100 Rondivu: Retrospeksi kembara mendokumentasi muzik independen - Utusan Malaysia

100 Rondivu: Retrospeksi kembara mendokumentasi muzik independen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUANYA bermula dengan senaskhah buku digital yang disebarkan secara percuma pada Disember 2013. Hari terakhir 2013 saya dipenuhi dengan keterujaan untuk memuat turun buku tersebut.

Buku itu diberi nama #ProjekBuku, hasil kerja Adly Syairi Ramly bersama tiga lagi rakannya, Ili Farhana, Abby DeVries dan Irman Hilmi.

Buku itu yang menggerakkan hati saya tentang dokumentasi muzik independen. Saya sudah lama meminati lapangan ini, sejak 2007 lagi hasil pengaruh radio XFM. Disebabkan saya hanya meminati dari luar – tidak pernah turun gig, baca zine atau berkenalan dengan penggeraknya – ada sangat banyak hal yang saya mahu tahu tentang lapangan muzik independen tempatan.

#ProjekBuku merealisasikan impian apabila saya dapat membaca secara terus tulisan manusia-manusia seperti AG Coco, Malique, Ahmad Izham Omar, Loque dan Mohd Jayzuan. Sejak itu saya fikir, betapa seronoknya kalau lebih banyak catatan-catatan sebegini dihasilkan.

Kesempatan-kesempatan manis
Waktu itu, saya tidak pernah terfikir pun mahu jadi wartawan. Masuk mimpi pun tak pernah. Seperti kebanyakan mahasiswa lain, cita-cita kerjaya saya disuntik masuk ke otak, bukan tumbuh dari hati. Saya ambil ijazah pendidikan di universiti pendidikan, wajiblah saya letakkan cita-cita sebagai guru.

Namun, perjalanan pengajian saya berbonggol-bonggol di hujung. Selepas faham proses pelantikan guru yang semakin panjang apabila dasar pasaran terbuka dilaksanakan, saya membuat rancangan untuk mencuba kerjaya lain dahulu sementara menunggu panggilan temu duga. Entah bagaimana, saya terjumpa tawaran temu duga untuk jawatan wartawan di akhbar Utusan Malaysia. Bertemankan inspirasi dari watak Hafiz dalam novel Langit Petang, saya cuba.

Pada tahun-tahun akhir pengajian sehingga tahun pertama di Utusan, penerokaan muzik saya agak perlahan. Saya hanya teruja dengan kugiran-kugiran lama yang saya kenal sejak zaman XFM. Kalau adapun kugiran yang saya baru jumpa, mungkin The Venopian Solitude, The Impatient Sisters dan Iqbal M.

Sehinggalah gelora melanda Utusan. Gaji kami tertangguh, pekerja ditawarkan VSS. Dalam gelora itu, saya dan rakan-rakan wartawan muda cuba mencari jalan untuk memanjangkan usia syarikat. Kelangsungan usia syarikat bermakna kelangsungan kerjaya kami dan kelangsungan hubungan kami sebagai rakan sekerja.

Kami tampil dengan satu idea: video kotak seakan ML Studios yang mana kami akan berborak solo tentang topik pilihan kami. Dua rakan saya pilih untuk berborak tentang bola sepak, saya pilih muzik independen.

Rendezvous

Video pertama saya meledak. Berpuluh ribu tontonan. Ramai yang terkejut apabila Utusan – akhbar yang dahulunya banyak memberi imej negatif kepada muzik underground, termasuk dalam majalah terbitannya, Mastika – tiba-tiba berbual tentang muzik independen. Ramai yang menyambut positif, tidak kurang juga yang mengecam.

Video kotak itu sudah jadi komitmen baharu saya. Komitmen itu termasuk meneroka bakat-bakat muzik independen yang saya kategorikan sebagai gelombang ketiga. Senarai main Spotify disusun.

Rakan-rakan seperti Hafiz dari Hentak Kepala saya rujuk, termasuk adik saya, Ku Ziqree yang lebih mesra dengan bakat baharu. Tidak dilupa, portal Muzik Kita.

Saya mula kenal lebih banyak bakat hebat. Ada Mafidz, Hacktick!, Bayangan, Margasatwa, Mad & Rissa serta Orkes A. Hizadin. Komitmen itu juga mendorong untuk saya hadir ke gig pertama dalam hidup saya, Tucktau di Angkasa Event Space anjuran Atas Angin. Kemudian, saya ke Pemacu Api Tour di Gasket Alley dan Malam Sensitif di Serambi Karya membuat liputan.

Kini, gig sudah jadi aktiviti mingguan saya. Gig dan muzik menjadi rendezvous, titik temu saya dan rakan-rakan dalam lapangan. Dari pemerhati luar, saya kini sudah ada rakan dalam lapangan.

Terima kasih

Ini artikel ke-100 Rondivu. Untuk wartawan lain, menghasilkan artikel kolum ke-100 mungkin hal biasa tetapi tidak bagi saya. Saya mahu raikan kejayaan ini. Kejayaan meletakkan 100 artikel berkenaan muzik independen secara konsisten dalam sisipan akhbar hiburan paling popular negara.

Hal ini tidak akan terealisasi tanpa pasukan Pancaindera yang banyak menyokong saya. Buat Encik Nizam Hamid yang menekan punat telefon, melamar saya untuk menulis kolum ini ketika saya sedang meraikan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan dengan rakan-rakan dua tahun lalu, terima kasih. Buat Puan Fauziah Arof yang memberikan kepercayaan penuh kepada saya untuk mengendalikan kolum ini, terima kasih. Buat seluruh rakan sepasukan sejak awal Pancaindera dihidupkan kembali, terima kasih.

Saya juga tidak akan lupakan jasa Hafiz dan Kamil yang menjadi pendorong awal untuk saya menghasilkan kandungan tentang muzik independen. Pasukan Weyh Media yang memanjangkan minat saya kepada dokumentasi lapangan. Hero penulisan saya, Shafiz Hentak Kepala. Idola-idola saya: Adly Syairi, Faris Tapau, Mohd Jayzuan, Jennifer Thompson, Loque.

Rakan-rakan Kelab Hitam Putih. Rakan-rakan dari Luas, Atas Angin. Semua penggerak lapangan yang pernah saya temu bual dan belum saya temu bual. Terima kasih semuanya.

Rondivu akan berehat selama tiga minggu. Saya perlukan masa untuk memberi tumpuan kepada kerja utama saya di portal Relevan dan untuk memekarkan semula kasih saya pada lapangan. Jangan risau, perihal muzik independen akan terus ada cuma dari penulis lain.

Terima kasih terulung perlu saya ucapkan buat anda yang pernah membaca karangan saya di Rondivu. Tanpa anda, 100 artikel Rondivu tidak akan wujud. Kita laga gelas, ucap selamat buat lapangan muzik independen. Sampai berjumpa lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya