Sesudah Melakar Langit oleh A. Limin
Album yang memperaga julat bakat A. Limin, terutamanya dari segi komposisi lagu. Satu lonjakan dari album Adam (2019) apabila komposisi lagu-lagu mereka kali ini lebih eksperimental dan dalam masa sama, lebih ringkas.
Sesudah Melakar Langit ada potensi untuk menggoncang keselesaan industri muzik negara, hanya jika ia diambil serius oleh entiti-entiti penting industri. Setelah hampir setahun diterbitkan, ia tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya. Tapi tak apa, mungkin masa yang akan menentukan.
Suatu hari nanti, naskhah ini akan diingati sebagai karya penting yang dipandang sepi ketika ia masih hangat keluar dari ketuhar. Seperti beberapa album ikonik tempatan yang lain, ia akan dirai dan menginspirasi kelahiran bakat penting muzik negara yang seterusnya.
Trek utama: Kau Ada, Angin, Cinta
Malay New Order oleh Sang Rawi
Agendanya terpampang jelas dalam tajuk album. Sang Rawi mahu bawa pembaharuan dalam muzik Melayu dan mereka lakukannya dengan bergaya.
Beberapa lagu diberi susunan baharu dari versi EP Live Session (2020) dan susunannya cemerlang. Malay New Order akan menjadi satu lagi album klasik, tidak kira apa yang akan terjadi kepada Sang Rawi selepas ini.
Ramai yang mahu menyampaikan mesej melalui trek pembuka album tapi tidak ramai yang berjaya seperti yang dilakukan Sang Rawi melalui Sultan Panji (Malay New Order). Mesejnya jelas, eksplisit dan bermakna. Ia membuka jalan untuk kita memahami tujuan penerbitan album ini.
Trek utama: Sultan Panji (Malay New Order), Maha Seni, Kau
Kaum Lelaki oleh Terrer
Terrer masuk dalam industri muzik negara melalui video muzik Hang Loqlak dan mereka tunggang terbalikkan semua benda. Dari segi keberanian, EP ini nombor satu.
Kritik sosial dibawakan dengan bersahaja bersama alunan vokal yang merdu dan komposisi Melayu moden. Mendengar lagunya satu persatu seperti meneliti bab demi bab dalam buku sejarah Farish A. Noor.
Jika EP ini diterbitkan sebagai salam perkenalan sebelum mereka tampil dengan album tahun hadapan, kita bersedia sahajalah. Album itu akan dengan segera menjadi ikonik.
Trek utama: Kaum Lelaki, Hang Loqlak, Jangan Sembunyi
Ritma oleh Piri Reis
Membandung emosi dengan lagu itu memang kerja kugiran skramz tapi bukan semuanya berjaya dan berkesan. Piri Reis antara yang berjaya. Jeritan yang memandu lagu-lagu dalam Ritma kedengaran sangat mentah dan sedap.
Rintihan dalam Heimlich manoeuvre tiger suplex, pembuka nakal dalam All Is Well, Mr. Hildebrandt dan penghormatan buat sahabat dalam Untuk Kimi buat kita tergenang dalam perasaan sepanjang mendengar Ritma.
Ritma mengorek jalan untuk kita tembusi emosi terdalam. Kewujudannya tepat pada masa, ketika manusia lebih banyak bergaduh dengan diri sendiri berbanding orang lain. Ritma satu rahmat, sebenarnya.
Trek utama: Heimlich manoeuvre tiger suplex, Burden by Beauty, Pusara atas langit
Kelana oleh Bayangan
Bayangan merintis jalan untuk gelombang folk baharu Malaysia melalui Bersendirian Berhad (2018). Buah tangan terbaharunya, Kelana merupakan lanjutan kembara muziknya yang meneroka ruang emosi dan fikiran yang lebih besar.
Masih mengekalkan alunan pekat gaung bersama lirik yang peribadi, Kelana disuntik kematangan dari segi lirik serta susunan. Ada getar ‘healing’ yang sihat dan produktif kerana lagu-lagu dalam album ini mengajak kita berfikir semasa merenung kehidupan.
Kita faham penggunaan arah dalam lirik serta tajuk lagu sesuai dengan judul Kelana, tetapi mengapa semuanya ordinal bukan kardinal? Itu antara hal yang saya fikirkan ketika mendengar Kelana, sekali gus membantu saya ulang kaji sedikit ilmu geografi.
Trek utama: Semakin Jelas, Pahit Manis, Kebiasaan
Pilihan Kehormat
D.I.V.O.R.C.E oleh Viona
LUAR KAVVALAN oleh TETVANGVDARA
Dispositions oleh FUAD
Permulaan oleh Mascot
Poptimism oleh Couple
7 Years oleh The Impatient Sisters
جنگ oleh Dewataraya
SOUNDTRACK FROM THE FUTURE: TRIP THE LIGHT FANTASTIC oleh Joyberry
DISSECTING GORYFICATION oleh Reputdeath
Dengarkan di Bandcamp
Synthtech oleh Capt’n Trips and The Kids
Senarai ini dibuat dengan sokongan kempen Terbitan Pilihan 2022 bersama Junklist dan Dissecting The Euphony. Baca juga senarai terbitan pilihan dua media mandiri ini.