matanya merah menyala memandang tepat ke arahku. Aku tidak dapat menahan ketakutan sebelum menjerit dan terjelepok jatuh ke tanah.
Keesokannya satu kampung kecoh dengan cerita pocong yang mengganggu penduduk. Rupanya bukan aku sahaja terserempak dengan jelmaan itu malah ramai lagi. Namun kata ayah yang paling kasihan sekali ialah Sudin anak Pak Derus. Katanya, waktu itu Sudin menunggang motosikal dan sebaik sahaja dia melalui jambatan kecil untuk ke rumah tiba-tiba jelmaan pocong muncul di hadapannya.
Apa lagi, menggelabahlah dia. Sudahnya dia tak boleh nak kawal motosikal dan terus terjun masuk ke dalam tali air.
“Nasib baiklah kau cuma pengsan terkejut di depan rumah ini, kalau tidak tak tahulah,” kata ayah sambil melangkah ke dapur.
Menurut ayah dia terjaga dari tidur apabila mendengar jeritanku. Bergegas dia turun dan ternampak aku yang sudah terbaring pengsan.
Kejadian yang berlaku ketika itu menyebabkan ramai penduduk kampung sudah tidak berani keluar malam lagi. Cerita tentang pocong bukan sahaja kecoh di kampungku malah merebak di beberapa kampung berdekatan. Ada juga mulut-mulut nakal yang mengatakan pocong itu adalah jelmaan Pak Sahak.
Aku tidak mahu komen tentang isu tersebut, namun ada juga kebenarannya. Kalau ikutkan sebelum ini memang kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku, tup-tup sehari selepas Pak Sahak meninggal dunia muncul pelbagai kisah aneh dan menakutkan. Aku tidak tahu adakah ia satu kebetulan atau sebaliknya.
Daripada beberapa kenalan dan penduduk kampung yang ku temui ada yang tak berselindung bercerita kononnya wajah pocong itu mirip Pak Sahak sehinggakan ada segelintir penduduk bertindak memulaukan ahli keluarga arwah.
Hampir sebulan juga kisah pocong merayau mengganggu penduduk hangat diperkatakan sehinggalah datang seorang ustaz yang cuba ‘memulihkan’ kampung itu. Walaupun ustaz itu tidak memberitahu secara terperinci tentang kewujudan pocong itu, namun sedikit sebanyak kiasan yang diberinya mampu memberi jawapan.
“Apa yang dah berlaku sebelum ini kita jadikanlah pengajaran. Dan seharusnya sebagai manusia yang berpegang dengan ajaran Islam janganlah sesekali kita lakukan perkara syirik yang boleh menjejaskan akidah,” kata Ustaz Hisham kepada jemaah yang hadir ketika solat Maghrib pada malam itu.
“Sebenarnya pocong itu dari mana datangnya ustaz? Ada yang kata itu jelmaan orang mati lah, hantu raya lah,” tanya rakanku Johari.
Ustaz Hisham hanya tersenyum. Aku tahu dia cuba sembunyikan sesuatu. Dan aku faham sebagai seorang yang warak pastinya dia tidak akan menceritakan keburukan orang lain.
“Perkara yang dah sudah dan selesai tak perlulah kita ungkit lagi. Seharusnya kita teruskan kehidupan seperti biasa,” jawabnya ringkas penuh makna. – Mingguan Malaysia
Benarkah itu jelmaan Pak Sahak?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 14 Mei 2023, 5:36 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sebenarnya pakcik pun tak selamat…
24 September 2023, 4:37 pm
Siapa yang balas pesanan itu?
10 September 2023, 5:05 pm
Kau nak belajar silat dengan aku ke?
18 Jun 2023, 5:56 pm