Assalamualaikum kepada semua pembaca. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Mungkin ada yang beranggapan tidak molek untuk saya bercerita kisah seram pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Tetapi untuk pengetahuan pembaca, kisah yang ingin saya kongsikan ini bukanlah berlaku pada bulan Ramadan, cerita ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu di mana ketika itu saya bertugas sebagai artis rekabentuk di sebuah syarikat swasta di ibu kota. Begini ceritanya…
Ketika baru memulakan tugas saya ada terdengar tentang cerita-cerita kurang enak berlaku di pejabat ketika itu namun saya tidak ambil pusing. Maklumlah sebagai pekerja baharu segan rasanya nak menyampuk dan bertanya, nanti tak pasal-pasal orang kata busy body pula, jadi saya hanya pasang telinga dan dengar saja.
Menurut cerita mereka, kawasan tersebut agak ‘keras’ kerana kononnya tapak pejabat itu dahulunya adalah hutan tebal sebelum dimajukan sebagai kawasan perindustrian. Menurut rakan pejabat, ramai yang terkena gangguan dan tak kurang juga terserempak dengan pelbagai jelmaan. Saya telan air liur mendengar cerita mereka sambil berdoa agar dihindari dari perkara sedemikian. Maklumlah saya ini bukanlah kategori lelaki berani.
Boleh dikatakan setiap hari saya akan pulang dari pejabat sekitar pukul 11 malam. Memang tabiat saya suka pulang lewat kerana mahu membereskan kerja-kerja yang masih belum siap. Kiranya, esok saya tak perlu bergegas untuk menyiapkan saki baki kerja tertangguh. Dan biasanya sebelum pulang ke rumah saya akan singgah mengisi perut di gerai berhampiran. Begitulah rutin saya sebagai orang bujang setiap hari.
Pejabat saya terletak di tingkat lima. Jika sudah malam keadaannya lengang. Tetapi kerana sudah biasa, saya tidak pernah rasa janggal dan takut.
Namun pada suatu malam berlakulah satu kejadian yang tidak saya sangka. Waktu itu saya baru selesai menikmati makan malam di warung berhampiran. Entah macam mana baru saya teringat komputer riba saya tertinggal di meja. Aduhhh, tak pasal-pasal terpaksa menapak semula ke pejabat.
Sebaik melangkah masuk, saya lihat lampu di bilik yang menempatkan unit saya terang benderang. Saya tinjau sekeliling sambil dalam hati tertanya jika ada rakan lain yang masih belum pulang, tetapi ternyata kosong. Memang sayalah individu terakhir pulang tadi, tetapi bila diingat semula rasanya saya sudah tutup semua lampu dan pendingin hawa sebelum keluar.
Saya keluar dari bilik dan tinjau di sekitar ruang pejabat yang luas itu. Memang tidak nampak kelibat sesiapa. Akhirnya saya kembali ke meja ambil komputer riba dan masukkan ke dalam beg. Selepas saya pasti tiada barang lain tertinggal terus saya tutup lampu dan melangkah keluar dari bilik.
Namun sebaik sahaja saya menutup pintu dan melangkah beberapa tapak, tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi petikan gitar. Adakalanya kuat dan adakalanya perlahan. Bunyi yang memecah kesunyian malam ketika itu. Serta merta jantung saya berdegup kencang. Peluh dingin mula terbit di dahi. Dari mana pula datangnya bunyi itu? Takkan ada yang sengaja ingin menakut-nakutkan saya.
Saya buka semula pintu pejabat yang sudah tertutup rapat sambil membuka lampu dari telefon bimbit. Saya suluh keadaan sekeliling. Tidak nampak apa-apa mencurigakan kecuali deretan komputer yang tersusun kemas di meja luar.
Saya melangkah perlahan menuju ke arah meja Saiful yang terletak di sudut hujung. Saya ingin periksa di situ kerana setahu saya hanya ada satu gitar di pejabat ini. Dan gitar itu milik Saiful. Biasanya setiap kali rehat atau selepas waktu kerja Saiful dan beberapa rakan akan bermain gitar di sudut mejanya. Begitulah cara mereka melepaskan tension dan penat ketika bekerja.
Namun sebaik sampai di mejanya saya tergamam. Saya lihat gitar miliknya tersandar elok di dinding belakang kerusinya. Saya telan air liur. Entah kenapa tiba-tiba jantung saya berdebar kencang. Cerita rakan-rakan sebelum ini terus menerjah ke kotak fikiran.
“Ada gitar lain ke di pejabat ini,” getus saya dalam hati.
Ketika saya sedang mencari jawapan tiba-tiba saya tergamam. Lampu siling menyala serta merta sekaligus menerangi seluruh persekitaran pejabat ketika itu.
Saya tidak tunggu lama. Tanpa banyak fikir terus saya pasang langkah seribu. Waktu itu saya sudah tak fikir apa yang bakal terjadi. Yang penting saya mesti tinggalkan pejabat secepat mungkin.
Nafas saya mencungap sebaik sahaja sampai di hadapan lif. Berkali-kali jari saya menekan butang lif dengan harapan lif akan segera naik. Peluh sudah membasahi tubuh ketika itu. Mulut saya masih berkumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya.
Situasi menyeramkan yang saya sangka sudah berakhir nampaknya terus menghantui. Ketika jantung berdebar sambil menunggu lif terbuka tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi yang cukup jelas. Bunyi seperti orang sedang mengetuk papan kekunci komputer. Bunyinya cukup kuat. Seolah-olah ada sekumpulan pekerja yang sedang bertugas di pejabat ketika itu.
Gaya dan hiruk pikuknya tak ubah seperti suasana ketika saya dan rakan-rakan bekerja di waktu siang. Berkali-kali saya tekan butang lif agar dapat segera meninggalkan bangunan yang menyeramkan ini. Jantung terasa seakan ingin luruh. Bulu tengkuk pula sudah lama tegak berdiri. Memang sahlah apa yang rakan-rakan bercerita sebelum ini tentang adanya gangguan yang berlaku di pejabat sebelum ini.
Dan sebaik sahaja pintu lif terbuka saya terus bergegas masuk. Dan ketika itulah sayup-sayup telinga saya dapat menangkap bunyi hilaian kanak-kanak dan bunyi petikan gitar berulang kali dari arah pejabat.
Sebaik sampai di kawasan parkir saya lantas hidupkan enjin kereta dan memecut pulang. Ketika itu saya sudah tidak hiraukan keadaan di sekeliling, dalam fikiran hanya ingin pulang ke rumah secepat mungkin.
Kisah saya diganggu menjadi topik perbualan rakan sekerja di pejabat. Masing-masing datang berjumpa saya untuk mengetahui cerita sebenar.
“Itulah kau lain kali jangan sesekali tunjuk berani nak stayback sampai lewat malam, sekarang kan dah kena,” kata Rizal ketawa mengekek.
“Nasib baiklah dia kasi kau dengar bunyi je. Kalaulah dia menjelma di depan kau confirm kau pengsan agaknya,” sambung Johari memanaskan keadaan.
Betul, saya tidak menyalahkan rakan-rakan sepejabat kerana sebelum ini sudah berkali-kali mereka menasihati agar jangan berada di pejabat sehingga larut malam, malah saya akui apa yang terjadi itu berpunca daripada kesilapan sendiri. – Mingguan Malaysia
Gitar berbunyi, lampu terbuka… angkara siapa?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 2 April 2023, 9:38 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am