Salam sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi cerita seram yang berlaku ketika saya mengikut keluarga bercuti di pusat peranginan di pantai timur tanah air.
Sebelum pergi ayah sudah siap menempah sebuah apartmen untuk kami diami ketika berada di sana nanti. Memang saya dan adik beradik tidak sabar untuk pergi, maklumlah sudah sekian lama tidak dapat berkumpul satu keluarga dan kebetulan pula ketika itu abang dan kakak sedang cuti semester.
Setelah menempuh perjalanan hampir empat jam, akhirnya kami pun sampai di tempat menginap. Saya lihat apartmen itu sunyi, mungkin tidak ramai yang menginap di situ agaknya memandangkan hari tersebut adalah hari bekerja. Apartmen tersebut terletak agak jauh dari jalan besar. Hampir 10 minit juga kami terpaksa melalui jalan kecil yang dipenuhi belukar dan semak samun sebelum sampai di kawasan parkir di pekarangan apartmen itu. Namun yang menariknya, apartmen tersebut amat dekat dengan pantai, turun sahaja dari lobi boleh terus pergi mandi manda.
Selesai sahaja mendaftar masuk kami sekeluarga terus bergegas ke unit yang terletak di tingkat tiga. Saya dan adik beradik memang tak sabar-sabar untuk letak segala kelengkapan yang dibawa ke bilik kerana selepas ini kami nak terus keluar ke pantai.
Selesai sahaja meletakkan segala barang-barang di bilik saya terus ajak mereka bersiar-siar di pantai, namun semuanya beri alasan letih dan ingin berehat dahulu. Geram juga rasanya sebab sebelum masuk ke bilik tadi bukan main bersungguh lagi abang dan kakak ingin segera ke pantai.
“Mira pergi dulu, nanti sekejap lagi abang dan kakak turunlah,” kata abang sambil menyusun pakaian baru dikeluarkan dari beg.
Saya tersengih sambil mengangguk perlahan. Setelah memberitahu ayah dan ibu lantas saya bergegas turun. Ketika asyik menuruni anak tangga sempat juga saya memerhatikan sekeliling. Suasana persekitaran nampak sunyi seakan tiada penghuni lain yang menginap di situ.
Saya berlari-lari anak menuju ke pantai. Seronok juga rasanya kerana tidak ramai pengunjung di situ. Hampir satu jam berada di situ barulah saya perasan yang kakak dan abang masih belum sampai.
Saya lihat jam di tangan, sudah hampir pukul 7 malam. Tidak lama lagi waktu Maghrib, saya pasti tak mungkin mereka akan turun ke pantai waktu ini, lantas saya ambil keputusan untuk pulang.
Sewaktu ingin melangkah masuk ke pangsapuri sempat juga saya menjeling ke arah kawasan parkir di hadapan. Hanya terdapat tiga kenderaan di situ. Di kaunter pertanyaan saya lihat ada seorang wanita berusia lingkungan 30-an sedang sibuk menyusun fail. Rasanya mungkin dia adalah penyambut tetamu di situ kerana dialah individu yang ayah jumpa ketika mendaftar masuk tadi.
Tergerak juga di hati ingin bertanya tentang status bilangan penghuni yang menginap di situ, namun melihat melihatkan dia sibuk terus saya batalkan niat.
Ketika ingin melangkah menaiki tangga tiba-tiba saya tersentak. Di sudut hadapan saya kelihatan seorang lelaki tua sedang duduk di sebuah kerusi berhampiran. Matanya tajam merenung ke arah saya.
Rambutnya kusut masai dan dipenuhi uban. Mukanya cengkung dan kusam. Saya rasa usianya mungkin sudah mencecah 70-an. Tetapi yang peliknya kenapa dia seorang diri di situ tanpa ada sesiapa menemaninya. Saya perhati lagi keadaan dirinya yang berkaki ayam itu. Pakaiannya nampak basah dan kotor seperti ada palitan tanah dan lumpur. Nampak seakan seorang pekerja kontrak yang baru selesai menjalankan tugas.
Saya memandangnya sambil tersenyum kelat. Tidak tahu apa reaksi yang patut saya berikan. Saya jadi serba salah. Saya lihat matanya masih lagi merenung tajam ke arah saya. Mukanya nampak masam mencuka seolah-olah saya ada melakukan kesalahan besar. Ketika ingin melintasinya saya bongkokkan sedikit tubuh tanda menghormatinya. Namun tanpa disangka tiba-tiba dia bersuara…
“Lain kali senja-senja macam ini jangan merayau seorang diri di pantai itu,” katanya dengan suara garau sambil merengus.
Saya terdiam sambil mengangguk. Takut pula bila diberi amaran sambil bertentang mata dengan orang yang tak dikenali. Sebaik sampai di bilik saya terus memarahi abang dan kakak yang tidak turun ke pantai.
Lantas saya memberitahu mereka, gara-gara itulah saya dimarahi oleh lelaki yang tidak dikenali kerana berjalan seorang diri di pantai pada waktu senja begini. Abang dan kakak ketawa geli hati mendengar cerita saya. “Itulah, tak sabar-sabar sangat nak ke pantai. Macamlah esok lusa pantai tu dah bertukar jadi pulau pula,” kata abang dengan ketawa mengejek.
Malam itu ketika kami sekeluarga ingin keluar makan di warung berdekatan, saya terlihat dua kereta peronda polis di pekarangan apartment tersebut. Kelihatan beberapa lelaki berpakaian seragam dan preman sedang bertanya sesuatu di kaunter pertanyaan.
Pada mulanya saya tidak ambil pusing sehinggalah ayah bertanya dengan salah seorang pegawai polis di situ.
“Ada seorang lelaki mati lemas semalam. Mayatnya kami dah jumpa pagi tadi dekat pantai kampung seberang, cuma kami nak ambil statement pekerja di sini sebab sebelum kejadian itu mangsa menginap di apartmen ini,” kata pegawai polis tersebut panjang lebar.
“Ini gambar mangsa, pak cik pernah nampak ke?” sambungnya lagi sambil menghulurkan sekeping foto.
Ayah membelek foto itu. Saya yang berada di sebelahnya turut meninjau sama. Dan tiba-tiba darah saya tersirap dan jantung berdebar kencang. Terus saya capai foto di tangan ayah.
“Hah, adik pernah nampak tak lelaki ini?” tanya pegawai polis tersebut.
Saya menggelengkan kepala, namun mata saya masih terarah pada foto yang berada di tangan.
“Eh, kami tak kenal pun tuan. Sebenarnya kami sekeluarga baru sahaja daftar masuk petang tadi,” kata ayah.
Saya lantas menghulurkan foto itu kepada anggota polis tersebut. Dia terus beredar. Ayah lantas menggamit kami untuk pergi ke kereta.
“Jom kita keluar makan. Nanti kalau lewat semua kedai tutup pula. Ini kampung bukannya bandar,” kata ayah sambil melangkah keluar.
Saya berjalan menurutinya sambil fikiran melayang memikirkan sesuatu yang tidak tahu bagaimana untuk saya gambarkan ketika itu. Memang tak silap, foto yang saya lihat tadi adalah foto lelaki yang menegur saya ketika saya ingin naik ke bilik senja tadi.
Tetapi perlukah saya menceritakan perkara tersebut kepada mereka? Tidak sanggup pula rasanya memusnahkan mood percutian ketika itu. Dan yang pasti saya takkan keluar ke pantai seorang diri lagi selepas ini. – Mingguan Malaysia
‘Lain kali jangan ke pantai senja-senja’
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 8 Januari 2023, 7:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am