Nama saya Amran, berusia pertengahan 40-an. Saya menetap di kampung yang terletak dalam sebuah daerah di Kerian Perak. Saya mengusahakan ladang sawit kepunyaan keluarga, alhamdulillah walaupun tidak kaya, namun kami sekeluarga cukup pakai, makan dan minum.
Selain bekerja di kebun, saya juga aktif menguruskan kebajikan bersama kariah di kampung. Jika ada kenduri-kendara, kematian, sakit pening dan sebagainya memang kamilah akan sampai dahulu untuk memberi bantuan. Begitulah akrabnya ukhuwah dan silaturrahim antara kami.
Baiklah, itu adalah serba sedikit latar belakang tentang diri saya, namun apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah berkenaan satu kisah yang merupakan pengalaman yang tak mungkin dapat saya lupakan sepanjang hidup. Kisah ketika saya membantu menguruskan jenazah salah seorang penduduk kampung dahulu. Begini ceritanya…
Tengah hari, sekitar Jun, 1995, saya diberitahu ada seorang lelaki yang merupakan penduduk kampung meninggal dunia. Walaupun tidak kenal rapat dengan ahli keluarganya, namun pernah juga kami bertegur sapa. Setahu saya arwah bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya pula suri rumah, namun mereka belum dikurniakan zuriat.
“Nanti lepas Asar kita pergilah, bantu apa yang patut,” kata Imam Deris kepada saya. Saya angguk faham. Kebiasaannya jika tiada aral melintang jenazah akan dikebumikan sebelum Maghrib nanti, bagaimanapun semuanya bergantung kepada keadaan.
Menurut cerita yang saya dengar arwah meninggal dunia tengah hari selepas pulang dari bekerja. Arwah sudah seminggu tidak pulang ke rumah kerana bekerja di luar daerah. Saya faham, kerja sebagai pemandu lori kontena memang jarang pulang ke rumah, jika berkesempatan pun hanya seminggu sekali. Masa lain hanya banyak dihabiskan di jalan raya.
Petang itu selepas menunaikan solat Asar saya terus menuju ke rumah arwah. Saya lihat sudah ramai jiran tetangga dan saudara mara arwah tiba. Alhamdulillah, jika begini keadaannya mudahlah kami uruskan jenazah secepat mungkin.
Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, saya lihat jenazah sudah dibaringkan atas tilam di ruang tamu, bertutup dengan kain batik. Saya minta izin untuk melihat jenazah.
Perlahan-lahan, kain yang menutup jenazah saya selak. Sebaik terlihat muka dan tubuh arwah terus saya terkejut. Darah saya tersirap.
Pelik! Kenapa wajah arwah lain daripada kebiasaan. Langsung tidak nampak seperti wajah asalnya yang selalu saya jumpa sebelum ini. Mukanya kusam kehitaman, bibirnya terjuih tebal, matanya pula seakan tersembul keluar dari kelopak dan yang paling mengerikan mulutnya ternganga sehingga menampakkan lidahnya yang terjulur keluar.
Tanpa ingin membuang masa saya dan beberapa kariah yang berada di situ terus meminta kebenaran kepada ahli keluarga arwah untuk memandikan jenazah. Perlahan-lahan kami angkat dan bawa jenazah ke tempat mandi yang disediakan, namun sekali lagi berlaku perkara di luar jangkaan.
Saya lihat perut arwah lembik seperti tiada isi dan hanya diselaputi kulit sahaja. Saya pegang lagi dan tekan, namun tetap sama. Seakan tiada daging di dalamnya. Saya pandang ke arah rakan di sebelah, dia juga seakan mengerti apa yang ada dalam fikiran saya ketika itu.
“Pelik ni, bila kita tekan seolah kita tekan kulit sahaja. Isi perut di dalam seperti tak ada langsung,” bisik Lazim kepada saya. Saya angguk tanpa membalas kata-katanya. Saya teruskan tugas, fikir saya ingin cepat selesai kerana selepas ini jenazah perlu dikafan dan disembahyangkan.
