Ipoh: Bandar kreatif yang rabak - Utusan Malaysia

Ipoh: Bandar kreatif yang rabak

TETVANGVDARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Ipoh diumumkan sebagai Bandar Kreatif Muzik Unesco, tiada was-was dalam hati saya yang ia dipilih atas sejarah perkembangan muzik bawah tanah, muzik alternatif yang subur mengakar sejak 90-an.

Kerana itulah keistimewaan Ipoh sebagai bandar muzik jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain. Yang menjadikan ia unik.

Lama sebelum indie rock menjadi udara yang disedut-hembus warga bandaraya itu, ada gelombang rock n roll (fikirkan The Fabulous Falcons), rock glam (fikirkan SYJ) dan Ipoh Metal Militant (fikirkan Necrotic Chaos).

Gelombang-gelombang itu menjadi benih sikap alternatif Ipoh. The Fabulous Falcons, SYJ dan Necrotic Chaos masing-masing ada jalan berbeza yang diambil berbanding kugiran-kugiran sezaman mereka.

Sehingga muncul Muck dan Bodysurf Music yang kisahnya sangat mendominasi buku autobiografi Mohd Jayzuan. Sikap alternatif Ipoh bercambah, membentuk lapangan indie rock yang unik.

Indie Rock City

Telahan saya terbukti apabila Unesco sendiri memperkenalkan Bandar Kreatif Muzik Ipoh sebagai Indie Rock City of Malaysia dalam laman webnya.

Badan kebudayaan PBB itu malah membangkitkan tentang “Ipoh sound” yang “rusty, lo-fi and sloppy”. Bandar rabak!

Kemandirian Ipoh untuk membentuk bunyi sendiri ketika gelombang indie sudah membadai bandar-bandar utama lain di Malaysia ialah keunikan utama bandaraya itu.

Ketika Mohd Jayzuan berkongsi artikel Unesco tentang Ipoh dalam grup Whatsapp kami, dia bekalkan juga fakta bahawa yang pertama memetik istilah “Ipoh sound” ialah majalah KLue. Gelaran Ipoh Rock City pula diberikan kugiran indie rock Singapura, Force Vomit ketika berpanggung di Ipoh pada 2003.

Penghujung 1990-an sehingga dekad 2000-an ialah era gemilang buat indie rock di Ipoh. Banyak hal ikonik lahir di sana — “I am young but I am not stupid” oleh Muck, “where have you been my indie rock darling?” oleh Free Love.

Di situ lahirnya Harmacy, Bittersweet, Couple, Shizuka Ben Aman, BLiZ dan banyak kugiran lain sezaman itu.

Ipoh berjaya mandiri sebagai bandar indie rock tanpa perlu berpaut pada ibu negara, Kuala Lumpur. Jualan tiket gig setanding (malah lebih) dengan KL, kugiran berebut mahu goreng gitar di pentas Ipoh.

Kugiran lahir Ipoh dipandang tinggi kerana keunikan mereka. Malah, antara yang awal tembus ke Indonesia ialah gerakan dari Ipoh.

Lain zaman

‘Sengat indie’ Ipoh sudah tidak sebisa dulu. Itu diakui.

Ada beberapa kawan yang menjelajah ke Ipoh baru-baru ini kecewa kerana sambutannya tidak begitu meriah. Kugiran generasi baharu juga tidak begitu memberi impak.

Pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik, yang sebahagian besarnya disumbang identiti bandar itu sebagai bandar indie rock, perlu diraikan generasi baharu.

Rai bagaimana? Cari identiti dan suara Ipoh semula, baik anda sebagai kugiran, media, penganjur atau pemilik ruang acara. Melepak dengan orang lama, dapatkan teladan yang cukup kemudian bergerak ke hadapan dengan cara tersendiri.

Tak lama dahulu, ada warga Ipoh sendiri bertanya kepada saya: adakah Ipoh ketika ini boleh dikira sebagai sebuah lapangan (scene)? Cukup lengkapkah segala ekosistem di sana untuk ia dianggap sebuah lapangan?

Soalan ini perlu dijawab generasi baharu Ipoh.

Pertahan naratif

Pengiktirafan tinggi seperti yang diberikan Unesco akan membuatkan ramai orang teruja. Akan ada oportunis yang mengambil kesempatan.

Maka, naratif Ipoh sebagai bandar indie rock perlu terus dimainkan supaya pengaruh Bodysurf, Ducktoi, Meor, Herri, Mohd Jayzuan, Pian Shizuka dan lain-lain penggerak awal tidak tenggelam dengan keraian korporat dan popular nanti.

Mereka yang sedar perlu terus menyuarakan naratif ini kerana, walau bagaimana kita fikir Ipoh sudah hilang taring, ada generasi baharu yang sedang membina nama di sana.

Mungkin indie rock yang “rusty, lo-fi and sloppy” sudah tidak menjadi trend tetapi mencari suara sendiri tidak semestinya perlu mengikut bulat-bulat identiti terdahulu. Asalkan tujuan mencipta identiti itu ada, ia sudah cukup sebagai panduan.

MuntahMan, TETVANGVDARA, Raksar, Radiowave, Faris Fuad & Konfederates dan Lovethee ada identiti serta sikapnya yang unik, cuma perlu diberi lebih perhatian.

Dream Projects Hall (dulu Khizanat), Insider Satellite dan Ladyboss Studio masih aktif. Kolektif seperti Ipoh Social Club juga sedang seronok mengisi usia remaja dengan muzik.

Ini peluang besar untuk menghidupkan semula Ipoh sebagai bandar muzik alternatif.

Kita tak mahu semua hal muzik alternatif tersempit di Kuala Lumpur sahaja. Kalau bandar-bandar lain dapat menghidupkan identiti sendiri, muzik alternatif Malaysia lebih pelbagai.

Ipoh sudah ada warisan, tinggal mahu disambung riwayatnya sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya