Masakan ‘nogori’ pikat selera orang Kedah

Masakan ‘nogori’ pikat selera orang Kedah

ISWADEE Ismail menunjukkan pelbagai jenis masak lemak yang disediakan di Janggut Salai House.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECUR air liur teringatkan masak lemak ‘nohori’ Negeri Sembilan yang pedas dan berlemak. Daging salai atau ayam salai masak lemak yang dihidang dengan nasi panas serta cabai tempoyak sudah membangkitkan selera.

Begitu juga di Kedah ini, penggemar masakan ‘nogori’ (Negeri Sembilan) ini tidak perlu pergi jauh memandangkan ada sebuah restoran di bandar raya Alor Setar menyediakan menu berkenaan.

Pelbagai daging salai daripada ayam, itik, daging lembu sehingga ikan keli yang dijadikan hidangan masak lemak cili api adalah tarikan di restoran yang dinamakan Janggut Salai House itu.

Untuk mengekalkan cita rasa autentik nogori ini, bahan mentah itu disalai dalam rumah salai menggunakan sabut kelapa.

Terdapat lebih 13 menu masak lemak di Janggut termasuk siput sedut dan lainnya yang menarik selera orang Kedah adalah ikan patin tempoyak yang dibawa khas oleh pemilik restoran ini dari Temerloh, Pahang.

Menu lain yang menawan selera di Janggut Salai House adalah asam pedas ikan jenahak, masak lemak ketam, paru balado, daging dendeng, sambal sotong, tempoyak pucuk ubi, ayam goreng kampung serta pelbagai jenis ulam-ulaman yang boleh dipadukan bersama sambal belacan termasuk cencalok.

—————————————————————–

Janggut Salai House
Lokasi Masjid Akar Peluru, Jalan Pegawai Alor Setar Kedah
Operasi 11 pagi hingga 3 petang (Jumaat-Tutup)

—————————————————————

Menjamu selera di Janggut Salai House juga menarik selera pelanggan apabila makanannya dihidangkan di atas dulang yang bercirikan tradisional Negeri Sembilan.

Menurut pemilik restoran ini, Iswadee Ismail, 37, dia berguru dengan seorang rakannya yang juga pakar masakan Negeri Sembilan untuk membuka restoran itu beberapa tahun lalu.

“Apabila berhasrat membuka restoran ini, saya ingin mencari kelainan dan masakan dari Negeri Sembilan sukar ditemui di Kedah. Setelah mahir baru saya buka Janggut Salai House.

“Agak risau juga, takut tidak mendapat sambutan tetapi alhamdulillah, rupa-rupanya ramai orang Kedah menggemari masakan dari Negeri Sembilan,” katanya yang sudah dua dekad berniaga makanan termasuk nasi lemak di Kedah.

Tambah anak jati Kedah ini, dia mengolah serba sedikit resipi menu masakan di situ demi menyesuaikan dengan cita rasa atau ‘tekak’ orang negeri jelapang padi ini.

“Kalau diikutkan masakan dari Negeri Sembilan boleh tahan pedasnya kerana menggunakan banyak cili padi tetapi di Janggut Salai House saya olah menjadi kurang pedas kerana ramai orang Kedah tidak suka makan makanan terlampau pedas.

“Demi rasa autentik masakan tradisional ini Janggut Salai House hanya menggunakan santan asli bukan santan kotak,” katanya.
Iswadee berkata, ikan patin untuk masak tempoyak itu juga dibawa khas daripada pembekal dari Temerloh yang cukup terkenal sebagai pengeluarnya.

“Ikan patin dari Temerloh adalah yang terbaik dan segar berbanding tempat lain.

“Saya pernah cuba mendapat bekalan dari negeri lain tetapi kurang menyengat dari segi tekstur dan baunya,” ujarnya. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya