Siapa tidur di tengah itu? - Utusan Malaysia

Siapa tidur di tengah itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang sah asrama tempat aku menginap ini memang berhantu. Sudah beberapa kali aku dan rakan-rakan sebilik ‘terkena’, tapi kami masih kuatkan semangat dan berharap agar gangguan itu tidak berulang lagi tetapi nampaknya jangkaan kami meleset. Apa Gangguan tersebut seakan tiada pengakhiran.
Asrama tempat aku menginap di Nilai ini ada tiga bilik tidur dan satu bilik mandi. Ada dapur, ruang tamu dan balkoni untuk menyidai pakaian. Setiap bilik pula dibekalkan dua katil, jadi satu bilik menempatkan dua pelajar. Rakan sebilikku, Mimi yang berasal dari Melaka.
Pada mulanya aku bercadang untuk berulang alik ke kolej dari rumah yang terletak di Cheras kerana bila difikirkan jaraknya tidaklah jauh mana, tetapi memandangkan ramai rakan yang memujukku tinggal bersama di asrama, terus aku setuju. Sekurang-kurangnya mudah juga untuk mengulangkaji pelajaran bersama mereka nanti.
Seminggu selepas menginap di asrama sudah pelbagai perkara pelik aku alami. Pernah pada suatu malam ketika aku ingin lelapkan mata, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi aneh dari ruang tamu. Bunyi bising seperti kerusi dan meja ditarik berulang kali.
“SREETTTT… SREETTT…”
“Eh, siapa pula yang tarik kerusi meja di luar tu,” bisikku dalam hati sambil bingkas bangun dari katil. Aku kejutkan Mimi yang sedang baring sambil mendengar lagu dari telefon bimbitnya. Terus dia keluarkan earphone yang tersumbat di telinganya.
“Ada apa? tanyanya sambil memandang ke arahku. Aku memintanya senyap.
“SREETTT…SREETTT..”
Bunyi seakan kerusi dan meja ditarik jelas kedengaran. Kami berpandangan.
“Eh, entah-entah budak-budak bilik sebelah ini ada di luar agaknya, jom kita tengok,” ajak Mimi.
Sebaik sahaja keluar sekali lagi kami berpandangan. Kerusi dan meja di ruang tamu elok tersusun. Bilik rakan lain juga nampak senyap dan berkunci, jadi bunyi apa pula tadi?
Keesokan ketika sedang bersiap untuk ke kelas aku dan Mimi bertanya rakan-rakan serumah. Semuanya terlopong dengar cerita kami. Kata mereka, awal lagi mereka sudah masuk tidur dan tidak sedar apa yang berlaku.
Kejadian kedua pula berlaku selang beberapa hari kemudiannya. Ketika aku baru ingin melelapkan mata tiba-tiba telingaku menangkap sayup-sayup bunyi tangisan. Bunyi itu turut didengar oleh Mimi.
“Eh, kau dengar tak bunyi orang menangis? Siapa pula eh?” tanyanya kepadaku.
Aku geleng kepala. Aku pasang telinga lagi. Bunyi isak tangis yang diselang sedu sedan itu cukup jelas kedengaran.
“Aku rasa suara ini bukan dari rumah kita. Bunyinya jauh dan sayup, lepas tu suara macam tangisan budak lelaki pula,” kata Mimi perlahan.
Aku tarik tangannya ajak keluar untuk memberitahu rakan-rakan. Namun sebaik sahaja melangkah keluar tiba-tiba bunyi tangisan itu hilang. Lantas kami ketuk bilik rakan lain untuk beritahu apa yang kami dengar. Kami berkumpul di ruang tamu. Tiba-tiba suara tangisan kedengaran lagi. Namun kali ini cukup jelas dekat dengan kami.
“Eh, cuba dengar betul-betul. Aku rasa bunyinya datang dari tandas kita ni,” kata Shila gementar.
Niat untuk meninjau keadaan di tandas ketika itu terus kami batalkan kerana semuanya takut. Akhirnya kami mengunci diri di bilik masing-masing. Malam itu, aku dan Mimi tidur sekatil kerana takut yang teramat.
Aku fikirkan kejadian itu berakhir di situ namun anggapanku meleset. Keesokan malamnya sekali lagi aku diduga dengan kejadian lebih menakutkan.
Malam itu aku rasakan cukup panas sehingga susah untuk lelapkan mata. Rasa rimas dan gelisah. Aku toleh ke arah rakanku Mimi di katil sebelah, nampak dia sudah lena dibuai mimpi. Lantas aku capai telefon bimbit di tepi bantal.
“Sudah hampir 12 tengah malam,” bisik hatiku.
Disebabkan mata masih segar aku terus melayan telefon bimbit yang ku pegang. Aku scroll dan baca status-status di media sosial, harapanku dengan cara itu mata akan jadi mengantuk.
Dari cahaya skrin telefon bimbit dan cahaya lampu di luar koridor aku jeling ke arah Mimi yang sedang dibuai mimpi. Nampak dia nyenyak tidur di samping bantal golek panjangnya. Tiba-tiba hatiku berdetik bila masa pula dia ada dua bantal golek panjang, setahuku hanya ada satu yang sering diusung ke sana sini.
Aku angkat separuh badan sambil menjengah ke arahnya. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang dan tubuh rasa menggeletar. Apa yang ku saksikan ketika itu memang jelas. Walaupun cahaya lampu agak suram namun aku dapat melihat objek yang berada di tengahnya ketika itu adalah sekujur tubuh yang dibaluti kain putih. Pocong!
Waktu itu hanya Tuhan sahaja tahu keadaanku. Rasa ingin menjerit untuk kejutkan rakan-rakan lain, namun lidahku kelu. Tanpa sedar aku terjelepok jatuh di tilam.
Keesokannya aku tersedar setelah dikejutkan Mimi yang sedang bersiap ingin ke kelas. Aku jeling ke arah katilnya. Memang sah dia hanya ada sebiji bantal peluk panjang bersarung merah jambu di situ. Sebaik bangun kakiku terasa longlai dan lemah untuk melangkah. Tidak tahu bagaimana ingin aku ceritakan peristiwa malam tadi. Lantas aku terfikir adakah perlu untuk aku tinggal di sini lagi? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya