KISAH yang ingin saya ceritakan ini berlaku pada awal 90-an dahulu, namun ia masih segar di ingatan. Bila saya ingat semula kisah ini sekaligus terbit rasa keinsafan, dan membuatkan saya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian. Takut rasanya jika ada dosa lampau yang tidak diampunkan Allah SWT sehingga ditunjukkan pada saat akhir dijemput sakaratul maut.
Semoga kisah yang akan saya kongsikan ini akan menjadi pengajaran dan pedoman buat kita semua sebelum bertemu pencipta satu hari nanti. Begini ceritanya…
Pagi itu, saya dapat panggilan telefon daripada seorang rakan memberitahu ada seorang penduduk di kariah kami meninggal dunia. Arwah, lelaki berusia lewat 50-an, seorang pemborong ikan di kampung kami.
Sejujurnya, saya amat jarang berjumpa dengan arwah kerana dia lebih banyak menghabiskan masa di pekan menghantar bekalan hasil laut yang diborong daripada nelayan di kampung seberang. Setahu saya, dia juga tidak bercampur dengan penduduk kampung, silap haribulan dia juga mungkin tiada kawan di sini.
Namun nasib baiklah ada seorang pembantunya yang terjumpa arwah terbaring di tepi lorinya ketika dia datang untuk membawa lori ke jeti pagi tadi. Jika tidak, tak tahulah apa yang jadi kerana arwah memang tinggal sebatang kara. Kami juga tidak pasti sama ada dia sudah berkahwin dan berkeluarga kerana sikapnya yang tidak suka bercampur dengan jiran tetangga.
Setelah bersiap saya terus pecut motosikal ke rumah arwah. Harapnya ramailah jiran tetangga yang turut membantu di sana. Sebaik sampai saya lihat jiran-jiran sudah memenuhi halaman. Selesai memberi salam dan bertanya khabar saya melangkah masuk ke dalam rumah untuk melihat jenazah.
Namun sebaik sahaja mata melihat tubuh arwah, saya terkejut. Terus saya beristighfar panjang. Tubuhnya sudah busuk dan kehitaman, perutnya nampak kembung. Saya terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya jeling rakan-rakan di sebelah, nampaknya mereka juga menunggu arahan daripada saya.
Saya beritahu mereka agar jangan usik mayat tersebut kerana apa-apa yang berlaku sekalipun kena tunggu pihak berwajib sampai dahulu walaupun secara logiknya arwah sudah meninggal dunia. Yang penting, perlu ada pengesahan dari pihak berkenaan.
Tidak lama kemudian pihak polis dan pegawai perubatan hospital sampai. Setelah melihat situasi si mati dan mengesahkan kematiannya, beberapa anggota polis terus berjumpa pembantunya untuk bertanyakan soalan, lantas dia mengarahkan supaya mayat itu dibawa ke hospital untuk menjalani bedah siasat jika terdapat sebarang unsur khianat atau sebagainya.
Saya dan beberapa penduduk di taman itu bersama-sama membantu polis mengangkat jenazah untuk dimasukkan ke dalam kenderaan dan seterusnya dibawa ke hospital.
Sebaik kenderaan membawa arwah bergerak pergi, saya bertanyakan kepada beberapa orang di situ tentang ahli keluarga si mati kerana saya lihat tidak ada seorang pun anggota keluarganya di rumah tersebut.
Menurut cerita mereka, arwah baru sahaja pindah ke kampung ini sejak setahun lalu. Namun tidak tahu pula sama ada arwah sudah berumah tangga atau belum kerana dia tidak pernah berkongsi cerita kepada sesiapa.
“Patutlah dari pagi tadi lori arwah tak bergerak. Pelik juga, saya ingatkan dia cuti berniaga hari ini” celah seorang lelaki di situ.
Menurutnya lagi, sepanjang mengenali arwah sekalipun mereka tidak pernah bertegur sapa. Pernah juga ingin cuba berbual, namun arwah mengelak.
Sebaik sahaja saya dan rakan-rakan ingin beransur pulang, tiba-tiba datang seorang pemuda berusia lewat 30-an memberi salam. Lelaki tersebut lantas memperkenalkan dirinya sebagai saudara arwah yang tinggal di daerah Pekan Lama.
Saya tarik nafas lega. Akhirnya, ada juga waris arwah yang tahu. Jadi, mudahlah urusan untuk kebumikan arwah nanti.
“Saya dah beritahu pada ahli keluarga lain. Insya-Allah nanti mereka akan sampai,” kata pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Amir itu.
Kami yang berada di situ tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada sanak saudara yang akan berikan penghormatan terakhir semasa pengebumian nanti.
“Ustaz, boleh tak temankan saya ke hospital untuk uruskan jenazah arwah. Maklumlah saya ni bukannya pandai sangat. Kalau ustaz ada legalah saya sikit,” katanya kepada saya.
Saya serba salah. Hendak ditolak rasa macam tak manis pula. Akhirnya atas rasa tanggungjawab saya bersetuju. Saya menaiki kereta Amir dan menuju ke hospital. Dalam perjalanan saya sambung berbual dengan Amir. Cerita kami banyak berkisar tentang arwah.
“Pakcik saya memang pelik sikit ustaz. Dia tak suka bercampur dengan orang. Masa dia pergi umrah tahun lepas pun dia langsung tak beritahu sesiapa. Kami tahu pun selepas dia balik,” kata Amir.
Melalui cerita Amir saya sudah tahu sedikit sebanyak tentang arwah. Rupa-rupanya arwah tidak pernah berkahwin kerana katanya dia lebih selesa hidup seorang diri.
Terfikir juga saya bagaimanalah agaknya saat akhir arwah ketika malaikat Izrail datang menjemputnya. Hanya seorang diri tanpa ada ahli keluarga di sisi.
Tapi yang saya pelik arwah memang suka menyendiri. Ketika awal dahulu saya pernah cuba menegurnya memandangkan dia kariah baru di situ, namun dia mengelak dan tidak mahu berbual. Jadi, sejak itu jika bertembung dengannya saya hanya angkat tangan sahaja.
“Itu yang peliknya ustaz. Saya pun tak tahu apa masalahnya. Dia memang tak suka bercampur orang. Usahkan dengan orang yang dia tak kenal, kami saudara mara yang selalu buat kenduri kendara ini pun dia tak pernah datang,” kata Amir perlahan.
Saya tiada jawapan. Mungkin arwah ada sebab tersendiri sehinggakan dia tidak suka bercampur gaul dengan orang lain. Namun yang menjadi persoalan saya mengapakah tubuh arwah tidak seperti jenazah lain yang pernah saya lihat sebelum ini. Hanya Allah SWT sahaja yang ada jawapannya.
Dan seperkara lagi yang bermain di fikiran saya ketika itu adalah bila sebenarnya arwah meninggal dunia? Menurut kata pekerjanya malam tadi dia masih bersama arwah, menghantar ikan ke pasar di pekan, namun secara logiknya pula bila melihatkan keadaan mayat saling tak ubah seperti orang yang sudah meninggal dunia berhari-hari lamanya.
Bukan sahaja perutnya kembung membusung dan kulitnya yang sudah kehitaman, malah bau busuknya juga sudah cukup menusuk hidung. Di situlah saya tiada jawapan.
Wallahualam. – Mingguan Malaysia
Sudah berapa hari arwah mati sebenarnya?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 9 April 2023, 4:51 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am