GUNUNG Medan yang terletak di tengah-tengah bandar Kangar merupakan salah satu destinasi yang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri ini sejak kebelakangan ini apabila berkunjung ke Perlis.
Di sebalik keindahan pemandangan berlatar belakangkan pekan Kangar apabila berada di puncak tersebut, terdapat tarikan baharu di Gunung Medan di sini iaitu sebuah kafe kaca yang cukup unik di atas bukit itu.
Untuk sampai ke puncak tersebut, pengunjung perlu melalui laluan mendaki sepanjang kira-kira 500 meter sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan seterusnya mata pastinya akan tertumpu kepada kafe kaca dua tingkat berkenaan yang berkonsepkan ala Barat dengan tema berwarna putih.
Kafe tersebut diusahakan oleh seorang anak muda tempatan yang melihat potensi di kawasan itu untuk dibangunkan sebagai salah satu lokasi pelancongan baharu di Perlis.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengasas Gunung Medan Glass Cafe, Ahmad Naim Abdul Latif, 31, berkata, selain dapat beriadah mendaki bukit berkenaan, pengunjung juga berpeluang menikmati kopi bersama makanan yang disediakan di kafe tersebut sambil melihat panorama indah di sana.
“Dari kafe ini, pengunjung dapat menikmati ketenangan dan melihat sendiri keindahan 360 darjah keseluruhan negeri ini. Malah, konsep yang kami cuba bawakan di kafe ini adalah bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk menghirup minuman kegemaran mereka sambil bersantai bersama kenalan mahu pun ahli keluarga,” katanya.
Tambah Ahmad Naim, antara sajian yang menjadi tarikan utama pengunjung di kafe itu adalah seperti waffle buah, kek dan pelbagai pencuci mulut lain. Selain itu dia berkata, terdapat juga pelbagai jenis minuman menarik ditawarkan buat pengunjung bersesuaian dengan permintaan semasa pelanggan.
“Kami menyediakan minuman kopi premium antaranya seperti latte, hazelnut latte, caramel macchiato, mocha dan pelbagai lagi dengan harga amat berpatutan.
“Selepas pengunjung beriadah, mereka boleh berehat seketika sambil menikmati kopi di kafe kaca ini secara santai,” katanya.
Selain itu, Ahmad Naim berkata, terdapat juga beberapa tarikan baharu lain yang disediakan buat pengunjung antaranya seperti kemudahan perkhemahan dengan berkonsepkan ‘glamping’.
Menurutnya, pengunjung yang menginap di tapak ‘glamping’ itu juga berpeluang menikmati kemudahan seperti penghawa dingin, televisyen pintar, tandas dan alatan barbeku.
“Buat masa ini terdapat enam unit ‘glamping’ disediakan di mana dua unit adalah bersaiz lima meter dan selebihnya bersaiz empat meter. Perkhidmatan ‘glamping’ ini juga dalam peringkat akhir pembikinan dan akan beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Naim berkata, bagi memudahkan warga emas untuk mengunjungi Gunung Medan, terdapat juga kemudahan pengangkutan shuttle.
Ujarnya, kemudahan pengangkutan itu disediakan bermula pada pukul 5 hingga 7 petang dan seterusnya dari pukul 8 sehingga 11 malam.
“Kita cuba memberi kemudahan buat orang ramai yang tidak mampu berjalan mendaki Gunung Medan setinggi 97 meter ini dengan menyediakan perkhidmatan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kafe miliknya itu juga beroperasi pada setiap Rabu sehingga Ahad bermula dari pukul 5 petang sehingga 11 malam.
“Pada musim cuti persekolahan, kami juga beroperasi pada setiap hari bagi memberi peluang kepada pengunjung yang melawat ke Perlis,” katanya. – Mingguan
Kafe kaca atas bukit tarik perhatian
- Oleh ASYRAF MUHAMMAD
- 7 Januari 2024, 2:43 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am