Big Stage: Perlumbaan sebenar bermula…

Big Stage: Perlumbaan sebenar bermula…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTINYA malam ini, siapa penyandang juara Big Stage 2022 bakal menjadi persoalan. Memasuki edisi keempat, program realiti itu seharusnya sudah matang dan masak untuk menghasilkan juara serta peserta yang berkualiti.

Namun sayang, episod permulaan program itu ‘dicemari’ dengan kehadiran peserta yang tidak diundang. Lantas, sedikit sebanyak kredibiliti jenama Big Stage mula dipersoal. Apakah lari daripada tujuan sebenar?

Poklip juga tertanya-tanya. Tiga musim, peserta dan juara yang dihasilkan bukan calang-calang. Masing-masing sudah membina nama dengan jaya. Walaupun tidak semua, tetapi ada. Bukan senyap sepi sahaja.

Tetapi itulah show business. Mahu atau tidak, rating dan menjana keuntungan harus dilihat dahulu. Namun, itu kisah di awal minggu. Cukup sudah, biarlah yang benar berjiwa berdiri di pentas itu.

Bagi Poklip, tiga nama ini punya potensi besar untuk pulang sebagai juara. Danial Chuer, Aisha Retno dan Elica Paujin. Pastinya ramai juga yang mengangguk setuju. Malah, melihat komen-komen di media sosial, tiga nama ini menang carta.

Danial, anak muda bersuara hebat. Bagi Poklip, penghayatannya cukup. Namun dia masih perlu banyak pengalaman. Maka beri peluang. Jangan mudah menghukum. Perjalanannya masih jauh.

Begitu juga Aisha. Bintang muda yang baru terlihat sinarnya. Ramai yang mengakui kreativinya dalam mencorak persembahan. Tetapi seperti ada yang kurang. Dia perlu menggali jiwa, lebih dalam.

Elica pula seorang yang mempunyai vokal hebat. Poklip masih terngiang persembahannya menyanyi lagu kegemaran Poklip (setakat ini), Bagaimana Jika Aku Tidak Baik Baik Sahaja. Cukup semuanya.

Rasa, jiwa dan vokal. Aduh keren banget! Tetapi Elica harus membuktikan identiti. Kita tak mahu bakat yang ada hanya untuk bertahan sementara. Biarlah nama terus mewangi, bukan sekadar bertempat, bertempoh.

Namun jangan dilupa, Yazmin dan Tegar juga punya peluang. Jangan sesekali memandang sepi mereka. Malam ini pertandingan bermula, masing-masing akan menunjukkan taring yang tersembunyi. Membuktikan kemampuan.

Cuma nasihat Poklip, jangan sekadar di pentas itu anda memberi yang terbaik, bersungguh-sungguh. Perlumbaan sebenar bermula saat tirai dilabuhkan. Biarpun anda bukan juara, namun peluang masih ada.

Poklip percaya, ada beberapa nama yang akan menyinar selepas Big Stage 2022 berakhir. Ada di antara mereka sudah tersingkir namun, percayalah kebangkitan mereka akan membuka mata semua.

Gelaran juara hanyalah satu tiket masuk mendaki puncak kejayaan. Perlu bijak menyusun langkah. Jangan lupa bumi yang dipijak walau langit menjadi tujuan. Ingat, dunia ini berputar. Jangan sombong, bongkak. Apatah lagi digabungkan dengan kebodohan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya