ADA sebuah kisah seram yang ingin aku ceritakan kepada semua pembaca sekalian. Kisah ini berlaku kepada sahabat baik ku ketika dia ingin pulang ke rumah sebaik selesai menjalankan tugasnya. Cerita ini bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak tetapi lebih kepada memberi peringatan supaya tidak berlaku ke atas orang lain.
Sebelum itu saya hendak beritahu yang mana setiap lokasi dalam cerita ini terpaksa dirahsiakan demi menjaga sensitiviti pihak tertentu.
Begini ceritanya …
Rizuan berlari-lari anak sambil menoleh jam di tangan. Dia berharap agar ada lagi tren terakhir untuk dia pulang ke rumah, jika tidak terpaksalah dia menaiki teksi yang harganya pasti berlipat kali kali ganda lebih-lebih lagi pada waktu sekarang ini.
Sebaik sampai di stesen transit aliran ringan (LRT) di pusat bandar raya dia menarik nafas lega bila lihat pagar masih terbuka. Maknanya, perkhidmatan LRT masih beroperasi. Terus dia membeli tiket di kaunter dan bergegas menaiki anak tangga menuju ke platform.
Dengan nafas tercungap kepenatan sempat lagi dia menoleh keliling. Dilihatnya ada beberapa orang berada di situ. Semuanya berpakaian segak, mungkin mereka juga baru pulang dari kerja sepertinya.
Sekali lagi matanya menoleh ke arah jam di situ. Sudah hampir pukul 12 tengah malam. Fikirnya mungkin tren yang dinaikinya nanti adalah tren terakhir di laluan tersebut.
Hampir 10 minit menunggu, akhirnya tren yang dinantikan sampai. Sebaik sahaja pintu terbuka, dia melangkah ke dalam gerabak dengan berhati-hati sebelum mengambil tempat duduk.
Tren mula bergerak meninggalkan stesen. Bunyi enjin jentera memecah kesunyian. Dia memandang sekeliling. Beberapa gerabak di hadapan dan belakangnya kosong. Begitulah lazimnya jika sudah lewat malam. Dia sudah arif benar dengan keadaan itu.
Ketika tren berhenti di stesen berikutnya, kelihatan seorang wanita melangkah masuk di gerabak kosong hadapannya. Walaupun raut wajahnya tidak begitu jelas namun dia masih dapat melihat sosok tersebut duduk di kerusi yang terletak di tepi pintu. Wanita yang berambut hitam separas bahu itu memakai blaus panjang merah serta membawa beg kertas. Mungkin dia juga baru pulang dari kerja sepertinya.
Ketika matanya asyik memandang wanita tersebut, tiba-tiba dia tergamam. Tanpa disangka wanita itu memalingkan muka seraya memandang ke arahnya. Untuk menutup rasa malu terus dia lemparkan senyuman, namun tidak berbalas. Wanita itu lantas memalingkan mukanya ke arah lain. Terasa malu juga bila diperlakukan begitu.
Hujan rintik-rintik. Rizuan berdoa agar dia sempat sampai ke rumah. Risau pula dia kalau-kalau hujan lebat nanti. Tidak pasal-pasal dia terpaksa jadi penunggu di stesen sehingga hujan reda.
Tren sudah melewati beberapa stesen. Dan sekali lagi dia mengalihkan pandangan ke arah wanita itu namun tempat duduknya kosong. Fikirnya mungkin dia sudah turun di hentian tadi. Lantas dia tunduk sambil membetulkan ikatan tali di kasutnya.
Dan sebaik sahaja mengangkat kepala, dia terkejut. Wanita yang dilihatnya ‘hilang’ itu kini berada di kerusi tempat duduknya sebelum ini. Pelik! Tak mungkin dia tersalah pandang. Beberapa kali dia gosok mata untuk mendapatkan kepastian. Dia pandang sekali lagi…
Dan ketika itulah tubuhnya tiba-tiba menggeletar. Wanita tersebut kini sudah bertukar menjadi sosok yang menakutkan.
Benar! Apa yang dilihatnya itu bukanlah imaginasi ataupun mimpi. Wanita itui tidak ada kepala!
Hanya Tuhan sahaja tahu rasa takutnya ketika itu. Bukan sekadar tubuh menggeletar, namun jantungnya juga berdegup laju seakan ingin keluar dari tubuh. Rasa takutnya sudah tidak boleh dibendung lagi. Dia tergamam, tidak tahu apa harus dilakukan.
Walaupun cuba untuk tidak memandang lagi ke arah wanita tersebut, namun apa yang dilihatnya tadi sudah cukup membuatkan dia terbayang-bayang. Masih jelas gambaran sosok wanita itu yang duduk bersandar tanpa kepala.
Dia cuba mengawal rasa takut dan berdoa agar tren itu cepat sampai. Dalam hati dia tak putus-putus berdoa agar sosok yang menakutkan itu tidak datang menghampiri atau mengganggunya.
Dengan sedikit keberanian, dia menoleh sekali lagi ke arah wanita itu. Sekali lagi dia tergamam. Wanita itu sudah tidak ada di tempat duduk asalnya namun kali ini dia berada di kerusi yang bertentangan dengannya.
Nampak jelas wanita berpakaian serba merah itu duduk bersandar tanpa kepala. Dia duduk dalam posisi tegak dengan kedua belah tangannya di letakkan di atas paha. Rasa nak tercabut nyawa Rizuan ketika itu.
Masa perjalanan untuk sampai ke destinasi ketika itu dirasakan cukup lama. Mulut Rizuan kumat kamit membaca ayat suci al-Quran, dia sendiri tidak pasti apa yang dibacanya ketika itu betul ataupun salah.
Hampir 10 minit bergelumang dengan perasaan takut akhirnya tren itu sampai di hentian terakhir. Bergegas dia keluar walaupun ketika itu pintu tren tersebut masih belum terbuka sepenuhnya.
Ketika berjalan keluar dari platform, dia perasan seorang pengawal yang kebetulan berada di situ nampak seakan terjenguk-jenguk ke arah tren yang sedang berhenti itu. Rizuan perasan raut wajahnya nampak gelisah seakan ada sesuatu baru dilihatnya.
“Hah, cepat-cepat saya nak tutup pagar ni. Ini last tren dah,” katanya sambil menutup palang besi di hadapannya.
Dalam hatinya dia pasti ada sesuatu yang tidak kena ketika itu. Dia juga percaya pengawal itu ada melihat ‘sesuatu’. Ingin sahaja rasanya dia bertanya, namun perasaan takut membuatkan lidahnya kelu.
Lagipun dia tidak mahu dengar jika ada cerita lain yang tidak diketahuinya. Cukuplah dengan apa yang dialaminya malam itu kerana esok lusa dia pasti akan menaiki lagi pengangkutan awam tersebut. Mungkin pada waktu yang sama namun dia tidak pasti hari apa. Entah esok, lusa ataupun tulat dia tidak mahu memikirkannya! – MINGGUAN MALAYSIA
Penumpang larut malam
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 13 November 2022, 7:19 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sebenarnya pakcik pun tak selamat…
24 September 2023, 4:37 pm
Siapa yang balas pesanan itu?
10 September 2023, 5:05 pm
Kau nak belajar silat dengan aku ke?
18 Jun 2023, 5:56 pm