JARAK umur saya dengan Afifah Gentayang 10 tahun. Dia lahir waktu saya darjah empat. Tetapi antara artis ‘indie’ awal yang dia dengar sama seperti saya, iaitu Fynn Jamal.
Mungkin Fynn Jamal lebih aktif dalam lapangan sastera indie, buat Afifah juga lebih aktif dalam lapangan sastera hari ini tetapi Fynn Jamal membuka jalan untuk dia meneroka segala seni yang bersifat independen dan alternatif, termasuk muzik.
Mai Jellybeans pula lebih janggal dengan muzik independen pada awal usia, sebelum niatnya untuk menyokong junior universiti, iaitu Dewataraya membawa dia lebih kerap turun ke gig-gig kecil.
Bagi Farid Foat, dia bermula dengan pengaruh abang. ACAB menjadi pemula sebelum media sosial seperti MySpace buat dia meneroka lebih banyak bakat independen.
Itu cerita tiga orang peminat muzik independen yang tiada kepentingan apa-apa, cuma cerita sederhananya layak dirakam untuk kita lebih faham lapangan muzik independen di peringkat yang lebih asas, iaitu dari telinga-telinga yang mendengar lagu, kaki-kaki yang melompat dalam gig dan tangan-tangan yang menghulur wang membeli cenderamata kugiran.
TIGA SUDUT
Pengguna, terutamanya pengguna aktif yang banyak berbelanja dalam lapangan, ialah elemen penting dalam ekosistem muzik independen. Kitaran ekonomi dalam lapangan akan terhenti tanpa mereka yang berbelanja.
Jumlah mereka ramai tetapi mengapa saya pilih tiga orang ini untuk ditemu bual?
Sebenarnya ada empat orang yang saya pilih tetapi seorang lagi, Firdaus kemalangan beberapa jam sebelum temu janji kami. Saya tengok Instagram, dia dah boleh melepak mamak dan masuk studio, jadi Alhamdulillah keadaannya tidak teruk.
Untuk tiga orang ini, saya cuba pilih mereka dengan jangkaan cerita yang berbeza.
Farid yang paling kerap saya jumpa di gig. Dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah, wajahnya selalu ada di baris paling depan pentas. Jadi, saya rasa, dia watak lazim gig-goers yang perlu ada dalam temu bual ini.
Mai pula sangat aktif tapi muzik bukan lingkungan utamanya. Dia lebih aktif dalam lingkung larian. Maka satu lagi perspektif unik — individu seusia saya yang lambat masuk scene tapi rajin dan aktif menyokong kugiran.
Afifah dan Firdaus sepatutnya punya peranan sama — generasi baharu yang muda dan teruja. Dan Afifah mengisi peranan itu dengan baik walau berseorangan.
Ketiga-tiga mereka saya panggil untuk menjawab satu persoalan besar: mencari sudut pandang segar tentang lapangan tanpa tekanan memahami selok-belok lapangan demi kemandirian, seperti kugiran dan tekanan menganalisis segala kejadian, seperti media. Mereka punya sudut pandang paling neutral dan bebas tekanan; itu yang saya mahu.
KEJANGGALAN AWAL
Satu hal yang boleh dipersetujui ketiga-tiga mereka, bukan mudah untuk seseorang mula masuk dan aktif dalam lapangan, terutamanya untuk kali pertama turun gig. Semacam ada halangan.
“Sebelum ini memang nak pergi gig tapi tak tahu nak guna saluran mana,” kata Mai.
Farid setuju, “Biasa kalau mula nak pergi ramai tak tahu macam mana. Kena ada kawan yang bawa.
“Sebenarnya kalau pergi gig seorang pun tak apa. Dia macam beli tiket wayang saja,” katanya.
Mungkin kerana budaya gig yang nampak berbeza buat mereka yang tak biasa akan rasa susah. Mereka perlu teman pada awalnya.
Sedangkan ia sama seperti konsert biasa, cuma prosesnya kurang sistematik dan persembahannya lebih intim — untuk gig kecil, tidak ada besi penghadang antara penonton dengan pentas, kemudian ada budaya mosh yang agak menakutkan.
ROH ALTERNATIF
Muzik independen kebiasaannya akan menarik mereka yang berfikiran sepunya, iaitu mereka yang mencari kelainan.
Apabila muzik yang disuap radio dan televisyen mula membosankan, bunyian alternatif menarik perhatian. Minat terhadap muzik yang berbeza akan memperkenalkan mereka kepada budaya alternatif yang juga berbeza.
Yang jatuh cinta pada budaya tersebut akan kekal aktif dalam lapangan.
Bibit cinta itu ada pada Afifah kerana menurutnya, dia mula tertarik pada lagu alternatif kerana lirik yang kreatif dan berbeza, seperti yang ada pada Fynn Jamal dan The Venopian Solitude.
Tetapi, selepas mendengar Couple, dia mula sedar yang lirik bukan segalanya untuk sesebuah lagu. Ada lirik yang ringkas tapi tetap sedap didengar.
Kemudian dia meneroka sehingga berjumpa lagu yang tidak ada lirik langsung, yang ceritanya disampaikan melalui bunyian pelbagai instrumen.
Kini, roh alternatif sudah menyelubungi jasadnya kerana dia lebih tertarik untuk dengar muzik yang mengarut, yang tak difaham orang dan tak dicari orang.
YANG BUSUK
Pastilah tak semuanya yang baik-baik saja dalam lapangan. Ada juga hal yang bagi ketiga-tiga peminat ini perlu ditambah baik dan dibaiki.
Seperti Farid, dia kurang senang dengan harga tiket gig yang semakin mahal. Segala sebab-musabab yang diberikan penganjur boleh difahami tetapi sebagai orang yang kerap turun gig, tiket mahal akan memberi kesan.
Bagi Mai pula, beberapa kugiran yang tidak konsisten kadang kala menghampakan. Sebagai peminat, dia menunggu terbitan atau persembahan terbaharu tetapi tiba-tiba, dengar cerita kugiran berpecah.
Begitu juga dengan ketersediaan diskografi yang ada masanya terhad kepada terbitan fizikal atau platform digital tertentu. Pendirian kreatif atau politikal beberapa kugiran itu boleh difahami cuma untuk peminat sepertinya, susah nak dengar lagu mereka pada bila-bila masa.
Afifah lebih melihat kepada persepsi negatif yang ditujukan kepada lapangan independen disebabkan budaya ekstrem seperti mosh yang terlampau ganas, membuatkan mereka yang di luar lapangan sukar untuk mendekati budaya tersebut.
Namun, yang lebih merisaukan ialah kejadian yang tak sepatutnya terjadi, seperti gangguan seksual terhadap wanita. Ini bukan budaya tetapi tetap ada peristiwa yang berlaku setiap tahun.
Bual kami berlangsung lama tetapi sebahagiannya akan kekal sebagai rakaman suara kerana kesempitan ruang.
Walau bagaimanapun, Kona Mokapot Coffee menjadi saksi temu bual unik saya. Bertemu mata dan berbual dengan mereka yang wujud dalam lapangan sebagai pengguna, yang suaranya jarang dirakam dengan serius, malah pandangannya sering habis di garis masa media sosial.
Semoga ada peluang temu bual unik sebegini dijalankan lagi. Amin.