Ada satu kisah yang ingin saya ceritakan kepada seluruh pembaca sekalian. Cerita berlaku kepada diri saya kira-kira 15 tahun lalu ketika bertugas di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Kuala Lumpur.
Begini ceritanya…
Pada tanggal 1 April 2008, saya dinaikkan pangkat daripada seorang kerani ke jawatan penyelia. Kenaikan pangkat ini mungkin disebabkan komitmen dan kerja keras yang saya tunjukkan selama bertugas di situ.
Namun tidak sampai dua bulan menjawat jawatan itu saya ambil keputusan untuk berhenti. Keputusan itu mengejutkan banyak pihak terutamanya isteri, anak-anak dan keluarga. Mereka bertanya tentang masalah yang saya hadapi kerana setahu mereka saya cukup komited dalam soal kerja.
“Abang ada masalah apa sampai hendak berhenti ini? Cuba cerita dengan saya,” tanya isteri selepas selesai makan malam. Saya mendiamkan diri. Saya sendiri tidak faham apa yang berlaku kepada diri saya ketika ini. Sudah beberapa hari saya rasa lesu dan malas. Fikiran bercelaru, mood pun ke laut. Itu belum lagi duduk di meja dan mulakan kerja.
Keadaan itu berlarutan hampir seminggu. Bila isteri tanya apa rancangan saya jika berhenti kerja, saya diam membatu. Isteri pun pening kepala lihat gelagat saya. Sudahnya dia mengeluh. Isteri suruh saya fikir masak-masak sebelum buat keputusan. Walaupun pendapatannya sebagai pegawai kerajaan jauh lebih besar daripada saya, namun setiap perbelanjaan sebelum ini kami kongsi bersama.
Akhirnya saya nekad. Saya tetap berhenti. Berbekalkan sedikit duit simpanan, saya menyewa sebuah kedai kecil di taman perumahan dan berniaga barang runcit. Walaupun dapat sambutan, tapi perniagaan itu hanya mampu bertahan tiga bulan. Nafsu dan semangat untuk bekerja seolah-olah hilang. Badan jadi lemah dan mengantuk. Sudahnya setiap hari datang ke kedai saya bukannya berniaga sebaliknya tidur! Kedai pula saya tutup.
Selepas perniagaan lingkup, saya berjinak-jinak pula dalam bidang pelaburan hartanah. Awalnya, ramai kenalan menyokong membuatkan semangat saya berkobar-kobar. Tetapi bila sudah mula menampakkan hasil, penyakit lama saya muncul semula. Mood malas, lesu dan tidak bersemangat mula bersarang dalam diri.
Akhirnya saya kembali menganggur. Saya seolah tidak mampu melakukan sebarang kerja. Setiap hari hanya menghabiskan masa di rumah menemankan anak-anak. Keadaan ini berlanjutan hampir setahun lamanya.
Suatu hari saya pergi ke kedai untuk membeli barang keperluan. Ketika ingin membayar di kaunter, salah seorang pelanggan yang berada di situ menegur saya.
“Assalamualaikum, nak,” sapa seorang lelaki tua berkopiah putih sambil melemparkan senyuman kepada saya. Saya menjawab salam sambil membalas senyumannya. Dia lantas menggamit saya sambil melangkah ke arah ruang kecil di tepi kedai tersebut.
“Maaf nak, pak cik nak tanya…anak okey ke?” tanyanya kepada saya.
Saya terdiam kelu. Sejujurnya saya tidak faham apa ditanyakan oleh lelaki tersebut. Lantas saya terus bertanya lanjut.
“Pak cik lihat ada sesuatu tak kena dengan anak ini. Kalau ada masa pergilah jumpa mana-mana ustaz atau tok guru. Takut nanti kalau lama-lama boleh memudaratkan diri pula,” katanya sambil menepuk perlahan bahu saya.
Sekali lagi saya terdiam. Sumpah, saya tidak faham dengan apa yang dimaksudkannya. Sekali lagi saya bertanya kepadanya untuk dapatkan kepastian.
“Pak cik nampak ada sesuatu menumpang pada badan anak ini. Rasanya macam benda tak elok. Tadi masa di kaunter pak cik nampak dia duduk di bahu anak, terkejut pak cik. Lepas pak cik baca ayat suci al-Quran terus makhluk itu hilang,” katanya perlahan.
Terdiam saya. Selepas beberapa ketika kami pun beredar. Saya genggam kemas kertas tertera nombor telefon Ustaz Hasnul yang diberikan lelaki itu tadi. Saya nekad untuk menghubunginya selepas sampai di rumah nanti.
Pada hujung minggu berikutnya saya datang ke rumah Ustaz Hasnul bersama isteri. Kami disambut mesra. Setelah memperkenalkan diri dan bercerita tentang tujuan kami ke rumahnya, dia menganggukkan kepala tanda faham.
Hampir setengah jam juga Ustaz Hasnul ‘memeriksa’ tubuh saya secara batin. Sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dia mengusap-usap tubuh saya dengan tangannya. Sesekali nampak dahinya berkerut. Setelah selesai Ustaz Hasnul memberikan saya segelas air untuk diminum.
“Beginilah Amran, sebenarnya ada ‘makhluk jahat’ menumpang tubuh kamu ini. Saya tak boleh nak beritahu terperinci apa makhluk ini tetapi apa yang boleh saya kongsikan makhluk ini ‘dihantar’ oleh seseorang untuk memusnahkan hidup kamu sekeluarga,” katanya panjang lebar. Saya dan isteri terdiam saling berpandangan.
“Ada orang dengki dengan kamu. Mungkin mereka sakit hati dengan apa yang kamu ada hari ini. Mungkin dengki pasal kerja, keluarga… itu saya tidak pasti,” tambahnya.
Bermula dari hari itu saya mendapatkan rawatan dengan Ustaz Hasnul. Alhamdulillah, saban hari saya dapat rasakan perubahan ketara. Tenaga, semangat dan kekuatan saya yang sebelum ini seakan hilang kini sudah ada dalam diri.
Banyak perkara yang Ustaz Hasnul kongsikan dengan saya setelah lama mengenalinya. Dia juga sudah tidak berahsia dengan saya. Mana yang boleh diceritakan kepada saya akan diceritakan.
Akhirnya saya tahu apa yang terjadi kepada diri saya sebelum ini. Katanya, ada satu ‘makhluk’ yang menumpang di badan saya. Dia menggambarkan makhluk itu setinggi tiga kaki, berwarna hitam legam, bertanduk dan mempunyai lidah yang panjang.
Katanya lagi, jika seseorang itu ahli agama atau seorang yang warak pasti boleh melihat apa yang berlaku kepada saya.
Menurutnya makhluk itu dihantar oleh seseorang yang sakit hati dengan saya. Setelah diselidik barulah saya dapat jawapan. Rupa-rupanya ada dalam kalangan pekerja yang tidak berpuas hati ketika saya dinaikkan pangkat tempoh hari.
Ketika ini, saya masih dalam proses menerima rawatan daripada Ustaz Hasnul. Alhamdulillah, semakin hari semakin banyak perubahan saya alami. Semangat untuk saya kembali bekerja semakin berkobar-kobar.
Apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran dan pengalaman yang cukup bermakna. Saya juga mengingatkan kepada pembaca agar berhati-hati dalam pergaulan. Kepada mereka yang punya sifat dengki, janganlah guna cara begini untuk menjatuhkan orang lain. Seharusnya hormatilah rezeki mereka terutamanya rakan terdekat anda. – MINGGUAN MALAYSIA
Angkara hasad dengki
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 27 November 2022, 8:45 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am