Malam itu sebaik selesai menunaikan solat Isyak, aku , Bidin dan Fazli tidak terus pulang ke rumah. Kami melepak di pondok berhampiran jalan besar tidak jauh dari surau. Memang sudah jadi rutin kami jika malam minggu di situlah ‘port’ kami melepak sehingga pagi. Biasanya bila tengah malam nanti bertambah ramailah rakan lain datang, maklumlah esok hari minggu semuanya tidak bekerja.
Seperti kebiasaannya, Fazli akan membawa gitar buruk miliknya. Dia memang pandai bermain gitar, cakaplah sahaja lagu apa pasti dia boleh mainkan. Sebab itulah kami boleh melepak bersamanya sehingga ke pagi, sebab tidak terasa waktu berlalu.
Malam itu cuaca cukup baik. Cahaya bulan di langit menerangi persekitaran Kampung Penambang. Aku jeling jam di tangan, sudah hampir 12.30 malam. Dalam hati tertanya-tanya juga bila melihat rakan-rakan lain yang masih belum sampai. Biasanya kalau waktu begini memang sudah penuh pondok tersebut dengan hilaian dan gelak ketawa.
Sesekali gelak ketawa kami memecah kesunyian malam yang ketika itu hanya berlatar belakangkan bunyi unggas dan sahutan burung hantu dari rimba berdekatan, maklumlah jarak kampungku dengan pekan agak jauh juga, jadi bila tengah malam keadaan memang sunyi, apatah lagi bila tiada kenderaan lalu lalang.
Sedang rancak bersembang dan bergelak ketawa tiba-tiba aku terdiam. Hidungku kembang kempis menangkap bau yang tiba-tiba muncul dibawa angin ketika itu. Bau cukup busuk dan meloyakan, tak ubah seakan bau bangkai haiwan yang sudah busuk dimakan ulat. Aku pandang ke arah dua rakan berdekatan. Mereka juga sepertiku dapat menghidu aroma yang kurang menyenangkan ketika itu.
“Eh, bau apa yang busuk sangat ni?” tanya Bidin sambil menutup hidung. Aku dan Fazli tidak menjawab pertanyaannya. Mata kami liar memandang sekeliling ke arah semak berdekatan kalau-kalau ternampak bangkai haiwan di situ, namun suasana gelap menyukarkan pandangan.
“Entahlah, tak pasti pula bau apa, tadi masa kita datang okey je, ini tiba-tiba muncul bau busuk ni. Pelik, dari mana datangnya,” kata Fazli sambil menggosok-gosok hidungnya.
“Entah-entah ada bangkai binatang hanyut dekat parit belakang ini tak? Kataku meneka. Kedua rakanku mengangguk setuju dengan tekaanku. Lantas kami terus sambung bermain gitar. Lepas satu lagu, satu lagu kami nyanyikan sehingga naik serak suara dibuatnya.
Sedang asyik menyanyi dan menghayati petikan gitar Fazli, tiba-tiba kami tergamam. Bunyi dentuman guruh yang kuat memecah kesunyian malam. Terdiam kami seketika. Ketika itulah kilat mula sabung menyabung. Nampak akan hujan sebentar lagi.
“Alamak, macam nak hujan je ni,” kata Bidin sambil mendongak ke arah langit.
“Kita nak gerak ke atau macam mana ni?” tanya Fazli kepada kami.
Aku dan Bidin ketawa mengekek. Kelakar juga bila melihat Fazli yang sedikit cemas ketika itu.
“Kau dah kenapa Li? Tak payahlah nak buat muka cemas sangat. Yang nak turun dari langit ini air hujan je, bukannya batu,” kata Bidin sambil ketawa geli hati.
Kami bertiga ketawa hingga keluar air mata. Fazli mencebikkan bibir seakan tidak berpuas hati dengan gelagat kami yang mentertawakannya. Sedang seronok ‘membahan’ Fazli tiba-tiba dalam kelam gelap malam kami dapat melihat satu sosok sedang berjalan perlahan menuju ke arah pondok tempat kami melepak ketika itu.
“Siapa pula berjalan datang ke sini tu?” tanya Bidin sambil memerhatikan sosok tersebut dengan penuh teliti. Aku dan Fazli mengangkat bahu tanda tidak pasti. Namun mata kami bertiga masih memerhati ke arah sosok yang semakin lama semakin menghampiri pondok.
Tidak lama kemudian barulah kami dapat melihat dengan jelas gerangan sosok tersebut. Seorang lelaki separuh abad berkain pelikat dengan rambut dipenuhi uban.
“Alamak! Tok Ketua rupanya,” kata Bidin sedikit gugup. Lelaki yang disapa Tok Ketua itu tidak menjawab, malah anak matanya liar memandang ke arah kami bertiga.
“Kamu bertiga buat apa tengah malam buta ni? Dah, pergi balik?” Sergahnya ke arah kami.
Waktu itu kami memang kecut perut. Tak sangka dia menyergah kami seperti itu. Lantas kami bertiga terus meloncat dari pondok dan bergegas menuju ke arah motosikal, Dan sebaik sahaja enjin dihidupkan, terus berdesup kami tinggalkan pondok tersebut.
Ketika motosikal yang ditunggang meninggalkan pondok beberapa puluh meter di hadapan, kami berpaling dan melihat ke arahnya. Masih nampak sosoknya yang berdiri tegak sambil memandang tepat ke arah kami.
Bidin yang ketika itu memboncengku meminta agar aku menunggang laju. Beberapa kali juga aku terlanggar lubang di jalan raya yang tidak rata. Fazli pula aku lihat sudah berdesup masuk ke arah jalan tanah merah kecil menuju ke rumahnya. Aku berharap dia sampai dengan selamat.
“Cepat sikit beb. Bawalah laju lagi,” kata Bidin sambil memeluk erat pinggangku.
Rasanya sudah hampir habis tenagaku memerah minyak motosikal ketika itu, namun aku tetap rasakan jentera yang ku tunggang itu bergerak perlahan tidak seperti sebelumnya. Ikutkan hati mahu sahaja aku tinggalkan motosikal ini di tepi jalan dan berlari ke arah rumah.
Alhamdulillah, tidak sampai beberapa minit kemudian aku sampai juga ke halaman rumah. Terus aku istighfar panjang tanda syukur yang tidak terhingga.
“Beb, malam ini aku tumpang tidur rumah kau eh? Seram pula aku nak balik ke rumah time macam ini,” kata Bidin ke arahku.
Aku angguk mengiyakan permintaannya. Terus aku jemput Bidin naik ke rumah. Aku faham dalam keadaan begini pastinya dia takut pulang ke rumahnya seorang diri walaupun jarak ke rumahnya tidaklah sejauh mana.
Malam itu kami berdua tidak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi. Masing-masing masih terkejut dengan peristiwa yang berlaku tadi. Tak tahu bagaimana untuk kami ceritakan kepada kawan-kawan lain esok pagi.
Sebenarnya kami bukan kisah sangat apabila dimarahi Tok Ketua kerana sebelum ini pun dia pernah datang dan menegur kami kerana bising menyanyi dan bermain gitar pada waktu tengah malam, tetapi keadaan ketika itu amat berbeza.
Iya, waktu itu dia masih bernafas dan bernyawa di atas muka bumi ini, tetapi sekarang ini Tok Ketua sudah sebulan meninggal dunia, jadi tidak peliklah jika kami semua cabut lari bila terserempak dengannya… – Mingguan Malaysia
Alamak, Tok Ketua datang…
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 19 Mac 2023, 5:47 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am