The Syrup Vs Soda tawar hidangan besar, rencah limpah ruah

The Syrup Vs Soda tawar hidangan besar, rencah limpah ruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN menu pelbagai hidangan yang ditawarkan The Syrup Vs Soda yang terletak di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu menjadi daya tarikan utama pengunjung ke restoran itu.

Mula beroperasi pada Oktober 2015, The Syrup Vs Soda juga terkenal dengan saiz hidangannya yang besar dan pelbagai rencah yang melimpah ruah untuk memuaskan hati pengunjung.

Pemiliknya, Wan Noor Elya Wan Rezali, 38, berkata, ketika ini restoran tersebut menyajikan lebih 50 hidangan dengan 70 peratus adalah hidangan berasaskan makanan Melayu dan bakinya 30 peratus pula adalah makanan Barat.

“Hampir sedekad menjalankan perniagaan ini, kami sangat bersyukur kerana sentiasa menerima maklum balas yang positif dari pelanggan. Ini adalah hasil usaha keras semua warga The Syrup Vs Soda secara berkumpulan terutama chef dan pembantunya yang sentiasa menjaga kualiti makanan serta pekerja lain yang memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Boleh dikatakan, setiap hari kami tidak menang tangan dengan kehadiran pelanggan menyebabkan ruang makan yang boleh menempatkan 200 orang pada satu-satu masa sentiasa penuh sepanjang operasi perniagaan berjalan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah nasi goreng kambing, nasi goreng petai, nasi goreng tomyam, nasi goreng ikan kukus, pasta itik salai, burger dan air sirap resipi rahsia keluarganya.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, dia sentiasa berbincang dengan pengurusan tertinggi restoran setiap kali mahu memperkenalkan menu baharu untuk menambat hati pelanggan.

“Kami cuba menyediakan menu istimewa yang tidak terdapat di restoran atau kedai makan lain di Terengganu kerana mahu menjadikan kami pilihan utama untuk menu yang unik dan menyelerakan.

 

“Contohnya, nasi goreng paru dan petai adalah inspirasi makanan daripada nenek moyang saya yang berasal dari Indonesia kini menjadi kegemaran ramai di restoran,” katanya.

Ketika ini, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM15 hingga menu paling mahal iaitu RM90 untuk hidangan nasi goreng Wagyu. Persembahan makanan yang menarik dengan gabungan warna warni pelbagai sayur-sayuran turut membangkitkan aroma dan selera pengunjung yang datang apatah lagi semua hidangan yang disediakan amat menitikberatkan aspek nutrisi dan keseimbangan gizi makanan.

——————————————————————

THE SIRAP VS SODA
Lokasi : Lot 3373, Jalan Batas Baru, 20300 Kuala Terengganu
Waktu operasi : Jumaat tutup buka pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam Makanan popular : Nasi goreng kambing, nasi goreng petai, nasi goreng tomyam, nasi goreng ikan kukus, pasta itik salai, burger dan air sirap.

——————————————————————-

Graduan Pengurusan Kulinari dari International Management Institute (IMI) Switzerland dan Kolej Damansara Utama itu berkata, ramai pelanggannya berpuas hati kerana saiz hidangan yang besar hingga boleh dimakan oleh dua atau tiga orang sangat berbaloi dengan harga yang dibelanjakan.

“Sejak awal pembukaan The Syrup Vs Soda, ramai yang memuji mengenai saiz hidangan dan itu adalah antara identiti kami kerana mahu pelanggan datang menikmati makanan dengan puas dan balik dengan gembira.

“Ramai yang datang dengan menempah menu berbeza namun boleh merasai kelazatannya kerana saiz hidangan kami yang besar,” katanya yang kini mempunyai 30 kakitangan untuk melancarkan lagi operasi restoran.

Terletak di pusat bandar raya Kuala Terengganu, The Syrup Vs Soda yang beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam turut menjadi pilihan ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu bertukar selera untuk mencuba hidangan selain menu Pantai Timur di restoran itu.

 

 

 

 

Katanya, ramai pelanggan dari luar Terengganu yang datang ke The Syrup Vs Soda hasil rekomendasi penduduk tempatan bagi memenuhi citarasa mereka sepanjang berada di Kuala Terengganu.

“Kami sentiasa peka dengan sebarang cadangan atau kritikal daripada pelanggan kerana mereka adalah aset untuk perniagaan ini terus berkembang maju pada masa akan datang.

“Paling penting, kebanyakan pekerja kami mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan di hotel-hotel terkemuka seluruh negara serta mempunyai kelulusan dalam bidang kulinari,” katanya.

Impiannya dalam masa terdekat adalah mencari lokasi baharu untuk pembukaan restoran lebih besar agar dapat menampung kehadiran lebih ramai pelanggan yang ingin menikmati keenakan menu The Syrup Vs Soda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya