CERITA ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu. Ketika itu aku bersama keluarga pergi bercuti di kawasan peranginan di Port Dickson. Sebenarnya sudah lama kami sekeluarga merancang bercuti bersama tetapi sering tertangguh kerana kekangan tugas ibu dan ayah.
Namun akhirnya impian kami termakbul, kami adik beradik apa lagi, terus bersorak keriangan. Maklumlah bukan senang nak berkumpul bersama, kebetulan pula kakak dan abangku sedang cuti semester, maka lengkaplah percutian kami satu keluarga.
Ayah menempah dua chalet bersebelahan untuk kami sekeluarga. Satu unit untuk aku, abang dan kakak manakala satu unit lagi untuk ayah ibu dan adik perempuanku. Chalet yang kami tempah juga tidak jauh dari pantai. Kiranya jika air pasang atau ombak memukul batu di tebing pasti kami dengar dengan jelas.
Namun yang kurang menyeronokkan apabila tempat tersebut agak sunyi dan lengang. Mungkin disebabkan kami datang pada hari biasa dan bukannya hujung minggu. Kedai makan yang terletak di seberang jalan juga lengang tanpa pengunjung dan chalet-chalet lain berhampiran kami juga gelap tanpa penghuni.
Malam itu kami tidak keluar makan kerana ibu sudah membawa bekal untuk kami pada malam itu. Saya dan adik beradik berkumpul makan di chalet ibu.
“Tak bestlah ayah kita datang hari biasa. Tempat pun sunyi tak ada orang,” kata kakakku. Kami semua tertawa. Betul apa yang diperkatakan oleh kakak tetapi kami juga faham dengan tugas ayah yang merupakan anggota keselamatan, memang susah untuk dia memohon cuti pada hari minggu dan kelepasan am.
“Okeylah sunyi macam ini. Kalau ramai-ramai nanti penuh sesak pula pantai tu. Susah nak mandi. Haa, esok boleh mandi puas-puas dari depan ni sampai ke hujung sana,” kata ayah sambil tertawa kecil.
Kami semua ketawa mendengar jawapan ayah. Kakak hanya mencebikkan bibir tanda tidak bersetuju.
“Haa, kami balik chalet dululah ayah. Dah lewat malam ni. Mengantuk pula,” kata abang sambil menggeliat.
Aku dan kakak lantas menuruti abang. Setelah mengucapkan selamat malam kami terus melangkah keluar untuk menghala ke chalet kami yang terletak di sebelah.
“Esok pagi sebelum keluar ke pantai datang sini sarapan dulu,” kata ibu sambil menuruti kami ke pintu. Kami tersengih sambil menunjukkan isyarat bagus.
“Kami tidur dulu mak. Selamat malam,” kata abang.
Di chalet kami terdapat dua bilik. Aku berkongsi dengan abang dan satu bilik lagi untuk kakak. Setiap bilik mempunyai dua katil bujang, cukup selesa buat kami.
Selepas mandi aku duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Abang dan kakak sudah masuk tidur di bilik masing-masing. Mungkin mereka letih, tetapi mata aku pula terasa segar, langsung tidak mengantuk.
Hampir pukul 1 pagi barulah aku masuk ke bilik. Aku lihat abang sedang lena di katil sebelah. Aku perlahankan suhu pendingin hawa dan tarik selimut. Namun tidak sampai beberapa saat aku baru ingin lelapkan mata, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi sesuatu.
Aku gosok mata perlahan-lahan sambil pasang telinga. Jelas kedengaran bunyi itu datang dari luar. Bunyi seperti orang sedang berjalan sambil menyepak-nyepak pasir. Aku bingkas bangun dari katil.
Kebetulan pula katil ku bersebelahan dengan tingkap yang menghala ke arah pintu luar, lantas perlahan-lahan aku selak langsir untuk melihat di luar.
Dalam remang cahaya bulan aku dapat melihat jelas kelibat seorang wanita berpakaian serba putih berjalan mundar-mandir tidak jauh dari pantai. Sesekali dia menguis-nguis pasir di kakinya. Aku cuba amati dengan jelas kalau-kalau ada sesiapa yang bersama dengannya ketika itu.
Memang dia berseorangan. Entah kenapa tiba-tiba aku berasa tidak sedap hati. Bulu romaku berdiri tegak sebaik sahaja terdengar salakan anjing berdekatan chalet itu.
Aku intai lagi untuk pastikan apa yang aku lihat itu manusia dan bukannya makhluk lain. Tiba-tiba darah ku berderau. Wanita itu seakan terbang di udara. Jelas kelihatan kakinya sudah tidak jejak ke bumi. Namun pergerakannya tidak tinggi hanya beberapa meter di udara. Rambutnya mengerbang sambil pakaiannya terbuai ditiup angin. Aku menggeletar ketakutan. Sumpah, aku tidak tahu apa yang perlu dibuat ketika itu. Tanpa buang masa aku terus capai selimut dan berselubung di katil. Aku cuba lelapkan mata namun perasan takut yang menguasai diri menyebabkan aku tidak boleh melelapkan mata hingga ke pagi apatah lagi bila terdengar bunyi tapak kaki berjalan sambil menguis-nguis pasir berdekatan dinding chaletku.
Mulutku kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Aku bermandi peluh. Aku tidak tahu jam berapa aku terlelap. Sedar-sedar sahaja abangku sudah mengejutkan ku untuk keluar bersarapan.
“Pergi mandi cepat. Ayah dengan mak dah tunggu. Nanti lepas sarapan boleh kita mandi di pantai,” kata abang sambil menyikat rambut.
Aku menggosok mata perlahan sambil melihat jam di telefon bimbit. Sudah pukul 8.30 getusku dalam hati. Terus aku capai tuala dan menuju ke bilik mandi.
“Haa, malam tadi kenapa pula kau tidur di bilik akak? Aircond di bilik kau tak sejuk ke?” tanya kakak sebaik sahaja aku ingin melangkah masuk ke bilik mandi.
“Err… akak sedar ke?” kataku cuba mengorek cerita.
“Sedarlah. Masa akak nak pergi toilet pagi tu akak nampak bukan main sedap kau berselubung, lepas tu bukannya nak tolong kemas selimut dan bantal yang bersepah tu,” kata kakak.
Aku terdiam. Tidak tahu bagaimana ingin aku beritahu kepada mereka cerita sebenar yang ku alami malam tadi. Dan jika benarlah apa yang diceritakan kakakku pastinya makhluk itu bukan sahaja berada di luar, tetapi sehingga masuk ke dalam chalet penginapan kami.
Bagaimana aku ingin ceritakan kepada mereka tentang apa yang terjadi. Kalau aku beritahu apa yang berlaku pastinya mood percutian kami akan terhenti di sini, namun kalau aku rahsiakan pastinya peristiwa itu akan menghantui setiap malamku selepas ini.
Ini kerana kami bercuti di sini selama empat hari tiga malam, dan aku masih ada baki dua malam lagi sebelum bertolak pulang! – Mingguan Malaysia
Bagaimana dengan baki dua malam lagi?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 30 April 2023, 6:43 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sebenarnya pakcik pun tak selamat…
24 September 2023, 4:37 pm
Siapa yang balas pesanan itu?
10 September 2023, 5:05 pm
Kau nak belajar silat dengan aku ke?
18 Jun 2023, 5:56 pm