Dan ketika saya menggosok untuk membersihkan kaki arwah sekali lagi saya terkejut. Pelik, sama seperti di bahagian perutnya tadi. Bila saya tekan sahaja hanya terasa kulit dan tulang. Ke mana perginya daging dalam tubuh arwah?
Saya rasa tidak puas hati, terus saya picit dan tekan setiap anggota tubuh arwah, Allahuakbar, semuanya sama. Ibarat tubuhnya hanya kulit dan tulang sahaja. Isi dagingnya seperti sudah hilang.
Ketika jenazah dibawa semula ke ruang tamu untuk dikafankan saya dapat rasakan perubahan pada tubuh arwah. Saya bisik perlahan kepada rakan lain agar berhati-hati ketika memegang dan mengangkat jenazah kerana tubuh arwah sudah ‘lembik’ dan jika tidak dikendalikan dengan cermat dan berhati-hati besar kemungkinan lain pula jadinya.
Saya dan rakan-rakan meletakkan tubuh arwah dengan cermat. Setelah siap dikafankan, saya terus memanggil ahli keluarga terdekat.
“Alhamdulillah, jenazah dah siap dikafankan. Bolehlah sama-sama kita sembahyangkan,” kata saya kepada saudara terdekat arwah di situ.
Setelah mencapai kata sepakat, kami bersama-sama melakukan solat jenazah di kediaman arwah. Saya urut dada lega, nampaknya semua urusan sudah selesai hanya tinggal untuk dibawa ke tanah perkuburan sahaja.
Setelah jenazah dimasukkan ke dalam keranda, saya terus mengarahkan rakan-rakan membantu mengusungnya ke tanah perkuburan, namun sebaik sahaja beberapa orang ingin mengangkatnya, tiba-tiba…“Allahuakbar, beratnya bang,” kata salah seorang pemuda di situ.
Saya kelu. Dalam hati tertanya juga benarkah apa yang dikatakannya itu. Terus saya capai pengusung yang berada di bahunya ketika itu.
Sebaik sahaja kayu pengusung keranda berada di bahu, dahi saya terus berkerut. Allahuakbar! Memang terasa beratnya. Rasanya sepanjang saya menguruskan kematian tidak pernah lagi saya berdepan kejadian seumpama ini.
“Jom kita sama-sama bantu bawa jenazah ke tanah perkuburan,” kata saya kepada beberapa teman di situ.
Saya dan rakan bergilir-gilir membantu mengusung jenazah ke tanah perkuburan. Memang terasa beratnya. Tidak sampai 100 meter melangkah kami akan menyerahkan pengusung kepada rakan lain pula. Begitulah seterusnya sehingga kami sampai ke tanah perkuburan.
“Fuhh, berat betul bang! Tak pernah lagi saya bawa jenazah seberat ini,” kata Lokman yang berada di hadapan saya.
Saya yang mengangkat pengusung di belakangnya tidak menjawab. Saya sendiri sudah mencungap letih seperti tidak cukup nafas. Rasanya sudah berkali juga saya bergilir membantu mengusung jenazah ketika itu.
Memang tidak dinafikan cabaran yang kami hadapi ketika itu. Rasanya kami bukan membawa sekujur tubuh yang dinamakan jenazah, tetapi seakan membawa batu besar yang tidak tergambar beratnya. Baju saya dan rakan-rakan juga sudah lenjun dipenuhi peluh.
Alhamdulillah, jenazah arwah akhirnya selamat dikebumikan. Saya pesan dengan rakan-rakan yang membawa jenazah tadi supaya merahsiakan perkara itu agar tidak mengecilkan hati ahli keluarganya. Saya takut jika ahli keluarganya berkecil hati dan berasa aib dengan apa yang terjadi.
Kata saya kepada mereka, apa yang terjadi hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Sebagai hamba-Nya kita hanya berserah dan mendoakan agar roh arwah ditempatkan bersama golongan insan-insan beriman. – Mingguan Malaysia
Beratnya jenazah ini…
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 12 Mac 2023, 8:45 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am