Masakan bergoreng guna kunyit hidup - Utusan Malaysia

Masakan bergoreng guna kunyit hidup

MARIAM @ Sharifah Mariam Sh Along bersama suaminya, Tengku Iskandar Tengku Salim menunjukkan menu hidangan yang disediakan di restoran Kunyek Kunyek, di Kuala Nerus, Terengganu. - MINGGUAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RESTORAN Kunyek Kunyek yang mula beroperasi pada Mac 2020 tampil berani menyajikan hidangan makan tengah hari yang agak berlainan dengan kebiasaan menu masyarakat di Pantai Timur khususnya di Terengganu.
Pemilik restoran tersebut, Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along berkata, antara menu yang disediakan adalah masakan bergoreng menggunakan kunyit hidup sebagai resipi utama untuk ayam, ikan, daging, tulang, sotong dan udang.

Menurutnya, dia mahu lari daripada kebiasaan restoran di Terengganu yang menawarkan hidangan nasi lauk campur seperti singgang dan gulai kawah kerana mahu memberi alternatif lain.
“Alhamdulillah percubaan ini diterima ramai kerana pelanggan menyukai set kombo yang kami sediakan bersama bawang goreng, sayur, sambal serta sup untuk dimakan dengan nasi panas.
“Harganya juga sangat berpatutan iaitu serendah RM10 untuk set kombo makan tengah hari yang sesuai untuk dinikmati semua golongan.
“Rahsia keenakan makanan di Kunyek Kunyek adalah menggunakan kunyit hidup untuk perapan sesuai dengan nama restoran yang diambil dari dialek Hulu Terengganu untuk perkataan kunyit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di restoran cawangan pertamanya di Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.

.

Sambutan memberangsangkan yang diterima menyebabkan Mariam berani melebarkan perniagaannya dengan membuka tiga lagi cawangan restoran Kunyek Kunyek iaitu di bandar Kuala Terengganu, Jalan Kebun Klang dan di Shah Alam, Selangor.
Mariam berkata, bagi memastikan kualiti rasa semua hidangan tidak berubah, dia menggunakan konsep restoran makanan segera iaitu semua bekalan makanan disediakan secara berpusat sebelum diagihkan ke cawangan-cawangan lain.
“Kepelbagaian menu yang disediakan juga memudahkan pelanggan membuat pilihan untuk memesan menu kombo sama ada ayam, daging, tulang, aneka jenis ikan, sotong atau udang mengikut selera masing-masing,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran dalam menjalankan perniagaan restoran pula, Mariam berkata, mereka bersyukur kerana tidak perlu berdepan kerenah tukang masak sekiranya menawarkan menu yang memerlukan kepakaran mereka.
“Ini dilema yang sering dihadapi pemilik restoran atau kedai makan untuk memastikan tukang masak atau chef tidak menimbulkan masalah, apatah lagi jika restoran itu terkenal dengan menu yang memerlukan kepakaran beberapa individu sahaja.
“Kami di Kunyek Kunyek telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang kemas dan teratur untuk memastikan kualiti makanan yang disediakan sentiasa berada di tahap terbaik dan rasa yang sama di semua cawangan,” katanya yang turut memiliki perniagaan katering di sekitar Terengganu.
Mariam yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Bharu itu juga bersyukur, kerana turut memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk pes masakan dan pelbagai jenis lauk yang siap dimasak menggunakan teknologi retort.
“Selain kebersihan, status halal juga antara faktor utama untuk beri keyakinan pelanggan dan Kunyek Kunyek sangat mementingkan aspek ini kerana ia keutamaan untuk pelanggan beragama Islam.
“Hidangan pantas dan masih panas juga penting untuk menambat selera, malah kami juga sentiasa mengingatkan semua pekerja untuk melayan pelanggan dengan baik,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya