‘Lain kali jangan datang seorang diri’ - Utusan Malaysia

‘Lain kali jangan datang seorang diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selesai menyiapkan tugasan di pejabat, aku terus pecut kereta ke pasar raya berdekatan untuk menonton wayang. Memang sengaja aku pilih menonton pada lewat malam kerana suasananya lebih tenang. Kebetulan pula malam itu aku terpaksa stay back kerana sibuk menyiapkan laporan audit syarikat. Maklumlah bila masuk hujung tahun kerja memang berlambak sedikit.
Sebaik sampai aku lihat jam di tangan, sudah hampir 12 tengah malam, kelam kabut aku mencari parking dan menuju ke lif kerana waktu tayangan akan bermula pada jam 12.30 malam sebentar lagi.
Sebaik lif terbuka di tingkat lima, aku berlari-lari anak menuju ke pawagam yang terletak di sudut bangunan. Selepas menghulurkan salinan tiket kepada pekerja bertugas, aku terus menuju ke hall 5, tempat filem ditayangkan.
Namun sebaik melangkah masuk, lampu sudah dipadamkan, melilau juga aku mencari nombor kerusi dan nasib baiklah penonton malam itu tidak ramai, rasanya tidak sampai pun 20 orang.
Walaupun gelap, namun aku masih mampu melihat mereka yang kebanyakannya mengambil tempat duduk di sudut tepi. Beberapa orang lagi pula ada jauh di kerusi hadapan.
Filem yang aku tonton malam itu adalah cerita seram dari Indonesia.
Sebenarnya aku ini bukanlah peminat filem hantu dan mistik, tetapi ramai sangat netizen memberi komen filem ini bagus. Itu tak termasuk lagi dengan rakan-rakan di pejabatku, semuanya bercerita perkara sama. Dan sebab itulah aku mahu menontonnya.
Aku lantas menghayati filem yang ditayangkan. Memang tak dinafikan jalan ceritanya cukup menyeramkan. Beberapa kali juga aku terperanjat dan ada ketikanya menutup muka apabila ada adegan-adegan menyeramkan. Bagaimanapun aku tidak pula mendengar jeritan penonton lain. Mungkin jiwa mereka kental agaknya, bisikku dalam hati.
Namun adakalanya terdengar juga gelak ketawa dan hilaian mereka. Aku yang berada di kerusi belakang hanya tersengih. Sedikit sebanyak gelagat mereka berjaya juga mengendurkan rasa takut aku ketika itu.
Hampir satu jam setengah berlalu akhirnya filem yang ditayangkan tamat. Puas hati juga rasanya. Walaupun ceritanya seakan sama seperti filem seram lain yang pernah aku tonton sebelum ini. Aku pun bangun berjalan menuju pintu keluar.
Sebaik pintu dibuka, aku segera melangkah menelusuri lorong sempit di belakang panggung menuju ke arah lif. Tapi tiba-tiba aku terfikir, ke mana pula perginya pengunjung lain yang menonton bersamaku tadi?
Aku toleh ke belakang, masih tidak nampak sesiapa. Aku jengah di hadapan pula, kosong… langsung tiada kelibat manusia. Aku mula berasa cuak.
Aku melangkah laju menuju ke lif. Benar, ketika itu aku dapat rasakan sesuatu yang aneh.
Masakan tidak, jika dalam panggung tadi aku sendiri dapat lihat dengan mata dan kepala hampir suku daripada kerusi di hadapanku dipenuhi penonton, namun bila lampu dibuka cuma aku sahaja yang melangkah keluar.
Kalau hendak katakan mereka keluar awal tak mungkin pula sebab sebelum tinggalkan panggung tadi aku masih terlihat lagi kelibat mereka di kerusi. Bila masa pula mereka keluar? Seorang umat manusia pun tak ada. Pelik!
Ketika sampai di pintu lif aku terserempak dengan seorang remaja lelaki yang aku agak baru berusia awal 20-an. Daripada pakaiannya aku dapat meneka dia salah seorang pekerja di pawagam tersebut. Dia memandangku sambil tersenyum.
“Dah hendak balik ke bang?” tanyanya sambil menekan butang lif untuk menuju ke bawah. Aku tersenyum sambil memicit-micit tengkuk yang terasa lenguh.
“Iyalah, hendak balik dah. Bila sesekali layan cerita lewat malam macam ini rasa janggal pula. Mata pun sudah layu ini,” kataku tertawa kecil.
“Betul bang, kalau jarang-jarang tengok wayang lewat malam macam ini memang lain macam sikit. Silap haribulan boleh terlelap. Esok pagi baru keluar,” sambungnya sambil tertawa mengekek.
“Tapi abang kira hebatlah, berani tengok cerita hantu berseorangan di tengah malam macam ini, memang saya salute,” sambungnya lagi.
Aku terdiam sambil mengerutkan dahi apabila mendengar kata-katanya. Adakah aku tersalah dengar atau…
“Eh, tadi awak kata saya tengok seorang, betul ke? tanyaku untuk mendapatkan kepastian.
“Iyalah bang. Cerita seram tadi sudah dekat tiga minggu di pawagam. Malam ini adalah hari terakhir tayangan. Masa mula-mula keluar hari itu penuh sesak orang datang, sekarang ini makin lama makin kuranglah,” katanya panjang lebar.
“Errr, tapi tadi awak kata hanya saya saja yang tengok cerita itu, betul ke?” Tanyaku sekali lagi. Pemuda tersebut memandangku sambil mengerutkan dahi.
“Iya bang, show malam ini memang abang seorang saja tengok,” katanya.
Aku terdiam seketika. Tidak tahu apa reaksi yang perlu aku berikan apabila mendengar penjelasannya.
Aku perasan remaja tersebut memandangku dengan seribu persoalan. Aku pasti ada yang ingin ditanyakan kepadaku namun dia seakan mengunci mulut. Tidak pasti apa yang ingin dirahsiakan.
“Err, kalau saya tanya sesuatu abang jangan gelabah pula,” katanya sambil matanya liar memandang sekeliling. Aku mengangguk perlahan.
“Abang nampak ada ramai orang ke dalam panggung tu?” tanyanya ke arahku. Aku tidak menjawab, hanya mataku sahaja yang memandang tepat ke arah wajahnya.
“Sebenarnya kalau abang hendak tahu bukan abang seorang saja pernah ‘kena’ macam ini. Sebelum ini pun ada juga yang ‘terkena’.
“Semua pun berlaku lewat malam. Sebab itulah saya pelik bila abang berani tengok midnight berseorangan macam ini,” katanya panjang lebar.
Baru sahaja aku ingin menjawab pertanyaannya, tiba-tiba lif di hadapanku terbuka. Kami terus masuk dan menuju ke tingkat bawah ke kawasan parkir.
“Okaylah bang, saya balik dulu. Lain kali jangan sesekali tengok wayang seorang lewat malam macam ini bang. Kalau dengan kawan-kawan tak menagapa,” katanya sambil menuju ke arah petak letak motosikalnya.
Aku mengangguk perlahan dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
Entah kenapa tiba-tiba jantungku berdebar kencang dan bulu tengkuk aku berdiri tegak. Entah kenapa hatiku tiba-tiba berasa tidak sedap. Bukan takut sebab memikirkan kejadian tadi. Tetapi rasa seram kerana seolah-olah ada yang memerhatikan aku ketika itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya