Siapa di dapur tu? - Utusan Malaysia

Siapa di dapur tu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAM sejahtera kepada semua pembaca budiman. Dalam keluaran kali ini aku ingin berkongsi sebuah kisah seram yang terjadi kepadaku kira-kira 20 tahun lalu. Kisah ini berlaku di kampung kelahiranku yang terletak di salah sebuah daerah di Johor.
Ketika itu, aku berusia 18 tahun dan baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM. Sementara menunggu keputusan peperiksaan, aku membantu ayah memotong sawit di kebun. Kiranya lepas jugalah duit belanja harian dan jika dapat lebih aku simpan untuk persediaan jika diterima masuk ke pusat pengajian tinggi nanti.
Kebiasaannya setiap malam aku akan bermalam di rumah nenek yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah keluarga. Sejak datuk meninggal dunia lima bulan lalu nenek tinggal seorang diri, jadi bila dah habis sekolah ini ayah minta aku temankan nenek. Katanya, risau juga tengok nenek tinggal seorang diri, sekurang-kurangnya bila aku ada adalah juga dia teman.
Usia nenek hampir 90 tahun, namun kudratnya masih kuat dan mampu membuat pelbagai kerja rumah. Aku tak tahulah apa ilmu yang nenek pakai, sepanjang masa sentiasa cergas.
“Kau kena risik-risik dan tanya dengan nenek kau tu. Dia mesti ada pakai sebarang ilmu. Cuba kau tengok dia mana pernah jatuh sakit! Kau cubalah bodek mana tahu dia boleh turunkan ilmunya dekat kau,” kata abang Murad, salah seorang pekerja di kebun ayah.
Aku hanya tersengih dan menganggap gurauannya itu sekadar kata-kata kosong. Tetapi bab nenek tidak pernah jatuh sakit memang aku setuju. Setahu aku memang dia sihat sepanjang masa, jika sakit pun sekadar demam biasa dan sehari dua selepas itu pasti sembuh.
Setiap malam seperti sebelumnya aku akan menonton TV sehingga larut malam. Nenek pula awal lagi sudah masuk tidur, lagipun dia memang tidak minat menonton TV, kalau dahulu ketika arwah datuk masih ada hanya datuk yang duduk terpacak seorang diri di kaca TV, nenek pula sibuk di dapur dan selepas selesai urusannya dia terus masuk tidur.
Sedang asyik leka menonton, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi kuat dari arah dapur. Bunyi seperti pinggan jatuh berderai ke lantai. Aku bingkas bangun sambil melangkah turun ke dapur. Sebaik lampu terbuka jelas kelihatan serpihan kaca bertaburan di lantai. Mataku liar pandang sekeliling mencari puncanya. Tak mungkin tikus atau kucing, kerana semua pinggan mangkuk terletak kemas pada rak. Aku garu kepala yang tidak gatal.
“Kau buat apa di dapur ini Amri? Tak tidur lagi?”
Tersirap darahku seketika. Lantas ku toleh ke pintu dapur yang sedikit terbuka ketika itu. Terus aku urut dada.
“Fuhhh… nenek rupanya. Saya ingatkan siapa tadi,” kataku sambil menghela nafas lega.
“Dah malam pergi tidur. Tak elok berjaga lewat malam,” katanya lagi sambil mengambil penyapu di tepi dinding.
“Dah, pergi tidur. Biar nenek bersihkan,” sambungnya sambil terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca di lantai. Sesekali nampak rambut putihnya yang dipenuhi uban.
Niatku untuk membantunya tidak kesampaian apabila dia bersungguh-sungguh melarangku. Aku tersengih sambil melangkah meniti anak tangga menuju ke atas. Sempat juga aku jeling ke arahnya. Walaupun sosoknya sudah nampak uzur dan dimamah usia namun kudratnya masih kuat dan gagah.
Aku sambung baring di atas sofa di anjung rumah sambil menonton TV. Entah kenapa malam itu aku rasa segar pula berbanding malam sebelumnya. Aku toleh jam di dinding sudah hampir 12.30 tengah malam. Sesekali aku menguap sambil menukar siaran melalui alat kawalan jauh yang ada digenggaman.
“Eh, kau tak tidur lagi Amri? Dah lewat ni… esok kan nak tolong ayah di kebun,” sapa suara berhampiranku. Serta merta aku menoleh, nampak kepala nenek menjengah keluar dari arah pintu bilik. Sekali lagi aku urut dada.
“Sekejap lagi nek. Saya nak habiskan cerita Hindustan ini dulu, nanti saya masuklah tidur,” kataku sambil tersengih.
Nenek hanya menggelengkan kepala. Nampak dia keluar dari bilik sambil mengikat kemas kain batik yang dipakainya ketika itu.
“Eh, nenek nak ke mana pula tu?” tanyaku lagi kehairanan. Nenek berhenti melangkah sambil berpaling ke arahku.
“Laaa… kau tak dengar ke bunyi apa yang pecah di dapur tu? Itulah kau buka TV kuat sangat, semua benda yang jadi pun kau tak dengar,” sambung nenek sambil merengus perlahan.
Aku terdiam. Dalam hati berasa pelik. Agaknya dah nyanyuk nenek ni, bisikku dalam hati. Baru tadi aku jumpa di dapur dan dia sibuk kemaskan kaca yang berselerak di lantai, boleh pula dia tanya aku pasal bunyi benda pecah. Aku kerutkan dahi dan mula memikirkan sesuatu.
Sedang otak ligat berfikir, tiba-tiba aku lihat nenek melangkah naik dan menuju ke arahku.
“Eh, nenek ini dah nyanyuk agaknya. Tadi tu kan bunyi pinggan pecah. Masa saya turun tadi nenek sibuk suruh saya naik sebab nenek nak bersihkan. Dah ni nenek tanya saya pula bunyi apa. Ke nenek mengigau,” kataku panjang lebar.
Nenek terdiam mendengar penjelasanku. Serta merta raut wajahnya bertukar gelisah. Seakan ada sesuatu yang tidak kena ketika itu.
“Dah… dah.., pergi tidur. Dah malam ni..,” katanya sambil anak matanya melilau seakan mencari sesuatu.
Aku yang tidak mahu memanjangkan cerita terus akur dengan permintaannya. Lantasku tutup TV dan masuk ke bilik. Namun ku lihat nenek masih tercegat di anjung rumah.
Sebaik merebahkan badan di katil, aku mula memikirkan sesuatu. Perkara yang terus bermain di fikiranku ketika itu. Memang aku rasa ada sesuatu pelik berlaku ketika itu. Jika difikirkan semula apa yang berlaku tadi memang nampak tidak masuk akal. Aku cuba memikirkan kronologinya.
Sebaik sahaja aku naik ke atas menyambung menonton TV tadi aku tidak nampak pun nenek melangkah masuk ke bilik sedangkan tangga naik ke atas betul-betul berada di hadapanku. Mustahil jika aku tidak perasan kelibatnya.
Satu perkara lagi bagaimana pula nenek boleh muncul dari bilik dan bertanya kepadaku tentang bunyi dan apa yang berlaku dapur jika tadinya ‘dia’ berada di situ? Tak mungkin dia lupa atau tak ingat sedangkan setahuku nenek belum pun nyanyuk lagi.
Dan kenapa pula sebaik nenek naik ke atas aku lihat wajahnya seperti orang gelisah. Seperti ada yang tidak kena. Namun aku tidak dapat mencari jawapannya, tetapi aku tahu ada satu rahsia yang mungkin aku tidak tahu.
Malam itu aku tidak mampu lelapkan mata sehingga ke pagi. Entah kenapa telingaku mendengar pelbagai bunyi aneh dari sekitar rumah. Seakan suara nenek sedang berbual dengan seseorang. Aku kecut perut. Sampai ke pagi aku berselubung dalam selimut. Tiba-tiba aku terfikir, perlukah aku bermalam lagi di rumah nenek untuk malam esok dan seterusnya? – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya