Siakap Asam Nyonya, Sotong Telur Masin di Zombie Seafood

Siakap Asam Nyonya, Sotong Telur Masin di Zombie Seafood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAKAP tiga rasa, stim atau masak pedas memang tawaran menu yang lazim di restoran-restoran makanan laut di samping hidangan lain seperti ketam, udang dan sotong.

Tetapi jika anda memang penggemar ikan siakap, namun masih mencari kelainan dalam masakannya boleh mencuba ‘Siakap Asam Nyonya’ iaitu hidangan yang boleh dianggap sebagai lain daripada kebiasaan yang ditawarkan di Restoran Zombie Seafood.

Menariknya, kelainan dalam menu tersebut adalah rasanya yang unik berlemak tetapi tiada santan dan sedikit pedas seperti kari tetapi tidak dimasak dengan serbuk kari.

Ia sebenarnya kombinasi masakan Cina dari Hong Kong yang diubah untuk menepati cita rasa orang Malaysia dengan rasa masam, manis dan pedas yang dimasak bersama potongan terung.

Malah, rasa pada masakannya tidak janggal walaupun ikan siakap digoreng, namun kerangupan dan kelembutan rasanya yang tidak terlalu kering kerana resapan sambal asam nyonya amat menyelerakan apabila dinikmati dengan nasi.

Menu ini perlu dijadikan hidangan utama yang boleh dipesan bersama ‘Kambing Bakar Zombie’ didatangkan dalam pinggan seramik kecil bersama sos dirumus sendiri atau homemade.

Bak kata pemilik resepi, Norfaeza Hassan, sekali lihat macam ‘harimau menangis’, tetapi sebaik sahaja tekstur dagingnya menyentuh lidah, sangkaan itu memang meleset kerana rempah yang digunakan adalah berlainan.

Walaupun dipotong kecil-kecil serta dimasak secara grilled, namun kelembutan daging kambing import dari Australia itu kekal, malah tiada rasa liat menyebabkan ia enak dinikmati berselang seli dengan menu utama. Selain kambing, pelanggan juga boleh memilih daging lembu untuk masakan tersebut.

Kedua-dua menu itu didatangkan dengan harga bermula RM55 bagi seekor siakap mengikut saiz dan RM28 bagi sepinggan kambing bakar. Untuk menu siakap, ia boleh dipesan mengikut saiz hidangan.

Selain gandingan ikan siakap dan kambing bakar, Zombie Seafood turut menawarkan menu ‘Udang Masak Hong Kong’ yang berasal dari wilayah itu. Menu itu menawarkan kombinasi rasa masin dan manis seperti masak kicap tetapi lengkap dengan sos abalone yang sebelum itu ditumis dengan daun kari serta kicap lemak manis.

Yang menjadikan menu tersebut lebih menyelerakan apabila ia turut dimasak bersama nanas dipotong dadu serta dicampur madu menjadikan kuahnya sedikit pekat. Lebih menarik, hidangan sampingan seperti ‘Sotong Telur masin’ boleh dijadikan penambah selera untuk dinikmati secara selang-seli antara masakan manis kicap udang dengan lemak masin sotong.

Uniknya sotong digoreng bersama tepung dan ramuan masakan telur masin pula mencetuskan rasa teksturnya pada lidah menyebabkan ia terlalu ‘sayang’ untuk ditelan.

Sebagai melengkapkan hidangan, pelanggan boleh memesan masakan sayur seperti kailan ikan masin, kangkung belacan dan juga brokoli sos tiram serta minuman pelbagai jenis jus buah-buahan.

Zombie Seafood sebelum ini dibuka di Selayang namun berpindah ke Jalan Meru Tambahan, Puncak Alam, Selangor dengan kedai yang besar serta parkir yang luas.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya