Cuti semester lalu aku, Remy dan Talha merancang untuk memancing ikan di sungai berhampiran kampung. Ini bukan kali pertama kami memancing di sini, bahkan kalau ada waktu terluang memang di situlah ‘port’ kami menghabiskan masa sehari suntuk, sehinggakan kami memasang khemah untuk memudahkan berehat, baring dan sebagainya.
Petang itu kira-kira pukul 5, kami pun sampai di lokasi. Tanpa menunggu lama kami terus memasang khemah. Kami sudah rancang bermalam di sini kerana mengikut kata rakan-rakan lain memancing di sungai pada waktu malam lebih mendatangkan hasil lumayan. Bukan sahaja suasananya sunyi dan tenang, tetapi waktu tengah malamlah ikan selalu keluar mencari makan.
Hampir tiga jam berlalu kami bertiga sudah berjaya menaikkan hampir 10 ekor hasil tangkapan termasuk ikan kelah, jelawat, baung dan lampam. Kami bertiga cukup gembira, nampaknya tak sia-sia kami ‘bertapa’ lama di sini.
Suasana ketika itu cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas dan sesekali kocakan air di permukaan sungai. Mungkin benarlah kata orang waktu beginilah ikan keluar dari lubuk untuk mencari makan.
Aku tinjau sekeliling. Nampaknya memang hanya kami bertiga sahaja di situ. Biasanya kalau ada pemancing lain pasti kami akan dapat melihat cahaya lampu atau pelita yang dipasang, namun ketika ini di sekeliling kami gelap gelita.
“Eh, kita nak balik pukul berapa ini?” tanya Talha ke arahku. Aku tersengih sambil memuncungkan bibir ke arah Remy yang sedang leka dengan jorannya.
“Alah, rileklah. Dah penuh sebakul nanti kita baliklah,” kata Remy tertawa kecil. Aku dan Talha tersengih dan bersetuju. Benar juga kata Remy, alang-alang dah ‘bertapa’ lama di sini baik kami tunggu sahaja sampai ke pagi. Manalah tahu kalau-kalau boleh dapat pulangan lumayan nanti. Sedang masing-masing mengelamun menanti umpan dijamah ikan tiba-tiba…
“Eh, Remy, Joran kau dah mengena. Cuba kau check cepat!” jerit Talha sambil mata kami melihat ke arah tali jorannya yang meliuk-liuk di permukaan sungai.
Dengan pantas Remy mencapai jorannya yang diikat di tebing. Bersungguh dia ‘melayan’ mangsa yang meragut kailnya ketika itu. Sesekali nampak tali jorannya dibawa ke tengah dan ke tepi, namun ikan yang meragut masih belum muncul di permukaan.
Dengan sepenuh tenaga Remy cuba menarik jorannya. Walaupun nampak sulit namun dia lakukan dengan penuh berhati-hati agar ikan tersebut tidak terlepas dari kailnya. Namun tiba-tiba…
“Allahhu… putus pula! Jerit Remy. Aku dan Talha turut berkongsi rasa kecewa. Kami harapkan agar Remy mampu menaikkan ikan yang menyambar kailnya, namun mungkin tiada rezeki buatnya.
“Tak apalah, ada rezeki lain itu nanti. Dah, kau pergi pasang tali baru. Manalah tahu kalau lepas ini dapat habuan lagi besar,” kata Talha memberi semangat. Sedang Remy sibuk memasang tali pancing baru di jorannya, tiba-tiba terdengar bunyi kocakan kuat di tengah sungai. Hamburan airnya memercik ke arah kami.
Kami bertiga terpaku diam. Mata masing-masing terarah ke tengah sungai. Rasa cuak menghantui diri. Bukan apa, risau juga kalau ada pemangsa lain pula muncul kerana sebelum ini ramai juga bercerita kononnya ada buaya di sungai tempat kami memancing ini.
“Eh, menatang apa itu eh? Buaya ke?” tanya Talha.
Saya dan Remy serentak meluruskan jari telunjuk di bibir. Kami menyumpah dalam hati kerana keceluparannya.
“Eh, kau ni.. agak-agaklah sikit kalau nak bercakap pun. Kita ni dahlah malam-malam buta di sinii. Buatnya keluar apa benda yang kau cakap tadi, tak ke haru,” ngomel Remy panjang lebar. Namun belum pun sempat aku menyambung kata-kata Remy, tiba-tiba sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi kocakan air yang kuat dari tengah sungai. Masing-masing terpaku dan mengalihkan pandangan ingin melihat apa yang berlaku ketika itu.
Dalam kelam samar bulan dari tengah sungai kelihatan ada sesuatu yang timbul ke permukaan. Nampak objek hitam timbul memenuhi ruang di tengah sungai.
“Eh, apa benda tu? Nampak macam rambut yang timbul itu,” kata Talha cemas. Tekaannya memang betul. Beberapa saat kemudian permukaan air di tengah sungai itu bertukar menjadi hitam. Memang nampak jelas seakan ada sesuatu yang akan timbul.
Mulut kami terlopong dan mata langsung tidak berkelip melihat apa yang berlaku. Tidak lama kemudian kelihatan satu objek timbul dari dasar sungai tersebut. Jelas kami dapat melihat satu sosok hitam legam menakutkan perlahan-lahan timbul dari permukaan sungai. Semakin lama semakin tinggi sehingga melepasi ketinggian pokok-pokok bakau berdekatan. Rambutnya yang panjang tadi sudah terjurai jatuh melepasi pinggang. Mendongak kami melihatnya dengan lidah kelu.
Sosok bertubuh itu seakan tidak mengendahkan kami. Aku cuba tinjau raut wajahnya, namun suasana gelap ketika itu menyukarkan pandangan. Yang pasti aku dan rakan-rakan menggigil menyaksikan apa yang berlaku ketika itu.
Namun tidak sampai beberapa saat kemudian makhluk itu perlahan-lahan masuk semula ke dasar sungai. Ketika itulah aku dapat melihat wajahnya dengan sedikit jelas. Matanya merah menyala seperti bola api, mukanya dipenuhi bonjolan daging yang tak ubah seperti bisul. Aku kelu. Makhluk apakah ini?
Tidak lama kemudian makhluk tersebut terus lenyap dari permukaan sungai. Yang kelihatan hanyalah kesan puing dan sampah sarap di sekeliling.
“Jom kita balik. Rasanya tak perlu lagi kita tunggu di sini. Aku takut lain pula jadinya nanti,” kata Remy sambil mengangkat batang joran yang terpacak di tebing sungai.
Aku dan Talha tidak membantah. Terus kami berkemas serta menyimpan segala keperluan. Meninggalkan lokasi itu adalah jalan terbaik ketika itu. Kami tidak terus pulang ke rumah tetapi singgah di warung Pak Kasim yang masih buka. Setelah memesan minuman kami berpandangan antara satu sama lain.
“Kau rasa makhluk apa yang kita nampak tadi?” tanya Remy memulakan perbualan. Aku dan Talha mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Aku rasa itulah hantu air yang selalu orang cakapkan itu. Sebelum ini pun ada juga pengail yang jumpa, tapi tak sangka pula malam ini giliran kita,” sambungnya lagi.
Kami terdiam. Tak sangka rancangan memancing bersama dalam suasana gembira akhirnya terbantut gara-gara kejadian itu. Sebenarnya banyak lagi yang ingin kami bualkan namun masing-masing mengunci mulut kerana masih trauma dengan apa yang berlaku. – Mingguan Malaysia
Sosok misteri dari dasar sungai
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 1 Januari 2023, 7:53 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am