Wanita misteri di taman perumahan - Utusan Malaysia

Wanita misteri di taman perumahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI ada sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabatku Mansur. Kisah ini berlaku pada awal tahun 2000 ketika dia bekerja di sebuah negeri di Selatan tanah air. Untuk pengetahuan pembaca, Mansur bekerja sebagai kontraktor pendawaian. Tetapi dia bukanlah bekerja sendiri, dia ada majikan yang akan menguruskan setiap kerja-kerja yang perlu dibuatnya setiap hari.
Kumpulan Mansur ada empat orang pekerja semuanya. Kebiasaannya mereka tidak bekerja tetap di satu lokasi. Mereka akan bergerak ke merata tempat bergantung kepada kerja yang perlu dibuat. Setakat ini, Mansur dan rakan-rakannya sudah pusing satu Semenanjung buat kerja pendawaian, terutamanya di kawasan perumahan yang baru dibuka kerana kebanyakan pemaju akan melantik majikannya untuk mengendalikan sistem pendawaian elektrik.
Mansur lihat jam di tangan, sudah hampir masuk waktu Maghrib. Jarinya ligat memetik setiap suis lampu di dinding rumah banglo tiga tingkat yang baru siap itu. Setelah berpuas hati, dia lantas melangkah ke ruang dapur pula. Sama seperti tadi, jarinya ligat menekan suis-suis di dinding.
“Semua dah okey kan? Kalau dah jom kita pergi ke rumah lot belakang pula,” kata Hassan kepada Mansur.Begitulah rutin kerja mereka. Jika sudah siap melakukan pendawaian mereka akan memeriksa berulang kali untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Jika sudah berpuas hati, barulah mereka akan ke unit seterusnya.
Namun sebaik sahaja ingin melangkah keluar tiba-tiba Hassan mencuit bahu Mansur.
“Eh, kau tak tutup lampu di bilik atas ke?” tanyanya sambil menjengah ke arah tangga berdekatannya. Mansur garu kepala. Rasanya, sebelum turun ke bawah, dia pastikan semua suis ditutup. Tanpa berfikir panjang terus dia bergegas menaiki anak tangga menuju ke atas.
Dilihatnya keadaan di bilik terang benderang. Terus ditutupnya suis di dinding, dan sebaik sahaja ingin melangkah turun tiba-tiba dia tergamam. Dari sudut berdekatan matanya terperasan ada sesuatu aneh di bilik utama. Terus dia menjengah untuk melihat lebih dekat. Sebaik matanya terarah dalam bilik itu, dia tiba-tiba tergamam. Walaupun bilik itu gelap namun dari cahaya terang di luar, Mansur dapat melihat dengan jelas satu sosok berpakaian putih berambut panjang sedang duduk berjuntai kaki di atas palang besi di beranda luar. Mansur telan air liur. Dia kaget seketika. Dia kumpulkan kekuatan dan berlari turun. Rakannya Hassan yang berada di muka pintu terkejut melihat rakannya ketika itu.
“Kau dah kenapa ni? Macam kena kejar hantu,” tanya Hassan kepada Mansur.
Mansur tidak menjawab, dia sekadar memberi isyarat agar mereka meninggalkan kediaman itu. Hassan yang masih kebingungan sekadar menuruti temannya itu, lantas mereka terus menuju ke arah deretan rumah yang berada di belakang.
Sebaik sampai Mansur membuka lampu suluhnya. Cuaca di luar sudah beransur gelap, sesekali terasa angin dari luar menyapa tubuh, maklumlah rumah di situ semuanya masih kosong malah ada juga belum lengkap dipasang cermin dan sebagainya. Walaupun jari-jemarinya sibuk membuka dan menutup suis lampu di kediaman tersebut, namun jantungnya masih berdebar kencang. Dia tidak dapat meneka sosok apa yang dilihatnya tadi. Adakah manusia atau sebaliknya.
“San, kau di mana tu. Marilah sini temankan aku,” laung Mansur sedikit kuat setelah melihat rakannya tiada berdekatan. Bergegas Hassan menuju ke arah Mansur.
“Laaa, kau dah kenapa pula? Aku ada di belakang ini,” kata Hassan sambil menghalakan lampu suluh dipegangnya ke arah Mansur. Mansur tidak menjawab. Dia terus memeriksa kotak suis di hadapannya. Tiba-tiba dia tergamam. Terdengar bunyi kuat dari atas. Bunyi seperti kaca terhempas di lantai. Mansur dan Hassan berpandangan.
“Bunyi apa tu? tanya Hassan kepada Mansur. Mansur menggelengkan kepala. Setahunya di atas masih kosong tanpa perabot, jadi bunyi apa pula yang berdentum kuat tadi.
“Jom kita periksa. Entah-entah ada penyamun datang pecah masuk agaknya,” kata Hassan kepada Mansur. Mereka berdua melangkah perlahan meniti anak tangga menuju ke tingkat atas. Dan sebaik sampai di depan pintu bilik utama mereka tergamam. Dari celah pintu yang terbuka jelas kelihatan satu sosok berpakaian serba putih dengan rambut panjang mengurai sedang berdiri menghadap tingkap sambil memandang ke arah luar.
Hassan menggigil. Lampu suluh yang dipegangnya nyaris terlepas dari tangan. Mansur pula kelu tanpa kata. Terus Mansur menarik tangan rakannya dan bergegas menuruni anak tangga. Mansur nekad tidak mahu lagi meneriksa kediaman lain ketika itu. Kalau majikannya bising, dia sudah ada jawapan. Bukan setakat itu sahaja, malah dia akan bawa Hassan sekali sebagai saksi.
“Makhluk apa yang kita nampak tu beb?” tanya Hassan dengan wajah pucat lesi sebaik sahaja sampai di depan pagar pintu masuk ke taman tersebut. Mansur menggelengkan kepala. Dia sendiri tiada jawapan.
“Kalau kau nak tahu sebelum kita masuk ke rumah tu aku dah jumpa makhluk tu. Aku nampak masa kita periksa rumah pertama di unit depan tu. Aku tak beritahu takut nanti kau ingat aku reka cerita pula,” kata Mansur.
“Tapi tak sangka pula, bila kita pergi ke unit belakang tu, dia ikut sekali. Kalau macam ini gayanya aku tak nak periksa lagi eletrik pada waktu malam, buat time siang sajalah,” sambung Mansur lagi dengan nafas tercungap.
“Kau rasa makhluk apa itu?” tanya Hasaan lagi.
Mansur diam. Namun jauh di fikirannya dia sudah mendapat jawapan. Kata-kata seorang rakan kontraktor bernama Osman yang berbual dengannya minggu lalu menguatkan lagi apa yang bermain di benaknya.
“Kawasan perumahan di sini memang lain macam sikit. Dahulu masa nak buat projek di sini macam-macam benda pelik berlaku. Kalau nak tahu di sebelah ini, ada tanah perkuburan lama, ada juga kubur-kubur di tepi itu yang kita terpaksa pindahkan,” kata Osman kepadanya.
“Benda pelik macam mana tu?” tanya Mansur ingin tahu.
“Aku tak pernahlah jum­pa, tapi mengikut cerita kon­traktor yang mula-mula bersihkan tapak di sini dahulu mereka banyak kali jumpa hantu perempuan berpakaian putih merayau-rayau. Ada yang pernah pengsan sebab terkejut,” kata Osman panjang lebar.
Sedikit sebanyak Mansur percaya mungkin makhluk yang dilihatnya itu sama dengan apa yang pernah diceritakan Osman sebelum ini. Matanya terus liar memandang sekeliling. Dia merasakan seperti makhluk itu ada berdekatan. Entah mengapa tiba-tiba bulu romanya tegak berdiri… – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya