Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Sebelum pergi lebih jauh, saya perkenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Fariz, berusia awal 30-an dan bertugas sebagai pembantu pusat khidmat pelanggan di salah sebuah terminal penerbangan di ibu kota.
Saya bekerja dalam tiga syif, dan kebiasaannya setiap minggu akan bertukar mengikut giliran. Namun bertugas di waktu malam adalah hari menyeronokkan kerana selain keadaan di terminal yang tidak sibuk. saya juga boleh curi-curi masa untuk ‘merayau’ ke sana sini.
Minggu tersebut sekali lagi saya bertugas pada syif malam. Masuk pukul 11 malam dan pulang pukul 7 pagi. Namun pada hari kedua bertugas saya datang lewat ke tempat kerja kerana ‘tersangkut’ di jalan raya akibat hujan lebat dan ribut petir.
Sebaik sahaja sampai di kawasan parkir saya perhati keadaan sekeliling. Nampak lengang tanpa kenderaan. Agaknya mungkin ramai penumpang dan pekerja sudah pulang. Langit masih gelap dengan kilat sabung menyabung. Hujan pula walaupun tidak selebat tadi, namun cukup untuk melenjunkan pakaian saya jika berjalan kaki ke terminal.
Saya ambil keputusan untuk menunggu sehingga hujan reda. Alang-alang sudah lambat sampai, baik terus lambat. Lagipun sebaik sampai saya sudah hubungi rakan setugas dan memaklumkan saya lewat.
Walaupun kereta sudah diparkir kemas tetapi sesekali saya buka juga pengilap cermin menyapu limpahan air yang bertakung di kaca. Rimas pula bila melihat air hujan memenuhi cermin hadapan.
Saya baringkan sedikit kerusi sambil melayan lagu-lagu yang berkumandang di corong radio. Dalam hati saya berdoa agar hujan cepat reda. Risau pula kalau berlarutan sampai ke pagi, saya nekad jika setengah jam lagi hujan tidak berhenti, saya akan redah sahaja.
Saya lihat jam dalam kenderaan. Sudah hampir pukul 12 tengah malam. Hujan juga sudah semakin reda. Saya terus capai beg sandang dan payung di belakang sambil melangkah keluar.
Tidak sampai beberapa langkah menapak tiba-tiba mata saya terpandang ke arah sebuah kereta di parkir hujung jalan. Saya lihat lampunya sesekali dibuka dan ditutup, namun tidak pula saya perasan kelibat sesiapa di situ. Entah kenapa hati tergerak untuk pergi ke arah kereta itu. Fikir saya, mungkin pemandunya perasan saya di situ dan inginkan pertolongan.
Sebaik sampai saya terkejut. Rupa-rupanya ada seorang wanita sedang duduk mencangkung di belakang kenderaan. Pakaian dan rambutnya basah kerana hujan.
“Eh, kenapa cik? Ada masalah?” tanya saya kepadanya.
Wanita yang berusia lingkungan 30-an itu mengangkat muka sambil tersenyum. Daripada pemerhatian saya mungkin wanita ini baru selesai mendarat dan ingin pulang ke rumah.
“Tayar ini buat hal. Entah kenapa pancit pula,” katanya.
Saya tidak menjawab kata-katanya. Mata saya lantas tertumpu ke arah tayar di hadapannya. Memang jelas kelihatan tayar itu sudah kehabisan angin. Saya fikir mungkin ada paku atau objek tajam yang menembusi tayar tersebut.
“Nampaknya kena tukar tayar spare ni cik. Errr.. dalam kereta ni ada tayar spare ke?” tanya saya lagi.
“Ada encik, tapi saya tak ada jet pula,” jawabnya perlahan.
Saya garu kepala. Pening juga kerana saya pun tiada jet di kereta. Minggu lepas baru sahaja rakan serumah saya, Hafiz pinjam dan sehingga kini masih belum dipulangkannya.
“Tak apa, macam inilah. Cik tunggu sebentar di sini, saya cuba pinjam dengan kawan saya di pejabat,” kata saya memberi idea.
Wanita tersebut tidak menjawab, namun dia hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.
“Cik tunggu dalam kereta dulu. Lagipun hujan masih renyai-renyai lagi ini. Kereta cik pun jauh sangat dari kereta lain. Takut pula kalau jadi apa-apa nanti,” kata saya.
Saya berlari-lari anak sambil mengelak lopak-lopak air di jalan. Kasihan pula rasanya jika saya membiarkannya menunggu lama. Maklumlah seorang wanita berada dalam kawasan gelap dan hujan begini macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Sebaik sampai di pejabat saya lantas mencari rakan sekerja, Amir yang bertugas sama syif dengan saya. Terus saya menceritakan apa yang berlaku. Tanpa banyak soal Amir terus memberikan kunci keretanya kepada saya.
“Nanti bila kau dah guna jet tu kau letak balik, jangan sedekah pada awek itu pula,” katanya ketawa.
Saya tergelak kecil. Nasib baiklah keretanya diparkir di kawasan berbumbung, jika tidak terpaksalah saya menapak jauh di parking belakang kerana selalunya jika kenderaan penuh dia akan parkir di situ.
Setelah membuka bonet keretanya dan mengambil perkakas yang diperlukan saya bergegas pergi. Hampir 10 minit berjalan akhirnya saya sampai di kawasan parkir itu. Pantas saya terus menuju ke arah kereta wanita tersebut.
Dalam samar rembes hujan saya nampak keretanya masih berada di parkir tetapi kali ini lampunya sudah dipadamkan. Saya lajukan langkah. Namun sebaik sahaja sampai berdekatan tiba-tiba saya tergamam.
Saya perhati sekeliling. Sah, memang tiada kereta lain berdekatan. Rasanya memang di sinilah letaknya kereta wanita itu, Tetapi kenapa kereta ini berbeza dengan apa yang saya lihat tadi? Saya mula cuak.
Saya sentuh kereta tersebut, warna dan modelnya sama. Tetapi kenapa catnya sudah pudar dan keadaannya cukup usang seperti sudah bertahun tidak digunakan. Cermin hadapannya juga sudah nampak kesan retak, dan bila saya tinjau ke arah belakang saya terkedu…
Nampak jelas tayar belakang kereta tersebut pancit. Sama keadaan seperti yang saya saksikan tadi. Saya suluh ke arah dalam menggunakan lampu di telefon bimbit. Allahhuakbar, rasa nak tercabut jantung dibuatnya.
Keadaannya nampak seperti tidak terurus. Beberapa helai pakaian bersepah di kerusi belakang. Di bahagian hadapan pula nampak beberapa barangan pewangi dan alat solek yang bertaburan di kerusi dan pelapik kaki. Saya bingung seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu.
Sejujurnya, saya seakan sudah mendapat jawapan ketika itu. Saya kuatkan semangat capai beg dan bergegas pergi. Dan sekali lagi dah saya tersirap apabila sebaik sahaja saya toleh ke arah kereta yang sudah saya tinggalkan itu tiba-tiba lampunya terpasang. Apa lagi, terus saya buka langkah seribu.
…………………………
“Kalau tak silap aku perempuan itu kena rompak lepas itu ditikam sampai mati. Kejadian berlaku masa dia nak tukar tayar. Tapi kejadian bunuh itu aku tak pasti berlaku di mana. Kereta itu pun tak tahu bila mereka hendak alihkan,” kata Amir panjang lebar sebaik sahaja saya ceritakan apa yang berlaku.
Saya terdiam. Terkedu. Ketika berehat di bilik pekerja entah kenapa bayangan wanita itu tiba-tiba muncul di fikiran. Saya rasakan seolah-olah dia ada berhampiran dan melihat gerak geri saya ketika itu. Terus badan berasa panas seperti hendak demam. – MIngguan Malaysia